SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

07 Disember 2008

CUEPACS BATAL BOIKOT PTK

Berita Harian
Oleh Faiza Zainudinfaiza@bharian.com.my
7/12/2008

Keputusan selepas kerajaan setuju tambah baik sistem peperiksaan KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membatalkan keputusan untuk memboikot peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) buat sementara waktu. Presidennya, Omar Osman, berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan bersetuju menambah baik sistem peperiksaan berkenaan supaya lebih komprehensif dan tidak membebankan kira-kira 1.2 juta kakitangan awam.
Beliau berkata, pihaknya mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, bulan lalu, dan bersetuju dengan cadangan untuk menambah baik PTK yang sudah enam tahun tidak dikaji semula. "Cuepacs akan bermesyuarat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bulan depan, bagi melihat maklum balas mereka terhadap penambahbaikan yang kami cadangkan sebelum mengambil tindakan selanjutnya. "Pada masa ini, tidak jadilah boikot itu, tambahan pula kerajaan sudah memenuhi tuntutan kami dengan membenarkan kakitangan awam di bawah skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyertai skim pencen bermula tahun depan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini Cuepacs berhubung cadangan memboikot PTK jika kerajaan tidak memansuhkannya mulai tahun depan kerana mendakwa peperiksaan itu banyak memberi tekanan kepada anggota sektor awam. Cadangan yang diputuskan Majlis Kongres Cuepacs mewakili 120 gabungan kesatuan, bulan lalu mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk kerajaan yang bertegas dengan pendirian tidak akan tunduk kepada desakan Cuepacs itu. Sementara itu, mengulas mengenai sikap peniaga masih berdegil tidak menurunkan harga barang sejajar dengan langkah kerajaan menurunkan harga minyak sebanyak enam kali, Omar mahu pengguna menggunakan kuasa beli mereka bagi menggelak harga barang keperluan asas terus melambung. "Saya memang berharap peniaga beri kerjasama menurunkan harga barang, tetapi kalau masih berdegil juga, kita sebagai pengguna jangan beli barang yang harganya mahal.
"Kesedaran ini mesti ada, mesti bersatu bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan ke atas diri kita," katanya.

Tiada ulasan: