Harian Metro
23/4/2015
Kuala
Lumpur: Peningkatan gaji minimum ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
(KWSP) perlu seiring dengan cadangan inisiatif kedua KWSP dalam
memastikan caruman minimum diselaraskan dengan gaji minimum.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam
(Cuepacs) Azih Muda berkata, cadangan untuk mencarum gaji minimum itu
adalah sesuatu yang baik, tetapi untuk gaji ahli berpendapatan rendah
perlu dinaikkan supaya dapat menampung kos sara hidup kini.
“Majikan perlu melihat kepada kebajikan pekerja yang memerlukan
kenaikan gaji sekurang-kurangnya 15 peratus sekiranya cadangan itu
dilaksanakan.
“Bagaimana ahli yang berpendapatan rendah ingin menampung
perbelanjaan hidup sekiranya gaji diperoleh yang sedia rendah semakin
sedikit selepas dicarum,” katanya.
Azih berkata, bagaimanapun cadangan inisiatif itu mampu menambah simpanan ahli untuk menampung kehidupan selepas bersara.
“Memang tidak dinafikan ia boleh membantu ahli dari segi jumlah
simpanan, tetapi rancangan jangka masa panjang itu perlu ditekankan.
“Ahli perlu merancang wang yang disimpan itu memandangkan mereka
terpaksa melakukan pengorbanan dengan mencarum lebih banyak semasa
bekerja,” katanya.
Katanya, ahli perlu berfikiran positif sekiranya caruman minimum itu
dilaksanakan kerana ia untuk kebaikan jangka panjang ahli sendiri.
“Inisiatif ini juga mampu melindungi ahli dari segi mendapat jaminan
sumbangan majikan tidak kurang daripada caruman berasaskan gaji
minimum,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan