SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

10 Julai 2010

SPRM TAHAN 194 PEMBERI BERI RASUAH

Berita Harian
10/7/2010





KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 194 orang yang didapati menawarkan rasuah kepada penjawat awam sejak Januari hingga bulan lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed, berkata mereka yang memberi rasuah kini tidak terlepas daripada tindakan undang-undang, sama seperti penerima rasuah. Beliau berkata, orang awam yang ditahan kerana kesalahan rasuah juga membabitkan rakyat asing, antaranya dari Bangladesh, Singapura, Vietnam, Sepanyol dan Argentina. "Antara kesalahan mereka kerana cuba memberi rasuah kerana ketiadaan dokumen perjalanan diri dan ada yang ditahan kerana memberi rasuah kepada anggota polis trafik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan "Bulan Julai sebagai Integriti Amanahraya" di Wisma Amanahraya di sini hari ini.

Katanya, dalam tempoh sama, seramai 140 penjawat awam turut ditahan kerana kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.

"Statistik bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini menunjukkan agensi penguatkuasa di negeri ini masih terdedah kepada jenayah rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

"Bagaimanapun kini orang awam yang ditahan lebih ramai dari penjawat awam, ini mungkin kerana peningkatan integriti dan kesedaran menjauhi rasuah di kalangan penjawat awam," katanya.
Mengenai aktiviti mencegah rasuah di kalangan pekerja di sesebuah organisasi termasuk sektor awam dan swasta diteruskan, SPRM akan menganjurkan kursus "Sijil Pegawai Integriti" (CIO) yang akan dimulakan pada bulan ini.

Beliau berkata, kursus pertama itu bakal memberi pengetahuan menyeluruh dan teknik terkini mengenai fahaman integriti dalam usaha membanteras rasuah di negara ini.

Katanya, kursus bagi kumpulan pertama itu akan dijalankan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) selama seminggu pada setiap bulan selama enam bulan.

"Sebelum ini kita meletakkan pegawai kita sebagai CIO di Amanahraya Berhad dan kita dapati langkah itu efektif dalam membudayakan integriti dan meningkatkan sistem perkhidmatan organisasi.

"Justeru kita mengaplikasi langkah itu dengan mengambil dan memilih pegawai-pegawai dari beberapa organisasi termasuk sektor awam dan swasta untuk menjalani kursus tersebut supaya dapat menjadi CIO di organisasi sendiri," katanya.

Beliau berkata, pada pengambilan pertama ini tiada sebarang yuran dikenakan dan kini SPRM sedang meneliti permohonan untuk memilih hanya 30 pegawai dari pelbagai sektor.

Tiada ulasan: