Harian Metro
24/4/2015
24/4/2015
Putrajaya:
Kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana penjawat awam sekiranya didapati terbabit dalam gerakan ideologi kumpulan militan Negara Islam (IS) dan juga kegiatan ekstremis lain.
Kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana penjawat awam sekiranya didapati terbabit dalam gerakan ideologi kumpulan militan Negara Islam (IS) dan juga kegiatan ekstremis lain.
Peringatan itu dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa
ketika berucap di hadapan kira-kira 900 pegawai dan kakitangan awam yang
berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri (JPM) sempena Majlis Anugerah
Perkhidmatan Cemerlang (APC) JPM 2014 di sini, semalam.
Ali berkata, ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada
hari ini mewujudkan fenomena globalisasi dunia tanpa sempadan, sekali
gus memudahkan kemasukan maklumat-maklumat tanpa tapisan termasuk IS
yang disebar menerusi laman media sosial Facebook, Youtube, Twitter,
Instagram dan sebagainya.
Justeru, katanya, beliau mahu penjawat awam menilai dengan bijak
setiap maklumat diterima agar tidak mudah terpengaruh terutama dengan
maklumat negatif dan menyeleweng.
“Sebagai penjawat awam, kita juga harus sedar bahawa kita juga boleh
berjihad dengan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan
masyarakat.
“Ia adalah sumbangan yang amat besar dan mudah-mudahan usaha murni dan ikhlas itu akan diberkati Allah SWT,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, penjawat awam juga harus memberi penerangan
dan kefahaman yang betul mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)
kepada rakyat terutama mengenai tentang faedah dan kebaikan sistem
percukaian itu.
Menurutnya, penjawat awam perlu berhati-hati dalam menerima maklumat
mengenai GST di media sosial memandangkan terdapat kekeliruan dan
maklumat yang salah disebar luas di pihak tertentu media sosial
berkenaan.
“Selain itu, penjawat awam juga tidak terlepas daripada kesan
kenaikan kos sejak pelaksanaan GST pada 1 April lalu berikutan ada
peniaga tamak yang bertindak menaikkan harga barangan runcit di
pasaran,” katanya.
Mengulas mengenai tuntutan dibuat Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja
Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk menaikkan gaji penjawat awam
sebanyak 35 peratus, Ali berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap
kebajikan penjawat awam.
Malah, katanya, kenaikan kos barangan dan keperluan memberikan impak terhadap kehidupan seharian.
“Justeru, kerajaan merancang kenaikan gaji pokok bagi penjawat awam bergaji di bawah RM850 sebulan akhir tahun ini,” katanya.
Terdahulu, seramai 1,966 warga cemerlang JPM menerima APC dan Sijil
Penghargaan semalam dimana 1,954 orang menerima APC dan 12 orang
menerima Sijil Penghargaan JPM.
Kesemua mereka dipilih dalam kalangan pegawai dan kakitangan yang berkhidmat di 58 jabatan, agensi dan bahagian JPM.
2 ulasan:
Memang penjawat awam pelaksana 1 dan 2 sangat terkesan dengan impak GST,namun harapan sangatlah tinggi untuk melihat kenaikan gaji sebanyak 35 peratus menjadi kenyataan.
Juga diharapkan agar setelah diminimakan gaji rm1200,maka anjakan gaji bagi yang dah lama khidmat wajib di lakukan demi keadilan semua penjawat awam golongan berkenaan.
Sangat kecewa jika hanya diberi tumpuan untuk meminimakan gaji sahaja sedangkan yang telah lama berkhidmat diabaikan soal anjakan gaji.
Harapan agar pihak kerajaan tidak terlepas pandang soal anjakan gaji penjawat awam pelaksana 1 dan 2 sekiranya pengumuman hujung tahun 2015 ini bakal diputuskan untuk gred 11.
Hanya perhatian dan keputusan dari kerajaan sangat diharapkan.
Walaubagaimanapun,kita mengharapkan pihak cuepacs teruskan membuat tuntutan hingga menjadi realiti.
Niat PRESIDEN CUEPACS hanya Allah Yang Maha mengetahui dan dengan mudah golongan ini akan mendoakan kebaikan buat PRESIDEN DAN ANGGOTA CUEPACS sekiranya menjadi realiti pada hujung tahun 2015 ini.
Tertarik kenyataan berkenaan soal jihad oleh pihak tertentu,sudah tentu penjawat awam pelaksana 1 dan 2 telah lama berjihad memberi penjelasan kepada masyarakat luar seterusnya mempertahankan kerajaan sedia ada.
Namun,pihak kerajaan khususnya dan pihak cuepacs amnya juga perlu turut berjihad untuk memberi yang terbaik dari segi kenaikan gaji dan elaun elaun kepada penjawat awam terutama pelaksana 1 dan 2.
Jika ini dimain peranan oleh pihak tertentu sesuai keadaan semasa serta ditambah pula GST yang sedang berjalan dan memberi impak kepada pelaksana 1 dan 2,sangat wajar disegerakan kenaikan gaji dan elaun.
Sudah pasti,pelaksana 1 dan 2 tidak tertekan dengan kos sara hidup keadaan semasa.
PIHAK ATASAN JUGA SANGAT WAJAR BERJIHAD UNTUK MEMBUAT KEPUTUSAN MENAIKKAN GAJI DAN ELAUN ELAUN PENJAWAT AWAM KHASNYA PELAKSANA 1 DAN 2.
Catat Ulasan