SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

14 Mac 2020

Penjawat awam disaran beri perhatian pada Tonggak 12 - Cuepacs

Astrowani
Najmi Syahiran Mamat



KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) menyarankan penjawat awam untuk terus memberi perhatian kepada nilai asas perkhidmatan awam seperti yang telah digariskan dalam Tonggak 12.
Presidennya, Adnan Mat, berkata, Tonggak 12 dengan jelas membawa maksud memastikan kelancaran dan kualiti perkhidmatan awam di tahap yang teratas.
Menurutnya, sejajar dengan saranan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menggesa kakitangan awam menghormati masa bekerja, perkara yang sama turut dipandang serius oleh Cuepacs.
Bahkan, kata Adnan, menepati dan menghormati masa bekerja perlu diberi penekanan dan diingatkan dari semasa ke semasa.
“Penjawat awam sebenarnya telah pun didedahkan dengan Tonggak 12 ini yang menjadi garis panduan kepada semua peringkat yang perlu diamalkan.
“Justeru, setiap jabatan dan organisasi perlu sentiasa patuh dan mengamalkan panduan ini supaya perkhidmatan kerajaan berjalan dengan lancar demi kesejahteraan negara,” kata Adnan kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Jumaat.
Adnan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dr Zulkifli yang menegaskan, beliau tidak suka penjawat awam di bawah jabatan dan agensi kementerian mengabaikan waktu ketika menjalankan tugas.
Dr Zulkifli pada Khamis juga berkata, pentadbirannya akan memperkenalkan cara kerja mengikut sistem piramid dan menitikberatkan konsep masa ketika bertugas.
Tonggak 12 yang merupakan dasar dan pegangan kepada sesuatu tindakan oleh penjawat awam menggariskan perkara-perkara seperti menghargai masa, nikmat mencipta, keseronokan bekerja, pengaruh teladan, keutamaan kesabaran dan peningkatan bakat.
Selain itu, turut digariskan dalam Tonggak 12 adalah kebijaksanaan berhemat, ketekunan membawa kejayaan, memuliakan kesederhanaan, ketinggian peribadi, kekuatan sifat baik hati dan kewajipan menjalankan tugas.
Mengulas lanjut mengenai sistem piramid seperti yang dinyatakan oleh Dr Zulkifli, Adnan berkata, sistem piramid merupakan satu konsep yang berpaksi kepada tonggak yang di atas.
Ia bermaksud pihak yang di atas perlu memantau pihak yang di bawah sementara yang di bawah perlu sentiasa yang menyokong pihak yang di atas.
“Kedua-dua pihak perlu menyokong antara satu sama lain untuk memajukan visi dan misi melalui ketua jabatan masing-masing,” katanya Adnan lagi.
Tambah Adnan, Cuepacs juga akan terus menyokong saranan menteri dalam mengingatkan penjawat awam terhadap kualiti perkhidmatan mereka.
Dalam pada itu, menyambut baik teguran yang diberikan Dr Zulkifli terhadap isu penjawat awam yang makan pada pukul 4 petang, beliau berkata tindakan itu berkemungkinan membabitkan mereka yang bekerja mengikut waktu ‘syift’.
“Selain waktu-waktu fleksible, kita juga ada waktu-waktu yang dipanggil sebagai waktu ‘syift’. Mungkin mereka yang makan pada waktu itu adalah mereka yang baru selesai waktu bekerja ‘syift’.
“Kita tidak mengatakan ia satu kes yang berat atau satu amalan kebiasaan penjawat awam,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengulas mengenai status terkini projek rintis Waktu Bekerja Flexi (WBF) yang telah dipersetujui bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selepas membincangkan keberkesanannya.
Adnan, bagaimanapun berkata, di peringkat pelaksanaan, ia belum dilaksanakan secara menyeluruh.
“Justeru, Cuepacs menyarankan kepada semua ketua perkhidmatan agar menerima pakai pekeliling tersebut dan seterusnya segera dilaksanakan di semua peringkat jabatan,” tambahnya lagi.
Cuepacs menyambut baik saranan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menggantikan Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) dengan pekeliling baharu, Waktu Bekerja Flexi (WBF) dalam usaha memberi kelegaan kepada waktu bekerja penjawat awam di negara ini.

Tiada ulasan: