SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

18 Julai 2020

Elaun Utiliti untuk penjawat awam bekerja dari rumah: CUEPACS

Utusan Borneo
 Abdul Rahman ketika bercakap kepada pemberita semasa sidang media di Miri, hari ini, sambil disaksikan oleh (dari kiri), Omar, Bong, Dr Jack, Roslan dan Rowland.
Abdul Rahman ketika bercakap kepada pemberita semasa sidang media di Miri, hari ini, sambil disaksikan oleh (dari kiri), Omar, Bong, Dr Jack, Roslan dan Rowland.
MIRI: Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS), hari ini meminta kerajaan menyemak cadangan pemberian eluan utiliti kepada penjawat awam di negara ini yang bekerja dari rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, 18 Mac lalu. 
Setiausaha agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohamad Nordin berkata elaun tersebut bagi menghargai sumbangan penjawat awam yang terus melaksanakan tanggungjawab mereka dari rumah dan pada masa yang sama membantu menangani wabak COVID-19 dalam negara, dengan mematuhi arahan-arahan kerajaan sepanjang PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).  
"Elaun utiliti untuk penjawat awam bagi penggunaan internet, elektrik dan sebagainya semasa mereka bekerja dari rumah sepanjang tempoh PKP dan PKPB yang lalu. 
"Kita mahu kerajaan menyemak balik cadangan tersebut yang ketika ini dalam pertimbangan," katanya kepada pemberita semasa sidang media di sini, selepas merasmikan mesyuarat agung dwi tahunan Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sarawak (SMSU) bahagian Miri, hari ini. 
Abdul Rahman dalam sidang media itu juga turut menekankan agar kerajaan membayar penebusan awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk ganjaran wang tunai bagi penjawat awam yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun. 
"Penebusan ini sepatutnya sudah boleh kita perolehi pada Januari 2020, namun pertukaran kerajaan telah menyebabkan ia tertangguh dan baru-baru ini, kita dikejutkan dengan pengumuman bahawa kerajaan baru ini mahu mengkaji semula perkara itu. 
"Sebaliknya, CUEPACS mahu kerajaan melaksanakan penebusan GCR dan diberi balik kepada penjawat awam sebab mereka juga memerlukan kewangan, khususnya kakitangan awam yang bergaji rendah. Mereka boleh menggunakannya untuk memperbaiki rumah, menanggung perbelanjaaan persekolahan anak-anak dan sebagainya," ujar beliau. 
Mengenai kontrak dua tahun untuk pegawai perubatan termasuk doktor, CUEPACS mahu tempoh tersebut dipanjangkan demi kebaikan jabatan kesihatan dan juga negara. 
"Selepas kontrak dua tahun, mereka tidak boleh diserap ke mana-mana dan tempoh dua tahun ini terlalu pendek sangat, sedangkan doktor ini, semakin lama dia bertugas maka semakin banyak kepakarannya dan ini yang kita perlukan, terutama dalam meningkatkan produktiviti," jelas beliau. 
Pada masa yang sama, beliau turut menekankan beberapa perkara dan tuntutan CUEPACS yang tertangguh sebelum ini terutama sejak 2018, supaya dilaksanakan sebagaimana sepatutnya. 
Antaranya ialah pemendekan kenaikan pangkat Time Based kali kedua yang dikurangkan dari 13 tahun kepada 10 tahun dan kuota Haji Khas kepada pesara. 
Kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) tambahan sebanyak RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana, yang hanya memberi manfaat kepada penjawat awam di Semenanjung Malaysia sahaja tetapi tiada kenaikan tambahan tersebut bagi Sabah dan Sarawak. 
"CUEPACS mahu kerajaan memberi sedikit insentif untuk penjawat awam di Sarawak dan Sabah," tambahnya. 
Beliau berkata CUEPACS juga mahu kerajaan mengkaji balik gaji penjawat awam dari RM1,200, berikutan paras kemiskinan yang dikeluarkan baru-baru yang menunjukkan ramai penjawat awam berada pada paras kemiskinan. 
Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengarah Hospital Miri, Dr Jack Wong, Presiden SMSU, Bong Kuek Siong, Setiausaha Kewangan CUEPACS, Roslan Nordin, Timbalan Pengerusi CUEPACS Sarawak dan Timbalan Presiden SMSU, Omar Bahrein Unin serta Ketua Penyelaras Penolong Pegawai Perubatan Bahagian Miri, Rowland Mitop, mewakili Pegawai Kesihatan Bahagian Miri. 

Tiada ulasan: