SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

19 November 2022

Utamakan penjawat awam berkebolehan, kompeten bagi isi jawatan utama - Cuepacs

 

\Astrowani

19/11/2022


KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan memberi keutamaan kepada penjawat awam yang berkebolehan dan kompeten untuk mengisi jawatan-jawatan utama dalam perkhidmatan awam.
Presidennya Datuk Adnan Mat berkata campur tangan politik dalam urusan pelantikan perlu dielakkan bagi membolehkan mereka yang dilantik benar-benar membantu dan dapat memberi nasihat terbaik kepada Jemaah Menteri.

"Unsur-unsur favouritism juga hendaklah dielakkan terutama dalam hal lantikan jawatan tertinggi kerana ia boleh menjejaskan operasi perkhidmatan awam sekiranya mereka yang dilantik itu tidak kompeten," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata pegawai yang dilantik hanya disebabkan "kegemaran" ahli politik tertentu, dibimbangi tidak boleh melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan terutama dalam memberi nasihat terbaik kepada menteri berkenaan.
Adnan berkata Cuepacs pada dasarnya tidak mempunyai masalah bagi lantikan politik yang mempunyai kelayakan, namun bagi memastikan kelancaran sesuatu jabatan sekiranya terjadi peralihan kerajaan, adalah lebih baik lantikan dibuat dalam kalangan anggota penjawat awam sahaja.
"Mereka yang dilantik berdasarkan politik akan meletak jawatan atau dipaksa melepaskan jawatan apabila suatu kerajaan itu berubah. Ini boleh menjejaskan perkhidmatan kerajaan dan menimbulkan persepsi kurang baik terhadap perkhidmatan kerajaan sedia ada," katanya.
-- BERNAMA

14 November 2022

PRU-15: PM umum cuti 18, 19 November [METROTV]

 Metro

14?11/2022


Putrajaya: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan hari kelepasan am pada 18 dan 19 November ini bagi memudahkan Keluarga Malaysia menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau yang hadir merasmikan pecah
tanah Wisma Cuepacs Putrajaya di sini, petang ini berkata, pengumuman hari kelepasan am dua hari itu dibuat berikutan ada kemungkinan syarikat swasta beroperasi pada Sabtu.

"Hari mengundi PRU-15 menjelang tiba. Sukacita saya umumkan kerajaan menetapkan Jumaat dan Sabtu iaitu 18 dan 19 November ini, sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan urusan Keluarga Malaysia mengundi," katanya.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, dan Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat.

10 November 2022

PRU15: CUEPACS minta penjawat awam keluar mengundi

 Berita Harian

9 November 2022


KUALA LUMPUR: Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat meminta semua penjawat awam supaya menunaikan tanggungjawab kepada negara dengan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November ini.

Adnan berkata berdasarkan perkembangan yang berlaku sejak PRU14, penjawat awam sudah berpengalaman bekerja di bawah beberapa kerajaan yang berfungsi sebagai majikan mereka.

"Penjawat awam sudah faham dan boleh memilih majikan yang paling dekat di hati (pada PRU15 nanti)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Takaful Kemalangan Diri Khas Untuk Anggota Beruniform dan Bersenjata - myPOLISPA dan myPENGUATKUASAPA di sini hari ini.

Adnan turut menasihatkan penjawat awam yang menjadi petugas PRU15 untuk menjalankan tugas dengan baik bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya.Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 November sebagai hari pengundian dan undi awal pada 15 November.

Mengenai pelancaran program takaful kemalangan diri myPOLISPA dan myPENGUATKUASAPA, Adnan berkata ia bertujuan memberi perlindungan khas kepada anggota polis dan penguat kuasa bersenjata apabila berlaku kematian, cacat anggota badan secara kekal, penuh atau separa ketika bertugas.

Beliau berkata program takaful itu menawarkan perlindungan kewangan sehingga RM440,000 dengan kadar caruman RM8 sebulan.

Katanya, program itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 anggota polis dan penguat kuasa bersenjata di Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan kakitangan pihak berkuasa tempatan yang sentiasa berdepan risiko ketika bertugas.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman yang mewakili Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pada majlis itu merakamkan penghargaan kepada Cuepacs susulan program perlindungan takaful yang dilancarkan.

"Sebelum ini petugas penguat kuasa tidak dilindungi jika berlaku apa-apa. Jadi dengan adanya myPOLISPA dan myPENGUATKUASAPA, semua petugas akan memperoleh manfaat sekiranya berlaku sebarang kemalangan kepada mereka," katanya.

Program takaful itu ditawarkan mulai hari ini dan maklumat boleh diakses melalui https://cuepacscare.my/