SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

16 Mac 2020

Bank wajar struktur semula pinjaman mangsa COVID-19



                                                    KUALA LUMPUR: Institusi perbankan negara ini disaran membantu golongan peminjam yang terjejas pendapatan akibat wabak coronavirus, COVID-19, dengan menangguhkan bayaran balik atau membuat penstrukturan semula pinjaman.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, berkata inisiatif itu perlu berikutan pihaknya banyak menerima keluhan daripada pekerja yang kehilangan pendapatan atau diberi notis cuti sementara tanpa gaji, susulan ada syarikat dan industri yang terjejas ekoran wabak ini.
“CUEPACS amat prihatin dengan peningkatan COVID-19 yang sudah tentu memberi kesan kepada semua pihak seperti industri kecil sederhana (IKS), sektor pelancongan dan industri yang berurusan dengan negara China yang memberi kesan kepada perolehan syarikat dan pendapatan keluarga.
“Justeru, CUEPACS memohon supaya bank juga memberi inisiatif bagi menangani wabak ini khusus kepada peminjam mereka seperti penjawat awam, kakitangan syarikat dan industri terbabit dengan menangguhkan bayaran balik serta membuat penstrukturan semula pinjaman sehingga wabak ini selesai, ” katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan anggaran kerugian keseluruhan dalam sektor pelancongan mulai Januari hingga Februari 2020 adalah sebanyak RM3.37 billion akibat penularan COVID-19.
Muhyiddin dilaporkan berkata, kerajaan menganggarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menurun sebanyak 0.8 peratus hingga 1.2 peratus, iaitu penurunan sebanyak RM10.8 billion hingga RM17.3 billion.
Pada masa sama, Adnan berkata, pihaknya juga ingin mencadangkan kepada kerajaan supaya memasukkan penyakit COVID-19 dalam pekeliling bilangan 11 tahun 2016 yang membolehkan ibu bapa dan penjawat awam mendapatkan kemudaha cuti kuarantin atas sebab wabak itu.
“Berikutan pengisytiharan COVID-19 sebagai pandemik, kerajaan dicadangkan supaya memberi pertimbangan kepada penjawat awam kemudahan cuti kuarantin sebagaimana pekeliling bilangan 11 dengan memasukkan COVID-19 sebagai penyakit berjangkit, ” katanya.
Selain itu katanya, Kementerian Kesihatan diminta menyediakan keperluan kritikal seperti pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) yang mencukupi untuk semua warga kerjanya dalam berdepan pandemik ini.
“CUEPACS juga mengalu-alukan usaha Kementerian Kesihatan yang merekrut 1,000 housemen di hospital awam untuk membantu mengurangkan beban kerja yang dihadapi warga kerja sedia ada, ” katanya.

Tiada ulasan: