SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

11 September 2021

Cuepacs: Pandangan Tommy Thomas amat jelik

 Malaysiakini
11 Septemnber 2021


Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membidas bekas peguam negara Tommy Thomas kerana mengaitkan penjawat awam dengan Umno.

Ini susulan kenyataan Thomas dalam sebuah webinar semalam apabila mengatakan penguasaan Umno ketika ini begitu utuh sehingga ribuan penjawat awam yakin bahawa parti tersebut 'sinonim' dengan Malaysia.

Presiden Cuepac, Adnan Mat berkata, Thomas membuat kesimpulan itu tanpa dapatan atau kajian yang kukuh bagi membuktikan apa yang didakwanya itu.

"Cuepacs menyifatkan pandangan tersebut amat jelik dari seorang yang pernah menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam sebagai peguam negara.

"Beliau sepatutnya tidak perlu mengaitkan penjawat awam dengan mana-mana parti politik atau ideologi kerana prinsip yang didukung oleh penjawat awam adalah neutral dan profesional dalam perkhidmatan masing-masing.

"Penjawat awam sentiasa mendukung mana-mana kerajaan yang memerintah tanpa mengira latar belakang politik yang mengetuai tampuk kepimpinan kerajaan.

"Sebagai jentera kerajaan, fokus penjawat awam adalah memastikan sistem penyampaian perkhidmatan sentiasa berada pada tahap maksimum untuk manfaat rakyat selaras dengan dasar kerajaan semasa," katanya Adnan dalam satu kenyataan.

Thomas, semasa sebuah webinar semalam, berpendapat Umno sentiasa mendominasi sehingga ramai orang melihat kepentingan parti itu setara dengan kepentingan negara, meskipun gagal menangani Covid-19.

"Penguasaan Umno dalam lanskap negara kita begitu kuat sehingga meyakinkan ribuan penjawat awam selama beberapa dekad bahawa Umno sinonim dengan Malaysia.

"Apa yang menjadi kepentingan Umno adalah kepentingan nasional," katanya.

Adnan menegaskan sebagaimana penjawat awam dilarang untuk mengeluarkan pendapat mengenai isu politik, Cuepacs juga berharap perkara tersebut turut dihormati oleh pemimpin politik dengan tidak mengaitkan penjawat awam dengan mana-mana pertikaian olitik.

"Penjawat awam juga rakyat Malaysia dan mempunyai kecenderungan politik tetapi mereka semua tetap profesional dan neutral dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara," tegasnya. 

Tiada ulasan: