CUEPACS minta kerajaan teliti keputusan terutama babit pegawai JUSA C

Kuala Lumpur: CEUPACS meminta kerajaan menimbang semula beberapa keputusan berkaitan langkah penjimatan dan pengurangan perbelanjaan untuk sektor awam yang dilaksana mulai esok.

Ia termasuk pengurangan kemudahan bayaran tol sebanyak 30 peratus dan elaun keraian pegawai kanan kerajaan gred Jawatan Utama Sektor Awam C (JUSA C) ke atas sebanyak lima hingga 10 peratus serta pindaan kelayakan tiket penerbangan domestik dan antarabangsa.
Khuatir hadkan komitmen

Presidennya, Azih Muda berkata ia perlu diteliti semula kerana dikhuatiri menjejas dan mengehadkan komitmen pegawai kanan kerajaan menjalankan tugas.

Katanya, jumlah JUSA C di negara ini juga tidak ramai dan ada terpaksa memberi komitmen kerja yang tinggi seperti pegawai kanan yang bertugas di agensi penguatkuasaan.

“Kalau JUSA C dikecualikan, saya rasa ia tidak akan membabitkan kos perbelanjaan yang tinggi. Kerajaan sebelum ini sudah mengurangkan perjalanan mereka kepada 200 kilometer (KM) sebulan. Pengurangan ini pasti akan membataskan lagi kerja pegawai untuk turun ke lapangan,” katanya kepada BH.
Walaupun tiga perkara itu tidak dipersetujui, namun Azih berkata pendekatan penjimatan lain yang dilaksana bertepatan dan wajar diterima semua pihak.

CEUPACS menyokong penuh usaha drastik kerajaan dalam memastikan pengurusan kewangannya diurus secara lebih berkhemah dan tidak dibazirkan dengan perbelanjaan tidak relevan.

“Mengoptimumkan penggunaan pejabat dan premis kerajaan, Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), pengurangan lima peratus kos utiliti elektrik serta mengetatkan pelantikan juru perunding untuk projek fizikal kerajaan mampu menjimatkan perbelanjaan bulanan. Ia juga menunjukkan komitmen kerajaan mengelakkan ketirisan,” katanya.

Azih turut mencadangkan supaya kerajaan mengurangkan agihan pengurusan projek pembangunan kepada banyak kontraktor, selain memastikan projek yang dilaksana tidak terbengkalai atau lewat siap.