SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

13 Mei 2008

UMUR BERSARA KINI 58


Petikan dari Akhbar Utusan Malaysia


Abdullah Ahmad Badawi bersalaman dengan tetamu yang hadir pada majlis Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.– Bernama


PUTRAJAYA 10 Mei – Kerajaan memutuskan untuk meningkatkan umur persaraan kakitangan awam daripada 56 tahun kepada 58 tahun berkuat kuasa 1 Julai ini, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kadar jangka hayat di kalangan rakyat Malaysia.
Berucap pada Majlis Perhimpunan Pekerja Sektor Awam 2008 di sini hari ini, beliau menegaskan, berdasarkan kajian kerajaan ia tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan siswazah-siswazah baru.
‘‘Ini penting agar para penjawat awam generasi muda tidak merasakan peluang mereka untuk maju dalam kerjaya mereka semakin tipis, malah sebaliknya ia kian bertambah baik,” kata beliau.
Perhimpunan anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertemakan Sektor Awam Cemerlang, Negara Terbilang itu dihadiri 4,000 kakitangan awam dari seluruh negara.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan serta beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman.
Menurut Perdana Menteri, pengumuman tentang pelanjutan umur persaraan itu adalah antara beberapa keputusan yang dibuat kerajaan terhadap tuntutan CUEPACS.
‘‘Bagi tuntutan-tuntutan lain yang dikemukakan CUEPACS termasuk semakan semula kadar imbuhan tetap perumahan atau penyerapan masuk kakitangan kontrak sebagai kakitangan tetap, ia masih dalam penelitian kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam ketika ditemui selepas majlis itu berkata, pelanjutan umur persaraan yang diumumkan kerajaan hari ini tidak diwajibkan kepada kakitangan awam.
Sebaliknya, kata beliau, mereka diberi pilihan untuk menyambung perkhidmatan sehingga 58 tahun bergantung kepada tahap kesihatan masing-masing.
‘‘Contohnya anggota keselamatan seperti polis, jika ingin menyambut perkhidmatan dua tahun lagi, mereka perlu memastikan diri benar-benar berupaya untuk meneruskan tugas.
‘‘Apa pun, JPA menyambut baik pengumuman kerajaan hari ini dan berharap ia akan meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kakitangan kerajaan,” katanya
.