SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

22 Julai 2010

TIADA TINDAKANTATATERTIB - KSN

Utusan Malaysia
Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK
saiful.sahak@utusan.com.my



KUALA LUMPUR 22 Julai – Tiada tindakan tatatertib akan diambil terhadap Pegawai Kemajuan Negeri (SDO) Pulau Pinang, Nik Ali Mat Yunus berikutan tindakannya memberi kenyataan balas berhubung dakwaan Ketua Menteri, Lim Guan Eng terhadapnya.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, tindakan Nik Ali itu dilihat untuk mempertahankan diri daripada tuduhan yang dilemparkan Guan Eng.

‘‘Nik Ali dituduh dengan perkara tidak benar dan dihentam berkali-kali. Dia pun ada nilai diri. Jika dia tidak memberi penjelasan, nanti rakyat ingat dia bersalah, jadi wajarlah dia memberi penjelasan.

‘‘Kita tidak akan mengambil tindakan tatatertib terhadap Nik Ali kerana dia cuba mempertahankan diri daripada tuduhan-tuduhan yang tidak benar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Forum Garis Panduan Perolehan Kebangsaan 2010 bertemakan ‘Kenapa Perolehan Dilakukan Secara Senyap’ di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia, Ahmad Shahab Din; Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh.

Pertelingkahan Guan Eng dan Nik Ali tercetus apabila Ketua Menteri Pulau Pinang itu didakwa beberapa kali mengeluarkan kenyataan menyerang pegawai terbabit.

Terbaru, Guan Eng menuduh Nik Ali tidak profesional, tidak kompeten, pengecut dan patut dipecat berikutan isu curi pasir di tapak cadangan pembinaan politeknik di Balik Pulau yang terletak di bawah bidang kuasa SDO.

Sebelum ini Guan Eng juga didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Nik Ali ketika majlis pelancaran projek Keretapi Bukit Bendera dengan menuduh pegawai itu tidak menyediakan tempat duduk untuknya.

Guan Eng juga ‘menyerang’ Nik Ali berhubung keputusan kerajaan Pusat merobohkan dua pintu gerbang Taman Botani Pulau Pinang dengan menuduhnya membazirkan wang kerajaan sedangkan projek itu dilaksanakan agensi kerajaan negeri iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Taman Botani.

Selepas diserang tiga kali, Nik Ali bertindak balas dengan menganggap kritikan Guan Eng terhadapnya sebagai melampau dan biadap sehingga memaksanya membuat kenyataan mengkritik Ketua Menteri berkenaan.

Menurut Mohd. Sidek, Guan Eng sepatutnya tidak menyalahkan Nik Ali kerana peranan dan tanggungjawab pegawai itu terletak di bawah kerajaan Persekutuan.

‘‘Tanggungjawab Nik Ali bukan terletak di bawah bidang kuasa Guan Eng. Kalau ada kesalahan tak perlu pergi kepada media dan menyalahkan Nik Ali. Guan Eng sepatutnya mematuhi prosedur dengan menyalurkan aduan mengenai isu itu kepada jabatan atau agensi yang berkenaan,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan Nik Ali akan dihalau keluar dari negeri itu Mohd. Sidek berkata, tindakan itu jika dilakukan mencerminkan sikap kerajaan negeri yang tidak prihatin terhadap peranan dan tanggungjawab penjawat awam di negara ini.

‘‘Tindakan itu adalah zalim dan merendah-rendahkan peranan penjawat awam yang dilantik di negeri yang dipimpin mereka. Lagi pun Nik Ali merupakan pegawai Persekutuan yang dihantar untuk mengetuai pejabat Persekutuan di negeri itu.

‘‘Saya amat takut akan sikap dan kelakuan yang ditunjukkan oleh pemimpin berkenaan,” katanya.

Tiada ulasan: