Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) supaya turut menangguhkan pembayaran balik pinjaman perumahan penjawat awam selama enam bulan, sebagaimana yang dilakukan institusi kewangan di bawah seliaan Bank Negara.
Presidennya, Adnan Mat berkata, penangguhan bayaran pinjaman itu perlu kerana alasan penjawat awam dan pesara kerajaan tetap menerima gaji penuh dan pencen bagi menampung perbelanjaan bulanan, tidak lagi relevan untuk agensi berkenaan menolak pemberian moratorium.
Beliau berkata tidak semua pasangan penjawat awam bekerja dalam sektor kerajaan kerana dianggarkan lebih 50 peratus bekerja dalam sektor swasta, berniaga secara kecil-kecilan selain merupakan suri rumah sepenuh masa.
Bagaimanapun katanya, berikutan pelaksanaan berterusan kawalan pergerakan susulan penularan Covid-19 sejak tahun lalu, terdapat dalam kalangan mereka sudah kehilangan kerja, terjejas pendapatan dan tidak lagi boleh berniaga.
"Selain itu, kebanyakan penjawat awam juga memohon pinjaman LPPSA dengan mengemukakan pendapatan bersama mereka dengan pasangan masing-masing bagi membolehkan pembiayaan diluluskan. Jika tidak, sudah tentu pembiayaan penjawat awam ini sukar mendapat kelulusan apatah lagi dengan harga kediaman yang mahal ketika ini.
"Sekiranya LPPSA membenarkan penangguhan bayaran pinjaman dilakukan, mereka yang terbabit akan mempunyai lebihan pendapatan yang boleh digunakan untuk merancang kembali kewangan serta membantu keluarga yang dalam kesusahan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Dalam pengumuman menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bernilai RM150 bilion minggu lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan moratorium selama enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam, tanpa syarat meliputi golongan B40, M40 atau T20 dan usahawan mikro bagi membantu mereka dalam berdepan penularan Covid-19.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan