SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

02 Mei 2010

KAJIAN GAJI MINIMUM ATASI PARAS GARIS KEMISKINAN

Berita Harian
2010/05/02



KUALA TERENGGANU: Kerajaan membayangkan akan membuat penetapan kadar gaji minimum yang munasabah untuk pekerja di semua sektor swasta di negara ini dengan sasaran tidak ada lagi yang mendapat gaji di bawah paras garis kemiskinan. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata langkah itu sejajar dasar kerajaan untuk memastikan negara mencapai status negara maju pada 2020 dengan semua pekerja menerima kadar gaji pada paras pendapatan tinggi.
Bagi tujuan itu, katanya, kerajaan akan membuat kajian menyeluruh membabitkan semua sektor swasta khususnya industri untuk menentukan kesesuaian kadar gaji minimum walaupun sedar akan ada implikasi dari segi peluang pekerjaan.
"Ini satu cabaran kepada kerajaan untuk meningkatkan pendapatan pekerja supaya menikmati pendapatan tinggi pada masa depan berasaskan gaji minimum," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja Sektor Awam anjuran Cuepacs, di sini semalam. Hadir sama, Presiden Cuepacs, Omar Osman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Timbalan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Zakaria Jaafar dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Dr Alias Ismail. Dr Subramaniam berkata, kajian kementerian tahun lalu mendapati sebahagian besar pekerja sektor elektronik, pembuatan, tekstil, perabot dan plastik masih menikmati gaji lingkungan RM550 hingga RM600 dan jumlah itu adalah rendah. Mengenai latihan kemahiran pekerja sektor awam dan swasta, beliau berkata, kementerian akan meneruskan program itu tetapi bakal dilaksanakan melalui kurikulum baru bersifat latihan kemahiran tinggi untuk melahirkan pekerja profesional. "Kita dalam proses menggubal kurikulum baru membabitkan perubahan struktur dan latihan ditawarkan supaya sesuai dengan latihan kemahiran tinggi," katanya. Beliau berkata, kakitangan awam perlu membuat lonjakan pemikiran dan perkhidmatan supaya terus diyakini rakyat selaras usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang melaksanakan transformasi besar-besaran dalam pentadbirannya. "Kakitangan awam mestilah memiliki sikap positif, berpengetahuan, berkemahiran dan mempunyai kepakaran tinggi supaya dapat memenuhi kehendak rakyat. Dalam hal ini Cuepacs mempunyai peranan penting dalam melaksanakan agenda pembangunan negara," katanya

Tiada ulasan: