SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

12 Mei 2008

BAIKI TAHAP PERKHIDMATAN TANDA TERIMA KASIH, KATA PRESIDEN CUEPACS

10 Mei, 2008 16:21 PM
Petikan dari Bernama



PUTRAJAYA, 10 Mei (Bernama) -- Anggota sektor awam diminta memperbaiki tahap perkhidmatan mereka sebagai penghargaan kepada kesediaan kerajaan memenuhi beberapa tuntutan mereka seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.Presiden Cuepacs Omar Osman berkata beliau berpuas hati dengan insentif yang diumumkan itu dan menyifatkannya sebagai lonjakan terbaik sektor awam setakat ini.

"Peningkatan umur persaraan, bayaran pencen ikut tempoh perkhidmatan, perubahan gaji, ini perjuangan Cuepacs sejak 15 tahun lalu, dan ketiga-tiganya dipenuhi dalam tempoh dua tahun ini (2007 dan 2008)."Cuma kita harap semua anggota sektor awam mulai hari ini mereka perlu menunjukkan peningkatan terhadap tahap dan sikap mereka bekerja, lebih berdisiplin dan produktif bagi meningkatkan sistem penyampaian kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2008 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Pada perhimpunan itu, Abdullah mengumumkan umur persaraan wajib dilanjutkan daripada 56 tahun kepada 58 tahun, pemansuhan ujian bertulis Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bagi kakitangan Gred 1 hingga 16, pembayaran pencen terbitan 100 peratus, pengiraan pencen berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun berbanding 25 tahun sebelum ini, dan pemberian ex-gratia kepada ibu atau bapa pegawai yang meninggal dunia tanpa waris.Mengenai umur persaraan, Omar berkata walaupun Cuepacs meminta ia dilanjutkan kepada 60 tahun, beliau berpuas hati dengan keputusan kerajaan meingkatkannya kepada 58 tahun dengan mengambil kira faktor kesihatan dan produktiviti pada usia tersebut, serta kemungkinan ia menjejaskan peluang pekerjaan di masa akan datang."Mungkin di masa akan datang kita boleh melihat semula sama ada usia ini sesuai untuk ditingkatkan lagi tapi buat masa ini keputusan ini adalah satu keputusan yang relevan," katanya.

Mengenai PTK, Omar berkata beliau menyambut baik pemansuhan ujian bertulis bagi Gred 1 hingga 16, dan bagi Gred 17 ke atas, Cuepacs telahpun menghantar kertas kerja mengenai kaedah penilaian terbaik dan ia akan ditentukan dari semasa ke semasa.Mengenai kadar pencen pula, Omar berkata kesemua pesara kerajaan serta bakal pesara kerajaan bakal menerima jumlah pencen yang lebih besar mulai Januari tahun depan.

"Ia melibatkan jumlah wang yang begitu tinggi, dan semua pesara akan mendapat manfaatnya walaupun tanpa bayaran tunggakan," katanya yang memahami perbelanjaan lebih besar terpaksa ditanggung kerajaan sekiranya kadar itu dibayar termasuk tunggakan.Mengenai elaun perumahan, Omar berkata beliau diberitahu oleh Perdana Menteri bahawa perkara itu akan dilihat dalam Bajet 2009 nanti, manakala elaun kritikal pula akan dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Cuepacs sebelum ini mengemukakan enam tuntutan iaitu pemberian honorarium sebanyak RM2,000, lanjutan umur persaraan dari 56 tahun kepada 60 tahun, kadar pencen mengikut perkhidmatan sebenar, pengubahan kaedah peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) serta imbuhan tetap perumahan dan elaun kritikal.Cuepacs bagaimanapun bersetuju dengan keputusan kerajaan yang menolak pemberian honorarium RM2,000 kepada 1.2 juta kakitangan awam setelah mengadakan pertemuan dengan Abdullah 17 April lalu.

Omar turut berharap agar hubungan antara majikan dan pekerja di sektor awam diperbaiki, terutama hubungan antara majikan dan ketua-ketua kesatuan dalaman."Ada di sesetengah agensi atau jabatan, kadang-kadang dia anggap kita (kesatuan pekerja) cuba mencampuri urusan pentadbiran. Kita tak boleh anggap macam tu sebab kalau Cuepacs boleh ada perundingan dengan PM, kenapa di peringkat agensi atau jabatan tak boleh buat," katanya.Beliau berkata ketika ini Cuepacs sedang mengumpul laporan daripada kesatuan dalaman di mana ketua jabatan tidak menghormati pemimpin kesatuan, dan perkara itu akan dibawa kepada pengetahuan Ketua Setiausaha Negara.-- BERNAMA

Tiada ulasan: