Sinar Harian
21/11/2017
KUALA TERENGGANU - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan
Awam (Cuepacs) meminta kerajaan negeri yang berkemampuan agar
mempertimbangkan pemberian kadar bonus yang lumayan buat kakitangan
mereka.Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, ia bagi meringankan beban
penjawat awam yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin
meningkat.
Menurutnya, walaupun unjuran Keluaran dalam negara kasar (KDNK)
meningkat 60.2 peratus tetapi kita masih berada dalam tekanan yang
sangat berat ekoran kenaikan harga minyak.“Jadi Cuepacs menyarankan kepada kerajaan-kerajaan negeri yang
berkemampuan agar dapat menimbangkan untuk memberikan bonus lebih tinggi
kepada penjawat awam dari Kerajaan Persekutuan kerana kos sara hidup
yang kita alami sangat tinggi.
“Jadi melalui pembentangan bajet (oleh negeri-negeri yang belum membuat
pembentangan bajet), mungkin pertimbangkan ‘one off’ melalui bonus
atau bantuan khas kepada kakitangan kerajaan, sama ada kerajaan
peringkat negeri, badan berkanun atau pihak berkuasa tempatan lebih
tinggi dari RM1,500.
“Khususnya Terengganu yang merupakan antara negeri terawal yang
mempunyai hasil minyak. Agar dapat memberi pertimbangan pemberian bonus
lebih tinggi atau sekurang-kurangnya sebulan gaji,” katanya kepada Sinar
Harian semasa program Car Free Day dan Tanaman Pokok Sempena Hari
Perancangan Bandar Sedunia 2017 di Dataran Batu Burok, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ia bukan bermakna tidak menghormati
Kerajaan Persekutuan atau untuk membuat perbandingan antara satu sama
lain tetapi selepas melihat kepada situasi kos sara hidup yang mencabar
masa ini.“Jika kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Ahmad Razif dapat
memberikan bonus lebih tinggi, jumlah itu tidak memberi kesan yang besar
kepada kerajaan negeri.
“Pengumuman bonus oleh Perdana Menteri dalam pembentangan bajet 2018
itu sebagai penanda aras sahaja, ia terpulang kepada kerajaan negeri
(masing-masing) untuk menghargai sumbangan kakitangannya. "Malah ia juga bukan untuk 'pancing' pilihan raya tetapi berdasarkan kepada situasi (semasa) yang berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada kerajaan-kerajaan negeri
yang memberikan bonus lebih tinggi daripada Kerajaan Persekutuan
seperti Kedah, Negeri Sembilan, Selangor, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
dan Johor. “Johor juga dijangka akan mengumumkan bonus lebih tinggi dari RM1,500,” katanya.