SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

04 Mei 2010

PEKERJA BAIK BERFIKIRAN PROGRESIF, BUKAN AGRESIF

Berita Harian
2010/05/03





BERPULUH ribu pekerja di Asia membanjiri jalan raya di bandar raya negara masing-masing Sabtu lalu bagi menyambut perayaan Hari Pekerja dengan berarak, mengadakan perhimpunan dan menuntut kenaikan gaji serta persekitaran kerja lebih baik. Ini berlaku di Jakarta, Tokyo dan Hong Kong tetapi di Kuala Lumpur pula lain ceritanya apabila sekitar 500 orang berkumpul secara haram di Dataran Merdeka, bagi membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). GST belum dilaksanakan kerana kerajaan masih lagi memperhalusi pandangan rakyat. Apa yang perlu dilakukan oleh kumpulan yang mengadakan perhimpunan itu ialah menyalurkan segala rasa tidak puas hati atau idea berkaitan GST kepada kerajaan melalui saluran yang betul, bukan ‘secara jalanan’. Kerana prihatin terhadap rakyat, kerajaan menangguhkan pelaksanaannya sehingga rakyat memahaminya. Hakikatnya, GST adalah sebagai satu daripada cara meningkatkan hasil kerajaan dan sebab itu GST amat penting. Kita mahukan gaji lebih tinggi tetapi kita tidak mahu menyokong GST, satu mekanisme yang perlu untuk mengukuhkan asas perolehan kerajaan kerana jika tidak, dari mana kerajaan akan mendapat wang untuk membayar 1.3 juta penjawat awam dan ia juga baik untuk pekerja swasta apabila ekonomi negara bertambah kukuh. Oleh itu, pekerja mempunyai saluran untuk membuat aduan seperti kesatuan sekerja. Kalau kesatuan sekerja ingin membuat tuntutan atau sebarang masalah, boleh dikemukakan kepada kerajaan. Asasnya ialah rundingan yang dikira sebagai jalan terbaik untuk menyelesaikan sebarang masalah. Pekerja yang baik ialah pekerja berfikiran progresif, bukan agresif. Seruan Datuk Seri Najib Razak yang mahu pekerja negara ini supaya menjadikan kreativiti dan penciptaan semula sebagai fokus tahun ini dalam usaha meningkatkan produktiviti dan transformasi ekonomi negara, hendaklah disambut dengan baik. Ia kerana dengan menginovasikan produk dan proses merangkumi semua sektor ekonomi, kita mampu meningkatkan kekayaan dan daya saing pada peringkat dunia supaya negara kita juga mampu berdiri sama tinggi dengan negara maju seperti Jepun. Untuk itu, kakitangan awam dan juga pekerja swasta perlu mengubah pendekatan dan cara bekerja, untuk meningkatkan produktiviti, lebih kreatif serta berinovasi yang boleh membawa kepada peningkatan mutu kerja dan menggerakkan ekonomi negara. Kerajaan juga sudah bermurah hati dengan pekerja sektor awam dengan kenaikan gaji serta beberapa elaun lain sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus diharap sebagai insentif untuk terus meningkatkan produktiviti. Cuma isu kini ialah sama ada kerajaan menerima desakan untuk penetapan kadar gaji minimum yang munasabah untuk pekerja di semua sektor swasta, dengan sasaran tidak ada lagi yang mendapat gaji di bawah paras garis kemiskinan. Kita rasa tiada masalah bagi kerajaan untuk memenuhi cadangan itu, dengan syarat pekerja harus mengubah cara bekerja untuk lebih produktif, kreatif dan berinovasi. Ini memerlukan anjakan paradigma.

Tiada ulasan: