Bernama
4/3/2015
PUTRAJAYA,
4 Mac (Bernama) -- Kementerian Kesihatan hanya akan membuat keputusan
muktamad mengenai pemisahan fungsi klinik dan farmasi dalam pemberian
ubat apabila kebaikan dan kelemahan bagi cadangan pemisahan itu dikaji
dan dibincangkan.
Menteri Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata pihaknya akan meneruskan
proses perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan berhubung
pengasingan dispensari atau pemisahan fungsi klinik dan farmasi di bawah
rang undang-undang farmasi baharu yang dicadangkan.
Beliau berkata kementerian ingin mengulangi bahawa rang undang-undang
farmasi yang dicadangkan kini berada di peringkat penggubalan oleh
Jabatan Peguam Negara dengan pelbagai sesi perbincangan diadakan antara
Kementerian Kesihatan dengan pelbagai pihak berkepentingan.
"Sesi perbincangan dijalankan secara berperingkat membabitkan bahagian
kementerian sendiri, pengamal persendirian, pengguna, agensi kerajaan,
persatuan farmasi dan ahli akademik. Oleh itu, tiada tempoh masa
ditetapkan sehingga semua proses selesai dijalankan.
"Marilah kita semua bekerjasama, berfikiran jelas dan membenarkan proses
perbincangan diteruskan untuk mencapai situasi menang-menang untuk
semua," kata menteri itu dalam satu kenyataan di Putrajaya, Rabu.
Sementara itu, Dr Subramaniam berkata satu lagi perbincangan dijadualkan
pada 9 Mac antara Kementerian Kesihatan dengan Jabatan Peguam Negara
bersama kumpulan pergerakan pengguna berkaitan iaitu Kongres Kesatuan
Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Gabungan Persatuan
Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP),
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan pengguna antarabangsa.
Beliau berkata ia akan disusuli sesi perjumpaan dengan agensi-agensi
kerajaan yang lain pada 16 Mac, Persatuan Farmasi (23 Mac) dan akademik
(30 Mac).
Dr Subramaniam menegaskan bahawa pengasingan dispenasri hanya sebahagian daripada cadangan dalam rang undang-undang farmasi itu.
Beliau berkata walau apa jua perubahan, ia antara lain akan meningkatkan
penjagaan pesakit melalui akses yang lebih baik untuk ubat-ubatan,
penduduk yang sihat melalui penggunaan ubat-ubatan berkualiti dan
membendung kos sistem penjagaan kesihatan.
Menurutnya semuanya akan dibuat melalui pengurusan ubat-ubatan yang
baik, sistem penjagaan kesihatan yang mapan melalui perkongsian dan
kerjasama semua pihak yang terlibat dalam penjagaan kesihatan.
"Ia memberi tumpuan untuk mengukuhkan penjagaan pesakit dan sistem
penjagaan kesihatan di negara kita. Rang undang-undang perlu bersifat
holistik.
"Rang undang-undang baharu itu antara lain akan meningkatkan penalti,
memerangi pemalsuan, meningkatkan kecekapan dan menyeragamkan standard,"
katanya.
--BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan