Utusan Malaysia
28/4/2009
Tindakan Datuk M. Saravanan, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, memaklumkan kes doktor tidak bertanggungjawab yang melengahkan proses rawatan kepada media adalah tepat dan perlu disokong. Kenyataan CUEPACS yang kesal terhadap tindakan Timbalan Menteri itu adalah tidak wajar.
Sebagai rakyat biasa, saya masih tidak tahu apa yang dilakukan oleh CUEPACS untuk membetulkan disiplin dan menangani aduan rakyat tentang kakitangan awam.
Sekiranya kakitangan awam benar-benar bekerja dengan penuh dedikasi maka aduan seperti ini pastinya tidak akan timbul. Kerjaya sebagai doktor adalah dianggap profesional namun mereka turut ‘curi tulang’. Maka tidak hairanlah dan berkemungkinan besar sekiranya mereka yang menjawat jawatan lain seperti kerani, penyambut tetamu, pegawai dan sebagainya akan lebih ‘curi tulang’.
Apa yang diperjuangkan CUEPACS selama ini hanyalah menuntut kenaikan gaji dan pelbagai imbuhan lain. Tetapi rakyat yang membayar ‘gaji’ kakitangan kerajaan melalui cukai dan sebagainya sentiasa dilayan dengan buruk.
CUEPACS perlu sedar bahawa tuntutan tersebut perlu selari dengan kualiti kerja. Dalam hal ini, CUEPACS digesa turun padang, seterusnya menyediakan pasukan khas yang sentiasa memantau dengan kerap prestasi kakitangan kerajaan di bawah naungan mereka. Adakan lawatan mengejut dan ‘berlakon’ sebagai pelanggan supaya mereka tahu permasalahan sebenar yang dihadapi oleh rakyat.
Berdasarkan pengalaman berurusan dengan pihak hospital mahupun jabatan kerajaan, mutu yang diberikan terutamanya dari aspek layanan, kualiti perkhidmatan, budi bahasa dan khidmat pelanggan adalah rendah dan menyakitkan hati.
Mereka beranggapan pelanggan yang datang adalah satu beban dan tambahan kerja bagi mereka. Perlu diingat bahawa permasalahan sikap dan juga mutu kerja perkhidmatan awam sentiasa dipersoalkan oleh masyarakat.
Pengalaman peribadi saya juga menunjukkan bahawa jabatan ataupun agensi kerajaan ini akan lebih takut sekiranya kecuaian ataupun prestasi buruk mereka diketahui umum.
Beberapa bulan yang lalu saya ada menghantar beberapa teguran mengenai agensi kerajaan ke media dan telah disiarkan. Kesannya mereka dengan segera menelefon kembali dan memohon maaf atas segala kesulitan dan berusaha untuk memperbaiki perkhidmatan.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru agar Menteri, Timbalan Menteri dan semua pemegang jawatan utama awam supaya selalu turun padang dan membuat pemeriksaan mengejut bagi mengetahui permasalahan yang dihadapi oleh pelanggan terhadap agensi atau jabatan yang mereka tadbir.
Dalam hal ini, kerajaan perlu sedar bahawa imej kerajaan adalah terletak di tangan pegawai-pegawai mereka yang berkhidmat di seluruh negara.
Sekiranya rakyat sudah hilang keyakinan, teguran dibiarkan sepi dan mereka sudah bosan dengan kerenah kakitangan kerajaan yang bermasalah ini, maka rakyat pasti akan menterjemahkan protes mereka di peti undi.
Ini amat merugikan kerajaan dan mencemarkan nama baik kakitangan lain yang bekerja dengan penuh tanggungjawab.
AZMI AHMAD
Pontian, Johor
Tiada ulasan:
Catat Ulasan