SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

27 Julai 2021

Hartal Doktor Kontrak: Jangan ambil tindakan terhadap doktor terbabit protes - Cuepacs

 Astrowani
26/7/2021


KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan tidak mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai perubatan yang menyertai Hartal Doktor Kontrak pada Isnin.

Presidennya, Adnan Mat, berkata meskipun Cuepacs pada dasarnya tidak bersetuju dengan tindakan kumpulan itu, namun tetap menghormati suara dibawa mereka.

"Cuepacs berharap kerajaan atau pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan daripada sudut perundangan mahupun tatatertib yang boleh memberi kesan kepada perkhidmatan pegawai perubatan kontrak ini.
"Difahamkan tindakan 'demonstrasi' tersebut tidak menjejaskan operasi perkhidmatan kesihatan di fasiliti kesihatan masing-masing kerana ia hanya melibatkan mereka yang sedang rehat dan sedang bercuti.
"Berilah mereka peluang yang sewajarnya memandangkan perkhidmatan mereka ketika ini amat diperlukan oleh negara yang sedang menghadapi pandemik COVID-19," jelasnya dalam kenyataan media pada Isnin.
Hartal Doktor | Kami tidak takut - Doktor kontrak
Mengulas lanjut, Adnan berharap agar kerajaan dapat menyelesaikan permasalahan berkenaan dengan sewajarnya.
Malah tambahnya, satu tempoh masa yang jelas perlu ditetapkan oleh kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melihat semula penempatan doktor yang bukan pada skop dan fungsi asalnya.
Katanya, Cuepacs juga berharap agar kerajaaan dapat membuka ruang bagi doktor-doktor kontrak melanjutkan pelajaran untuk mendapatkan kepakaran di mana-mana institusi yang diiktiraf kerajaan.
Terdahulu, puluhan pegawai perubatan kontrak di hospital di beberapa negeri terbabit dalam Hartal Doktor Kontrak atau mogok umum dengan keluar beramai-ramai dari fasiliti kesihatan tempat mereka bekerja tepat pukul 11 pagi Isnin.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Jumaat dilapor berkata, KKM bersama kementerian serta agensi lain diarah merangka pelan komprehensif dan inklusif bagi menangani isu berkaitan kumpulan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak.
Beliau berkata pelan tersebut perlu merangkumi tindakan segera, pelan jangka pendek, sederhana dan pelan jangka panjang.
Jelas beliau, kerajaan amat memahami tuntutan kumpulan petugas kesihatan berstatus kontrak dan sedar bahawa sumbangan dan peranan mereka sebagai barisan hadapan adalah amat penting dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat, terutamanya dalam situasi pandemik COVID-19.
"Sebagai langkah penyelesaian segera, Kabinet bersetuju supaya Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak (contract of service) untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.
"Kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.
"Langkah ini bagi memastikan pegawai-pegawai yang berkenaan berjaya melengkapkan pengajian kepakaran masing-masing," katanya.

Tiada ulasan: