SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

10 Januari 2021

Diarah kerja dari rumah, tapi bil telefon, elektrik, siapa nak bayar, Cuepacs persoal kerajaan

 FMT
10 Januari 2021


PETALING JAYA: Kakitangan awam dilaporkan “berang” berhubung arahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang melarang mereka membuat sebarang tuntutan atas penggunaan telefon dan data internet apabila bekerja dari rumah susulan pandemik Covid-19.

Setiausaha Agung Cuepacs Abdul Rahman Mohd Nordin mengesahkan surat pekeliling terbaru JPA itu yang berkuat kuasa pada 1 Jan dan menyifatkannya sebagai tidak adil kepada ahli Cuepacs yang bekerja dari rumah.

Surat pekeliling itu mewajibkan kakitangan awam memiliki telefon bimbit sebagai syarat bekerja dari rumah, namun, tidak menyediakan sebarang elaun untuk mereka berbuat demikian, kata beliau.

Abdul Rahman berkata, dasar baharu itu tidak adil kerana kakitangan awam terpaksa menanggung bil elektrik dan kos penggunaan data lebih tinggi apabila menjalankan tugas dari rumah susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

“Bekerja dari rumah memaksa kakitangan awam menggunakan data internet berlebihan berbanding keadaan biasa. Ramai kakitangan awam hanya melanggan pakej pra bayar atau pakej asas langganan data.

“Sepatutnya kakitangan awam yang dikehendaki bekerja dari rumah harus diberikan telefon percuma supaya faktor bayaran bil ketika menjalankan urusan rasmi tidak diletakkan di atas bahu mereka,” kata beliau.

Abdul Rahman berkata surat pekeliling itu juga mengarahkan kakitangan awam memastikan telefon bimbit dan komputer yang diguna untuk tujuan kerja diasingkan daripada penggunaan peribadi bagi memastikan tiada “kebocoran” maklumat atau rahsia kerajaan.

Beliau berkata, arahan itu tidak munasabah kerana sebilangan besar kakitangan awam tidak mampu memberi telefon bimbit dan komputer khusus untuk menjalankan kerja pejabat.“Ramai daripada kami hanya mampu memiliki satu telefon, jadi macam mana nak asingkan kerja dengan kegunaan peribadi.”

Abdul Rahman berkata, Cuepacs turut terkilan kerana hanya pegawai Gred 44 ke atas menikmati elaun telefon, manakala 70% daripada kakitangan awam tidak diberikan imbuhan itu walaupun telefon menjadi peralatan penting dalam tugasan harian mereka.

“Surat pekeliling JPA ini tidak adil dan tidak masuk akal. Inilah sebabnya Cuepacs sering merayu JPA supaya berdialog dengan kami sebelum menggubal sebarang dasar baharu atau mengeluarkan surat pekeliling,” kata Abdul Rahman.


“Kami sememangnya sudah memberikan maklum balas dan cadangan kepada kerajaan mengenai dasar bekerja dari rumah sebelum ini apabila sebilangan besar ahli kesatuan terpaksa bekerja dari rumah semasa PKP dan PKPB dikuatkuasakan,” tambah beliau.

Abdul Rahman berkata surat pekeliling itu memberi kesan mendalam kepada kakitangan awam, di sebalik spekulasi bahawa PKP akan dikuatkuasakan semula susulan kes positif Covid-19 yang semakin meningkat.

Beliau menjangka lebih ramai kakitangan awam akan bekerja dari rumah dan terpaksa mematuhi surat pekeliling “tidak adil” itu jika PKP diperkenalkan semula di seluruh negara.

Surat pekeliling itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah JPA Mohd Khairul Adib Abd Rahman, menyebut: “kerajaan tidak akan menanggung apa-apa kos utiliti seperti bil telefon, bil elektrik, sewaan jalur lebar dan pembaikan kerosakkan peralatan” sepanjang tempuh bekerja dari rumah.

Ia mewajibkan pegawai kerajaan memiliki telefon bimbit dan kemudahan capaian internet yang “sewajarnya.”

Surat pekeliling itu turut melarang kakitangan awam berkongsi dokumen kerajaan dengan menggunakan Wifi di tempat awam.Kakitangan juga tidak layak mendapat elaun lebih masa sewaktu bekerja dari rumah, kecuali diarahkan bekerja di lokasi selain rumah, di luar waktu bekerja, menurut surat pekeliling JPA itu.

Setiausaha Agung Cuepacs Abdul Rahman Mohd Nordin.

Tiada ulasan: