SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

10 April 2015

PERATURAN BAHARU UNTUK KETUA JABATAN, AGENSI KERAJAAN SEBELUM KE LUAR BEGARA - KSN


Bernama
9/4/2014


KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Semua ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan perlu mengemukakan permohonan lawatan rasmi ke luar negara kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) selewat-lewatnya dua minggu dari tarikh perjalanan masing-masing.
KSN Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata peraturan itu, yang berkuat kuasa pada 1 Feb lepas, bertujuan mengetatkan peraturan ke luar negara berdasarkan kepada kepentingan negara dan perkhidmatan awam serta mematuhi prinsip nilai untuk wang.

"Sehubungan itu, permohonan kelulusan lawatan rasmi ke luar negara hendaklah diperoleh daripada Ketua Setiausaha Negara dan tertakluk kepada Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 9 tahun 2008 dan Pekeliling Perbendaharaan Bil 3/1 tahun 2013," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Pusat Pembangunan Integriti Korporat 2014 Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Ali berkata peraturan itu, yang termaktub dalam Surat Pekeliling Am Bilangan 1 tahun 2015, dikeluarkan bagi menyeragamkan kelulusan permohonan ke luar negara atas urusan rasmi oleh penjawat awam.

"Sekiranya mana-mana daripada mereka terpaksa melakukan lawatan rasmi pada saat akhir, mereka perlu melalui prosedur yang sama dalam membuat permohonan dan pihak kami akan meluluskannya berdasarkan alasan dan bukti yang kukuh," jelas beliau.

Menurutnya semua ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan, ketua perkhidmatan dan ketua eksekutif badan berkanun juga diwajibkan mengemukakan permohonan lawatan rasmi ke luar negara dengan menyertakan perincian sebab lawatan, anggaran perbelanjaan dan jumlah anggota delegasi.

Terdahulu dalam ucapannya, Ali berkata seramai 13 peserta luar negara menyertai program CeIO tahun lepas berbanding sembilan orang pada 2013.

"Peningkatan hampir 45 peratus penyertaan peserta luar negara ini memperlihat kepercayaan dan keyakinan kerajaan negara asing terhadap keupayaan MACA dan Malaysia membimbing mereka ke arah memantapkan usaha peningkatan tahap integriti," katanya.

Sementara itu, Abu Kassim berkata kerajaan memberi kepercayaan kepada CeIO untuk melahirkan rangkaian pegawai integriti yang bertauliah.

"CeIO menjadi pakar dalam bidang pencegahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, pembangunan integriti, dan menjadi pemangkin dalam organisasi," katanya.

Pada majlis itu, seramai 151 peserta yang mengikuti program CeIO tahun lepas ditauliahkan sebagai pegawai integriti.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: