SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

16 April 2015

ORANG ASING GEMBIRA KITA DUKA

Berita Harian
Sabtu, 11 April 2015 @ 8:40 AM
Oleh Kunta Kinte


Tak berapa lama dulu, seorang eksekutif dan seorang wartawan wanita dari Sepanyol jumpa Kunta Kinte untuk sembang berkenaan Malaysia. Mereka dalam usia 30-an dan baru sahaja kena tukar ke negara kita. Negara mereka negara maju tapi keadaan ekonomi teruk. Pengangguran sampai 23 peratus.

Lebih 50 peratus penduduk umur bawah 25 tak ada kerja. Mana-mana negara pun yang ramai orang muda dan lulusan universiti tak ada kerja adalah negara yang gagal majukan ekonomi secara lestari. Balik kepada cerita dua wanita muda Sepanyol tadi, mereka bagi tahu Kunta Kinte mereka rasa sangat bertuah dihantar ke Malaysia. Sebelum datang ke negara kita, mereka bekerja di sebuah negara Arab. "Pada mulanya kami bimbang juga kerana kami baca bahawa Malaysia adalah negara Islam. Kami bayangkan Malaysia macam negara-negara Arab. Tapi bila kami tiba di Malaysia ia berlainan sekali daripada anggapan kami. Malaysia adalah syurga." Kemudian Kunta Kinte sembang pula dengan pendatang asing yang kerja di kedai kopi kegemaran Kunta Kinte.

Mereka pun kata Malaysia macam syurga. Maklumlah mereka datang dari negara macam Indonesia, India dan Nepal yang jauh lebih mundur daripada kita. Pakaian seragam majikan bagi. Makan percuma. Apa yang Kunta Kinte makan, itulah yang mereka makan. Hostel disediakan di atas kedai. Jadi tak payah susah-susah keluar duit beli pakaian kerja, makanan, sewa rumah dan bayar tambang.

Betullah Malaysia syurga bagi mereka. Pendek kata, orang asing yang merantau ke negara kita - tak kira pekerja profesional atau buruh, dari negara maju atau mundur - hidup lebih senang di negara kita daripada di negara mereka sendiri. Nasib tak sebaik orang asing Kunta Kinte seronoklah dengar mereka puji negara kita. Tapi, bila Kunta Kinte tengok nasib sesetengah orang kita sendiri, Kunta Kinte sedih dan susah hati. Ramai rakyat kita nasib mereka tak sebaik orang asing. Bulan lepas Kunta Kinte baca berita atas talian yang petik Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda, kata ada keluarga pembantu pejabat dan pembantu am perkhidmatan awam yang duduk bersesak-sesak dalam rumah satu bilik.

Kunta Kinte langsung tak hairan. Gaya hidup macam mana lagi mereka mampu bila gaji mereka lebih sikit RM1,000 sebulan sahaja. Mereka ini adalah dalam gred paling rendah hierarki Jabatan Perkhidmatan Awam, iaitu gred ke-11 (G11). Dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) gaji asas mereka antara RM805 dan RM820. Lepas tambah elaun kos sara hidup (COLA) RM300 dan elaun perumahan RM180, pendapatan kasar hanya antara RM1,285 dan RM1,300 sebulan.

Azih kata, dengan pendapatan macam itu mereka hanya mampu sewa bilik di tempat sara kos tinggi macam Kuala Lumpur, Johor Bahru, Shah Alam dan Klang. Sewa bilik sahaja antara RM600 dan RM800 sebulan. Keadaan ini sangatlah menyedihkan sebab bilangan pekerja dalam gred ini ramai - antara 250,000 dan 300,000. Daripada bilangan itu, ramai yang bekerja secara kontrak dan tak ada pencen. Itu tak kira lagi pekerja gaji rendah sektor swasta yang lebih ramai. Jadi Kunte Kinte sokong permintaan CUEPACS agar kuota rumah kos rendah diwujudkan untuk kakitangan awam dan pelaksanaannya tak diserah bulat-bulat kepada sektor swasta.

Lagi elok dimasukkan juga pekerja bergaji rendah dalam sektor swasta. Perumahan untuk rakyat Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata Kunta Kinte tak hairan dengan keadaan ini sebab Kunta Kinte dah tengok sejak sebelum 13 Mei 1969 lagi. Dasar kita mengenai perumahan untuk rakyat biasa sejuk, panas dan terketar-ketar. Tak tekal. Masa Kunta Kinte hijrah ke Kuala Lumpur sebulan lepas 13 Mei, boleh kata majoriti orang Melayu dan India yang berhijrah dari kampung dan ladang duduk di rumah haram atau sewa bilik atas kedai Cina.

Masa itu pangsapuri tak ada lagi sampailah flet Jalan Pekeliling (sekarang Jalan Tun Abdul Razak) didirikan. Masa itu, orang Melayu berduyun-duyun merantau ke bandar pasal hidup susah akibat harga getah jatuh teruk. Mereka inilah yang buka kawasan perumahan setinggan di pinggir bandar, di tepi sungai dan di lereng bukit. Selepas 13 Mei, hasil daripada pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru banyak rumah murah dibina, termasuk di atas tapak rumah setinggan yang musnah terbakar masa pergaduhan. Bagaimanapun, nampaknya sejak akhir-akhir ini pembinaan rumah kos rendah dan sederhana tak lagi jadi keutamaan kerana dasar pasaran terbuka. Pemaju hartanah awam dan swasta tak lagi dikenakan syarat bina rumah kos rendah dan sederhana. Mereka berlawan bina rumah mewah yang ramai rakyat jelata tak mampu nak beli.

Tiga atau empat dekad lalu pemaju dikenakan syarat bina rumah bercampur untuk semua kelas pembeli dengan menggunakan kaedah 'cross subsidy,' iaitu pembeli rumah mewah membiayai pembinaan rumah kos rendah. Legasi kaedah ini masih boleh kita tengok di Subang Jaya di mana ada banglo, rumah berkembar, rumah teres, kondominium dan pangsapuri sebelah menyebelah. Jadi Kunta Kinte sokong sangatlah usaha kerajaan bina lebih banyak rumah mampu milik di kawasan bandar sama ada secara sendiri atau melalui usaha sama. Kita janganlah jadi macam kata pepatah 'kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.' Rakyat jelata kita hidup susah tapi pendatang hidup macam di syurga. Kunta Kinte tak tahu sama ada dasar 'house-owning democracy' (demokrasi pemilikan rumah) yang dilaung-laungkan tak berapa lama dulu masih jadi matlamat kerajaan. Wallahuaklam.


Tiada ulasan: