SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

22 Disember 2008

KAEDAH BARU PTK DIKUAT KUASA JANUARI

Berita Harian
20/12/2008


KUALA LUMPUR: Konsep, bentuk dan kaedah Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) sektor awam sudah dipinda dan akan dikuatkuasakan 1 Januari tahun depan bagi kepentingan kerjaya 1.2 juta kakitangan awam seluruh negara. Berikutan itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan Surat Pekeliling Bilangan 19 Tahun 2008 Pengubahsuaian PTK dengan memuatkan Panduan Pelaksanaan PTK Yang Diubah Suai turut diedarkan kepada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), minggu lalu. Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata melalui surat pekeliling terbaru itu, JPA turut memaklumkan semua tiga pekeliling berkaitan PTK dikeluarkan pada 2005 dan 2006 terbatal.
Katanya, pengubahsuaian PTK itu antara lain akan memberi kuasa penuh kepada setiap jabatan kerajaan menentukan pelaksanaan kaedah penilaian bersesuaian bagi kakitangan mereka. Beliau berkata, PTK sebelum ini berkonsepkan peperiksaan atau ujian bertulis semata-mata sehingga menimbulkan banyak bantahan di kalangan kakitangan awam, malah dikatakan ada kakitangan di negeri lain terpaksa ke Putrajaya hanya untuk menduduki satu kertas peperiksaan. Selain itu, katanya, soalan penilaian juga akan lebih fokus dengan membabitkan elemen kompetensi berkaitan bidang perkhidmatan kakitangan awam terbabit, sekali gus disifatkan lebih adil kerana bukan aspek menyeluruh seperti sebelum ini yang sering menjadi rungutan dan dikatakan antara faktor menjejaskan pencapaian mereka dalam PTK.
“Ini kerana ada kakitangan awam peringkat kolar putih yang bekerja di pejabat serta kolar biru yang membabitkan anggota berpakaian seragam seperti kastam dan bomba. Lebih ramai anggota kolar biru tidak mencapai aras empat (keputusan peperiksaan PTK) kerana tugas mereka lebih menjurus kepada fizikal. “Bukan mereka tidak membaca atau tidak pandai tetapi tidak ada masa (untuk membaca). Justeru dengan pindaan ini, Cuepacs berharap dapat meringan atau meredakan keadaan tertekan apabila mengambil PTK. Malah, aspek pengalaman akan turut diambil kira dalam PTK yang diubah suai itu,” katanya pada sidang akhbar selepas program taklimat khas Majlis Kongres Cuepacs yang dihadiri kira-kira 200 pemimpin kesatuan. Omar berkata, pemberian kuasa penuh kepada setiap jabatan kerajaan tidak akan menjejaskan standard dan kualiti PTK kerana penilaian tetap tertakluk kepada garis panduan dalam surat pekeliling dikeluarkan JPA, selain pemantauan pusat penilaian kompetensi masing-masing. Sambil menyifatkan pengubahsuaian itu sebagai komprehensif dan mengambil kira maklum balas Cuepacs berhubung isu PTK selama ini, beliau berkata, 120 kesatuan di bawah kongres terbabit akan membincangkan pengubahsuaian berkenaan pada peringkat kepemimpinan masing-masing.
Katanya, mereka diberi tempoh menyemak sehingga 10 Januari depan sebelum membentangkan keputusan menerima pengubahsuaian itu atau mahu penambahbaikan lagi terhadap PTK pada mesyuarat khas Majlis Kongres Cuepacs di Sungai Petani, Kedah, 10 Januari depan.

Tiada ulasan: