Utusan Malaysia
16/8/2015
16/8/2015
Terlalu banyak spekulasi, limpahan
analisis dan politiking yang keterlaluan melanda negara sekarang.
Situasi ini tidaklah baharu, pernah berlaku ketika krisis politik 1987
dan 1998. Walaupun latar belakang dan isunya tidak sama tetapi ia
memercikkan ketegangan politik.
Awang mengambil pendekatan untuk bertenang,
tidak melatah membuat kesimpulan dan tidak mengharap dipuji oleh
sesiapa. Keberanian atas nama apa pun, harus bersandar rasa
tanggungjawab dan melihat dengan perspektif menyeluruh.
Tidak hilang bijaksana jika kita berpegang
kepada pendirian untuk memilih yang kurang mudarat kepada organisasi,
agama dan bangsa. Awang tidak mahu tenggelam dalam emosi dan ayat-ayat
berapi-api kerana ia bukan satu-satunya jalan keluar. Sarjana Dr.
Muhammad Al-Areefi menekankan tentang perlunya menjaga lidah dan
kata-kata sebagai adab dalam mencari penyelesaian mengikut ajaran Islam
sebenar.
Tidak jatuh maruah jika bersabar dalam
situasi yang genting, memahami realiti terutama di mana kita berada dan
tekun menanti agar yang samar menjadi terang. Jangan pula kerana
kegelojohan, bergentayangan kaduk naik junjung, berlaku gelombang
menangguk di air keruh dan sisi kita yang lemah pula, terbuka luas untuk
diceroboh. Sebab itu, Awang tidak terganggu dengan apa
sahaja komen sama ada yang positif mahupun negatif terhadap Awang
mahupun syarikat akhbar. Juga perbandingan itu dan ini, dulu dan
sekarang. Bab 21 buku judul A, tidak sama dengan bab 21 buku judul B.
Seperti biasa, ada tokoh tertentu yang
ghairah beranalisis sambil menjatuhkan hukuman ke atas orang lain,
terlupa tentang eranya yang lesu dan kurang mencabar. Pernah Awang nyatakan, ambillah perspektif
agama, apa jua yang berlaku telah ditetapkan oleh Allah SWT dan apa yang
tidak ditetapkan, pasti dan pasti tidak akan berlaku. Setakat ini,
Najib Tun Razak adalah Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Atas kertas,
beliau mendapat sokongan majoriti bahagian-bahagian UMNO, parti terbesar
dalam kerajaan. Sama ada suka atau tidak, itulah realitinya. UMNO yang
menentukan siapa peneraju parti. Selagi beliau menyandang jawatan
tersebut, amanah terpikul pada beliau.
Jangan lupa menyokong pemimpin termasuk di
saat-saat yang sukar ini, adalah hak demokrasi, begitu juga sebaliknya.
Lagipun, Najib belum dibuktikan bersalah, tunggulah sehingga semua
proses siasatan selesai untuk berlaku adil. Sementara itu, berilah
peluang kepadanya untuk mentadbir dan memulihkan keadaan seperti
dijanjikan. Itulah yang berlaku ketika krisis politik 1987 dan 1998
apabila majoriti UMNO terus menyokong peneraju parti ketika itu, yang
juga diwarnai pelbagai isu dan dakwaan. Jika Najib tidak mampu
menyelesaikan, biarlah rakyat menilai dan membuat perkiraan. Najib pasti
faham. Pada tahap ini, biarlah semua berlaku secara natural, itu jalan
penyelesaian terbaik. Lebih penting, jangan gundah dengan perencanaan
Allah SWT. Masa akan menentukan. Yakinlah.
Malaysiakini
Siapakah antara pihak yang paling
untung kerana dapat menangguk di air keruh berikutan pergolakan politik
dan isu semasa yang panas sekarang? Siapa lagi kalau bukan Malaysiakini
pro-DAP. Tanpa rasa malu dan bersalah, portal itu terus menyiarkan
banyak laporan yang bukan sahaja mengelirukan, diputar belit, salah
malah melaga-lagakan antara pemimpin dan jabatan kerajaan. Sejak misi Malaysiakini untuk
menjatuhkan kerajaan gagal pada pilihan raya umum lalu dengan menyalakan
api sentimen membenci kerajaan pimpinan Islam, Awang makin berwaspada.
Portal itu telah banyak membawa mudarat.
Antaranya memanipulasi secara keterlaluan dakwaan kononnya terdapat
lebih 40,000 pengundi hantu pada PRU-13, yang ternyata membantu
pembangkang khususnya DAP menang banyak kerusi dengan cara tidak
terhormat. Terbukti akhirnya laporan itu palsu. Malaysiakini juga gagal
melihat berlakunya pertumpahan darah dan rusuhan besar sebagaimana Arab
Springs. Siri-siri Perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur yang
digembar-gemburkan secara luar biasa agar kerajaan dijatuhkan di luar
proses demokrasi, tidak menjadi kenyataan.
Jika dibuat kajian, Malaysiakini lebih berbahaya berbanding portal Sarawak Report dalam
konteks ancaman kepada negara. Lebih licik dalam agendanya dengan
berselindung atas nama kebebasan media tetapi itulah sebenarnya senjata
bagi menjayakan agenda parti yang portal itu sokong habis-habisan.Lalu timbul persoalan mengapa Malaysiakini makin
angkuh dan memperhebatkan serangan ke atas institusi-institusi penting
negara, yang jawapannya tidak sukar Awang telah. Selain membawa agenda
DAP, ia ada kaitan dengan isu lebih besar iaitu dana asing.
Sudah sampai masanya pihak berkuasa termasuk
Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SKMM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyiasat Malaysiakini meliputi sumber dana dan aspek ancaman kepada negara. Siapa lagi dalang atau tangan ghaib yang merencanakan percaturan buat negara ini, menggunakan portal itu.
Sebenarnya ada banyak misteri berkaitan
portal berkenaan yang belum dapat dileraikan. Tidak mengejutkan juga
jika melibatkan komplot besar yang dahsyat padahnya kepada Malaysia.
Pelanduk melupakan jerat tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk.
DAP dan dana
Selepas Perdana Menteri, Najib Tun
Razak mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai
Pembiayaan Politik (JKNMPP) bagi merangka pelan pembiayaan politik
berintegriti, Awang teruja menunggu reaksi DAP dan PKR.
Jika sebelum ini, cadangan Najib yang pertama
kali dibangkitkan pada 2009 ditolak, kini ada peluang terbaharu untuk
kedua-dua parti akur demi mendokong integriti.
Awang sangat berharap semua parti politik
dapat bersetuju dengan pelan tersebut agar dapat dilaksanakan pada
pilihan raya umum ke-14 nanti.
Sebelum ini, Najib merintis sistem pemilihan
UMNO yang lebih demokratik dan inklusif berbanding parti lain, ini satu
lagi pembaharuan politik yang diperkenalkan.
Maka DAP terutamanya tidak boleh terus
ketinggalan. Lebih-lebih lagi parti itu mengakui inilah era yang rakyat
perlu diyakinkan dengan kaedah pembiayaan politik yang lebih telus.
Nasihat Awang janganlah DAP takut untuk mendedahkan sumber dana politik
mereka melainkan terlalu banyak yang mahu dirahsiakan. Juga jangan jadi
seperti ayam, kokok berderai-derai, ekor bergelumang najis.
Teruskan Ismail
Selepas membuktikan komitmen jihad
melawan orang tengah semasa di Kementerian Pertanian dan Industri Asas
Tani, Ismail Sabri yang kini Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,
sekali lagi tidak mahu bersikap apologetik.
Kali ini beliau tampil dengan cadangan agar
ditubuhkan pusat jualan dan borong alat komunikasi di bangunan Mara di
Jalan Raja Laut, yang menyamai fungsi Plaza Low Yat.Bagaimanapun ia mendapat bantahan beberapa pihak termasuk pemimpin MCA yang melihatnya sebagai rasis.Awang yakin Ismail tidak akan goyah dan
teruskan pelaksanaannya. Usah terganggu dengan bantahan yang
hujah-hujahnya dangkal dan tidak berasas.Mengaitkan cadangan itu dengan bersikap rasis
mencerminkan siapa sebenarnya yang rasis. Sepatutnya MCA perlu
menggalakkan lebih banyak pusat jualan seumpama itu sebagai alternatif
kepada masyarakat.
Awang tidak fikir masyarakat Cina yang sudah
ratusan tahun sebati dengan budaya niaga akan merasa terancam atau
tergugat dengan kemunculan satu lagi pusat ala Plaza Low Yat.Selama ini pun, kaum lain tidak membantah
pelbagai penubuhan dan eksklusiviti peniaga Cina seperti di kawasan
Petaling Street. Banyak lagi contoh boleh disenarai panjang, jika mahu.Biarpun pusat jualan tersebut akan dibuka di
Mara tetapi cabarannya tetap besar kerana industri teknologi maklumat
(IT) dimonopoli usahawan Cina. Jika dilihat secara positif, industri itu
juga boleh mendapat faedah.
Walau apa pun cabarannya tentu ada mekanisme
bagi Ismail segera merealisasikan cadangan itu yang diharap menjadi
titik tolak baru kepada usahawan Melayu dalam jualan produk IT.
Malah ia tidak seharusnya dihadkan di
bangunan Mara Kuala Lumpur, juga boleh diperluaskan ke negeri-negeri
yang pengguna pelbagai kaum boleh berkunjung. Sebenarnya tidaklah
sesukar mana, cuma menuntut keberanian politik yang tinggi. Ismail ada
kualiti itu.
Kisah RM10
Awang terpanggil untuk berkongsi kisah
empat beranak - suami, isteri dan dua anak kecil - menaiki motosikal
meredah hujan untuk ke bank bagi mengeluarkan wang tunai menerusi mesin
ATM, baru-baru ini. Alangkah kecewanya si suami apabila mesin ATM
itu tidak mempunyai wang kertas RM10. Hanya ada wang kertas RM50
sedangkan baki wang simpanannya tidak lebih daripada itu.
Maka keluarlah lelaki itu dengan wajah hampa.
Lebih-lebih lagi tujuan untuk mengeluarkan wang adalah bagi membawa
anak kecilnya ke klinik. Awang sangat tersentuh sambil mengimbas
ucapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena ulang tahun
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu yang mengulas
cadangan CUEPACS agar bank membekalkan lebih banyak wang kertas RM10
dalam mesin ATM.
Pada baginda, ia memberi petanda bahawa ramai
pemilik kad ATM pada masa tertentu tidak mempunyai baki minimum RM50
dalam simpanan selain menyerlahkan hakikat keupayaan menabung dalam
kalangan rakyat terutama bumiputera adalah rendah kerana kesempitan
hidup.
Menghairankan
di sebalik cadangan CUEPACS dan keprihatinan Sultan Perak, institusi
perbankan di negara ini tidak memberi perhatian apatah lagi untuk
mengambil tindakan sewajarnya. Berdasarkan maklum balas ramai, hampir
rata-rata bank tidak menyediakan banyak wang kertas RM10, menyebabkan
selalu berlaku kekurangan di mesin-mesin ATM. Akhirnya rakyat termasuk
para pelajar universiti dan kolej selalu kecewa kerana bank tidak mampu
memenuhi permintaan mereka yang sangat kecil iaitu RM10.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan