SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

28 Jun 2021

Cuepacs seru mogok Hartal Doktor Kontrak tidak diadakan

 My Metro
27/6/2021


Putrajaya: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyeru mogok Hartal Doktor Kontrak tidak diadakan kerana ia akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan awam negara yang kini berada dalam keadaan genting.

Berikutan itu, Presiden Cuepacs Adnan Mat menggesa kerajaan untuk menangani isu status kontrak pegawai perubatan kerajaan ini bagi memastikan pembangunan kerjaya doktor muda berkenaan terjamin.

Katanya, sejak sekian lama Cuepacs berpendirian lantikan kontrak dalam kalangan penjawat awam, terutama dalam sektor kesihatan ini tidak sepatutnya diamalkan.

"Dalam hal ini, Cuepacs berdiri teguh dan bersolidariti dengan doktor muda ini dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dalam memperjuangkan hak pekerjaan mereka untuk mendapat status lantikan tetap.

"Cuepacs juga bersedia menjadi penghubung bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pegawai perubatan muda ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenai khidmat doktor kontrak berkenaan, Adnan berkata, ketika negara kini dilanda Covid-19, kepakaran dan khidmat bakti pegawai muda ini terus ditagih namun status kontrak yang digalas mereka tidak memberi sebarang jaminan kerjaya.

"Dengan kontrak disambung saban tahun, mereka juga menerima gaji, elaun dan cuti yang terhad berbeza dengan doktor tetap.

"Lebih menyedihkan lagi pegawai perubatan kontrak ini tidak berpeluang menyambung kepakaran mereka ke tahap yang lebih tinggi untuk bergelar pakar kerana status kontrak berkenaan.

"Disebabkan tiada jaminan dalam pekerjaan dan pembangunan kerjaya, pegawai perubatan muda ini sukar membuat perancangan masa depan kerana sentiasa menunggu penyambungan kontrak setiap masa," katanya.

Katanya, situasi yang berlaku kini boleh memberi kesan jangka panjang kepada sektor perkhidmatan kesihatan awam negara.

"Sekiranya doktor muda ini melihat tiada sinar masa depan di negara sendiri dan berkemungkinan akan memilih untuk berkhidmat di luar negara.

"Ketika itu apabila negara kekurangan tenaga pakar barulah kita semua sedar kesilapan yang dibuat," katanya.

Tiada ulasan: