Utusan Malaysia
Oleh WAN NORAZAH WAN CHIK
rencana@utusan.com.my
8/8/2009
PERJUANGAN Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memang kelihatan seperti tiada noktah. Semua pihak kagum dengan usaha berterusan kongres itu demi faedah seluruh penjawat awam.
Terbaru, Cuepacs pada Rabu lalu mengumumkan ia telah menyiapkan kertas kerja untuk meminta kerajaan menyediakan wad kelas satu bagi semua penjawat awam.
Malah Presidennya, Omar Osman menegaskan, kertas kerja itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat.
Alasannya, ia perlu untuk menaikkan imej penjawat awam agar merasa lebih dihargai dan mempunyai motivasi lebih baik untuk memberi perkhidmatan cemerlang. Ia untuk kebaikan 1.2 juta kakitangan awam, kata Omar.
Cadangan itu memang nampak menarik. Tetapi persoalannya, adakah Cuepacs membuat kajian menyeluruh dan mengambil kira semua perkara? Dengan mengambil kira kemudahan di hospital-hospital ketika ini dan jumlah penjawat awam, mampukah cadangan itu dilaksanakan?
Kerajaan membina hospital dengan mengambil kira keperluan seluruh rakyat. Ia bukan sahaja untuk penjawat awam. Tetapi juga untuk semua penduduk - tanpa mengira status pendapatan, waima penganggur sekali pun.
Maka wujudlah hospital-hospital yang menumpukan kepada keperluan rakyat kebanyakan. Tumpuan diberikan lebih kepada pembinaan wad-wad kelas tiga. Oleh itu, jumlah wad kelas satu adalah terhad dengan jumlah katil yang juga terhad.
Contohnya Hospital Serdang. Hospital baru itu kini hanya mengendalikan operasi wad kelas satu dengan keupayaan 24 buah katil. Keadaan yang terhad itu disebabkan oleh ketidakcukupan kakitangan untuk mengendalikannya. Kesemua 24 katil itu biasanya diisi oleh pesakit. Mereka terdiri daripada penjawat awam dan pekerja swasta.
Kita andaikan cadangan Cuepacs itu diterima oleh kerajaan. Apa yang pasti, langkah pertama ialah membina bangunan baru di hospital-hospital untuk wad kelas satu. Ia adalah kemestian kerana sudah pasti kerajaan tidak boleh mengorbankan wad-wad kelas tiga sedia ada. Ramai lagi rakyat yang bukan penjawat awam memerlukan khidmat kelas tiga.
Jadi, mahu tidak mahu ia akan melibatkan kos. Pastinya tambahan berbilion-bilion ringgit. Adakah semua itu berbaloi?
Rasanya lebih baik kos untuk pembinaan wad-wad kelas satu itu disalurkan untuk keperluan lain yang lebih mendesak. Antaranya menyediakan rawatan yang lebih baik termasuk membeli vaksin-vaksin untuk memerangi pelbagai penyakit baru dan tidak terduga yang muncul dalam masyarakat kita.
Lagipun, bukan semua pesakit boleh ditempatkan di wad kelas satu. Pesakit yang menghidap penyakit kritikal tidak akan ditempatkan di kelas satu walaupun layak. Mereka biasanya ditempatkan di kelas tiga - berhampiran kaunter jururawat. Ia bertujuan membolehkan pemantauan 24 jam.
Begitu juga dengan kes-kes yang lebih kritikal yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan unit rawatan koronari (CCU). Rawatan di kedua-dua unit itu adalah sama. Tiada perbezaan sama ada pesakit itu layak untuk kelas satu, dua atau tiga.
Rawatan akan diberikan tanpa membezakan apa "kelas" pesakit berkenaan. Para doktor dan jururawat akan bertungkus-lumus menyelamatkan mereka.
Sementara itu, jika motivasi dijadikan alasan, sejauh manakah Cuepacs boleh memberi jaminan yang penjawat awam akan memberi perkhidmatan lebih cemerlang sekiranya diberi rawatan di wad kelas satu?
Adakah Cuepacs cuba memberitahu bahawa ketika ini, penjawat awam yang tidak layak dimasukkan ke kelas satu adalah "golongan yang tidak cemerlang?" Rasanya mereka tidak begitu. Ramai penjawat awam berpangkat rendah yang cemerlang.
Jika motivasi juga menjadi ukuran, rasanya cadangan itu juga tidak membantu merangsang generasi muda khususnya di peringkat sekolah. Ramai yang berusaha keras belajar hingga ke peringkat tinggi bagi mendapat ganjaran lebih baik apabila dewasa. Namun sekiranya semua kemudahan adalah dalam konteks "pukul rata", tentu tiada lagi motivasi dalam soal itu.
Akhirnya tiada lagi daya saing kerana "tidak perlu menjadi cemerlang untuk mendapat yang terbaik". Oleh itu, dalam konteks perjuangan, apa yang penting adalah keadilan. Jangan cuba mendesak untuk mendapat persamaan. Keadilan dan hak persamaan adalah berbeza. Meletakkan sesuatu pada tempatnya merupakan elemen keadilan.
Seharusnya semakin tinggi tanggungjawab dan lagi berat kebertanggungjawaban seseorang itu, dia sepatutnya menerima ganjaran yang lebih baik. Ini selaras dengan konteks keadilan.
Jika dikemukakan soal persamaan, dengan mengambil kira semua penjawat awam menerima faedah yang sama tanpa mengira jawatan atau gred, ia sudah dikira tidak adil.
Tidak ada yang sama atau setaraf dalam hidup di dunia ini. Setiap sesuatu ada hierarkinya. Malah Allah SWT sendiri menilai hamba-Nya secara berbeza. Allah lebih sayangkan hamba-Nya berdasarkan nilai ketakwaan seseorang.
Jadi jangan diminta soal persamaan. Malaysia bukan negara sosialis maka rakyatnya perlu sama dalam semua hal. Banyak lagi perkara yang boleh diperjuangkan oleh Cuepacs. Walau apa pun, biarlah berpada-pada. Jangan terlalu bebankan kerajaan.
9 ulasan:
saya sokong ulasan ini.
masalahnya cuepac terlalu meminta utk golongan sokongan.
cuepacs nak gaji sama taraf kot..
kalau mcm tu...x guna ada ijazah. gaji sama mcm srp saja.
betul ke..
ingatlah..ganjaran berdasarkan kelayakan.
betul tu. contohnya jurutaip dengan kerani. Apabila jurutaip dinaikkan gred ke N17, gaji dah tinggi daripada kerani yang masuk kerja dengan gred N17 padahal kerani yang masuk kerja dulu daripada jurutaip. Kelulusan jurutaip SRP manakala kerani SPM. Kalau macam ni lebih baik ambil SRP je. Begitu juga juruteknik J17, dah sama taraf dengan N17 padahal beliau adalah lepasan sijil teknikal seperti politeknik dan sebagainya dan tarafnya sama dengan STPM malah lebih baik kerana yang ambil STPM adalah kebanyakannya tidak layak masuk ke politeknik selepas SPM. Tapi lepasan STP boleh mendapat GRED N27. Bagi yang Gred 27 ( Diploma ) tarafnya sama dengan gred bawahan tetapi kerjanya sama dengan gred 41 ke atas. Pemandu lagi untung. tengok saja kat putrajaya, pergi pasar guna kenderaan jabatan, hantar anak sekolah pakai kereta jabatan dan di kuarters kerajaan banyak boleh dilihat kereta jabatan. Pegawai pakai kereta kancil, pemanu pakai kereta waja. Siapa yang susah sebenarnya sekarang ni. tak percaya pergi tengok kat putrajaya pada hari minggu @ lepas waktu kerja atau di kedai-kedai mamak. Pegawai ( gred 27 keatas ) selalu dituduh salah guna kuasa tetapi pemandu yang salah guna harta kerajaan tak ada pulak dibuat tindakan. CUEPACS hanya membela golongan gered 17 ke bawah saje.
Selain tu saya syorkan setiausaha agong CUEPACS patut semak gred jawatan dengan JPA, contohnya dalam BH semalam. Adake kata jururawat Gred 29 sama dengan SPM dan jururawat patut dapat Gred 41 kerana ada diploma. Untuk pengetahuan, SPM gred 17, Diplomat gred 27 ke atas dan Ijazah gred 41 ke atas. Kalu Nurse gred 41 dah sama dengan Doktor yang ada Ijazah. Macam mana jadi Setiausaha Agong CUEPACS. Benda yang simple begitu pun tak tahu. Kalu ambik PTK belum tentu dapat 1 apatah lagi nak dapat 4
kena laporkan pada SPRM ni..
menyalahkan guna harta kerajaan utk kepentingan peribadi
Cuepacs ni kena dipimpin oleh golongan kelas A.
Baru JPA hormat.
sekadar pandangan
Macam mana nak lapor pada SPRM. Pemandu SPRM pun buat balik kenderaan jugak. Dekat raya Pegawai SPRM bawak balik Hamper juga
Ada ker sesiapa ke pegawai gred A yang nak lead CUEPAC? Ada sesiapa kisah ker tentang pegawai especially gred 41? Cuma yang gred 41 jer yang tau gaji tak cukup. Hidup atas sikit dari paras kemiskinan walaupun ader degree. Gaji yang ada diploma dan degree pun tak jauh beza tapi staf sokongan boleh dapat gaji OT. Nasib baik ada CUEPAC bela nasib pekerja, boleh kami (peg gred 41)tumpang2 rezeki sikit.
Saya sokong ulasan no.2...Cuepacs perlu la buat kajian terperinci jika ingin mohon sesuatu dari kerajaan..jangan la sekadar tangkap muat terus minta dgn kerajaan..macam yang cadangan supaya semua pekerja diberi wad kelas satu..helloo kami golongan sokongan xderla teringin sangat nak tinggal kat wad kelas satu...Permintaan tue biar la berbaloi dengan apa kemahuan kumpulan sokongan...kami pun tahu level kami takat mana.."kami cuma golongan2 marhean saja"...syukur la tunjuk GL dapat percuma rawatan pun dh kira ok...
Kalau bersyukur dengan apa yang ada pasti hati tenang. Jangan mintak lebih-lebih. Takkan Jusa dapat kereta perdana, Gred N17 pun nak kereta perdana jugak. Orang suruh sekolah dia gi mandi dalam kolah. Kalau nak maju usahalah. sambung belajar ke. berniaga ke. Janganlah mintak sama taraf. Mana boleh orang gaji duduk satu bilik dengan bos. Lu fikirlah sendiri. saya bukan menghina. Saya pun Gred N17 jugak. tapi saya sedar diri. belajar malas macam mana nak dapat kemudahan yang sama dengan orang yang rajin belajar. Bersusah-susah dahulu bersenang-senag kemudian
sokong...malas belajar nak gaji mcm bos..
sedarlah diri tu....
Catat Ulasan