SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

08 Ogos 2009

PEKERJA SOKONGAN PBT TIDAK DIABAI

Sinar
6/8/2009
ALOR SETAR - Lebih 500 pekerja sokongan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sini, diberi jaminan tidak akan diberhentikan kerja mahupun dianiaya sejurus proses pengambil alihan pengendalian sisa pepejal di negeri ini oleh syarikat E-Idaman dilaksanakan bermula Ogos depan. Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Datuk Khazali Din berkata, semua pekerja sokongan akan diambil alih oleh syarikat konsesi E-Idaman dan mereka memberi jaminan akan menjaga kebajikan pekerja sedia ada. “Saya harap pekerja terbabit tidak perlu bimbang dengan pengambil alihan ini, sebab tidak seorang pun akan diberhentikan kerja. Yang bertukar tangan hanya majikan, malah sebagai pekerja swasta, mereka akan menerima manfaat lain yang tidak ada di bawah skim penggajian kerajaan,” katanya. Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan mengkaji semula penswastaan pengurusan sisa pepejal di negara ini, selain mendesak pekerja sokongan PBT tidak diserapkan di bawah skim penswastaan. Mengulas mengenai tindakan Cuepacs, Khazali berkata, mungkin timbul salah faham kerana masih ada yang tidak faham bahawa kebajikan pekerja tetap diberi keutamaan meskipun bertukar majikan. “Pekerja tetap mendapat manfaat dan insentif tertentu. Mereka masih tertakluk kepada caruman skim pencen, malah sekiranya berhasrat pencen awal, mereka boleh mohon untuk sambung bekerja di syarikat itu,” katanya. Sebelum ini, katanya, pekerja diberi dua pilihan sama ada memilih Skim Penggajian Kerajaan mahupun Skim Penggajian Syarikat, dan tidak berlaku paksaan berhubung pemilihan itu. Dalam pada itu, Khazali berkata, syarikat E-Idaman akan memulakan operasinya di bandar raya ini pada 1 Ogos ini, termasuk di semua PBT daerah. “Kelak kerja-kerja pungutan sampah dan kebersihan parit serta longkang adalah di bawah bidang kuasa E-Idaman,” katanya. Bagaimanapun pelupusan sisa pepejal masih di bawah kendalian kerajaan negeri dan sebanyak empat syarikat telah disenarai pendek bagi tujuan itu. “Sehingga kini belum diputuskan syarikat mana yang akan menguruskan tapak pelupusan sampah, untuk memproses sampah itu sama ada dijadikan bahan kitar semula atau tidak,” katanya. Keperluan untuk menambah tapak pelupusan sampah juga belum diputuskan memandangkan sistem yang akan digunakan kelak berbeza dengan sistem sedia ada. Khazali berkata, sistem pelupusan sampah yang akan diguna pakai kelak lebih efisien, sistematik dan mampu mencapai sasaran bandar raya bersih.

Tiada ulasan: