SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

30 November 2011

KAKITANGAN KERAJAAN MARAH

Utusan Malaysia
29/11/2011




KUALA LUMPUR 29 Nov. – Hasrat DAP untuk mengurangkan bilangan penjawat awam jika mereka dipilih sebagai pemerintah bagi meringankan beban kewangan menimbulkan kemarahan kakitangan kerajaan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman (gambar) berkata, rata-rata kakitangan awam juga terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Penerangan DAP, Tony Pua yang disifatkan tidak masuk akal.

Menurutnya, CUEPACS sedang menjelajah seluruh Malaysia untuk memungut respons penjawat awam berhubung kenyataan Tony itu.

“Rata-rata penjawat awam yang ditemui benar-benar marah dan tidak menjangka seorang pemimpin tertinggi DAP boleh mengeluarkan kenyataan seumpama itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Tony Pua yang disiarkan baru-baru ini dalam sebuah akhbar berbahasa Cina bahawa kerajaan DAP akan mengurangkan penjawat awam dan menamatkan perkhidmatan mereka yang tidak efisien seperti yang dilakukan kerajaan China bagi mengurangkan bajet kerajaan.

Omar berkata, sehingga kini pihaknya telah mengadakan sesi dialog dengan kakitangan awam di beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Sabah, Sarawak dan Perak.

Menurutnya, selebihnya akan dilakukan dalam tempoh dua minggu ini.

“Ini kerana kita akan mengadakan mesyuarat kongres pada pertengahan bulan depan. Jadi, kita menjangkakan laporan dialog berhubung reaksi penjawat awam terhadap kenyataan Tony Pua itu akan dibentangkan sebagai satu slot sebelum diserahkan kepada pihak berkaitan,” katanya.

MALAYSIA BELANJA JUTAAN RINGGIT KEPENTINGAN PENJAWAT AWAM

Bernama
30/11/2011



PUTRAJAYA, 30 Nov (Bernama) -- Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang berkata tidak ada kerajaan lain di dunia melainkan Malaysia yang sanggup membelanjakan jutaan ringgit untuk faedah penjawat awamnya.

Penjawat awam di negara ini amat bertuah dengan pelbagai peluang yang disediakan kerajaan bagi melanjutkan pelajaran selain menjalani latihan dan kursus jangka pendek atau jangka panjang di dalam mahupun di luar negara, katanya selepas menerima anugerah Felo Intan 2011, di sini, pada Rabu.

"Ini bukan kempen pilihan raya. Saya ada bersembang dengan kawan dalam perkhidmatan awam dari luar negara dan mereka mengatakan tidak ada kerajaan lain di dunia yang melaksanakan program latihan sebegitu rupa.

"Terima kasih kepada kerajaan dan saya tidak ada rungutan ke atas layanan kerajaan kepada saya," kata Dr Zulkurnain ketika berucap pada majlis Anugerah Felo Intan dan Penyampaian Diploma Intan 2011, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Upacara penganugerahan Felo Intan 2011 itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan.

Pada majlis itu seramai 648 penjawat awam turut menerima diploma Intan iaitu 59 orang graduan dari Diploma Sains Pengurusan manakala 589 graduan menerima Diploma Pengurusan Awam.

Turut hadir ialah Felo Intan, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah dan Pengarah Intan Dr Aminuddin Hassim.

Dr Zulkurnain, 61, yang merupakan bekas Pengarah Intan (1999), Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (2004-2006) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran (2006-2010) berkata, tanpa biasiswa kerajaan, beliau tidak mungkin melepasi sekolah menengah dan seterusnya melanjutkan pelajaran sehingga memperoleh ijazah Doktor falsafah (PHd) dalam bidang Sains Politik (Pembangunan) dari Leeds University, England pada 1989.

Katanya, penjawat awam perlu memegang tujuh prinsip untuk berjaya iaitu; integriti yang tinggi, mampu mewujudkan perimbangan dalam pelbagai pendekatan, keupayaan berfikir, pengolahan dan berkomunikasi, bersedia untuk terus belajar, rajin dan bersyukur serta sentiasa bersabar dalam menghadapi cabaran dan dugaan.

-- BERNAMA

29 November 2011

MILIKI DIPLOMA TATAPI GAJI DIBAYAR HANYA SETARAF LULUSAN SPM

Utusan Malaysia
29/11/2011



BUKAN BODOH
Petaling Jaya, Selangor.

SAYA suka menarik perhatian mengenai kecuaian pentadbiran dan pengurusan operasi jabatan awam yang mengakibatkan pekerja harus menanggung bebannya.

Saya berkhidmat di Pejabat Pengurusan Sisa Pepejal (PPSPPA) sejak setahun yang lepas sebagai Setiausaha Pejabat bersama-sama sepuluh orang rakan yang lain.

Baru-baru ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil 1/2010 tentang syarat lantikan, kemasukan serta opsyen kepada Setiausaha Pejabat N27 dari Pembantu Tadbir (Kesetiausahaan) N17 dan ia sedang berkuat kuasa. Untuk makluman, kami dilantik dengan skim Pembantu Tadbir (Kesetiausahaan) N17 dengan tangga gaji yang sesuai dengan kelulusan diploma kami dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Bagaimanapun, disebabkan kedudukan gred ketua jabatan yang rendah, kami dibayar gaji dengan skim lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedangkan semasa dilantik ke dalam perkhidmatan kami mempunyai diploma dan gaji hendaklah dibayar mengikut kesesuaian kelayakan akademik kami. Kini kami telah diturunkan kelayakan daripada diploma kepada SPM sedangkan kami mempunyai diploma.

Selain itu, pada pelaksanaan skim opsyen tersebut, kami dibayar dengan bayaran yang setimpal dengan kelulusan dan kelayakan akademik kami (diploma). Walau bagaimanpun disebabkan kesilapan lantikan tersebut (dilantik menggunakan SPM), kami terpaksa membayar balik RM6,000 sebagai lebihan bayaran kepada jabatan kerana terlebih bayar.

Jumlah ini bukanlah kecil dibandingkan dengan gaji bulanan yang kami terima. Kerana kecuaian pihak pengurusan sumber manusia, kami yang menjadi mangsa. Lantikan kami yang seharusnya menggunakan diploma dan gaji dibayar dengan kelulusan turut ditarik balik. Gred gaji kami diturunkan kepada skala gaji yang rendah dan tidak sesuai dengan kelayakan kami.

Bukan itu sahaja, baru-baru ini kami dimaklumkan bahawa elaun Pembantu Khas turut tidak diberikan disebabkan kecuaian penilaian mereka dalam memahami opsyen tersebut. Apakah pihak pengurusan dan JPA boleh menyusahkan pegawai lain sesuka hati? Kesalahan mereka pegawai lain pula yang kena hadapi dan selesaikan.

Jika beginilah sistem perkhidmatan pengurusan sumber manusia yang digunakan, saya rasa matlamat untuk menjadi negara berpendapatan tinggi tidak kesampaian disebakan kecuaian pengurusan yang gagal menjadi ketua dan pengurus pentadbiran yang baik.

Sebagai warga pekerja di jabatan awam, kami berkehendakkan mereka yang benar-benar layak dilantik menjadi pengurus. Mereka perlu terlatih serta bijak menguruskan sistem sedia ada sesuai dengan kelayakan dan gaji yang ditawarkan.

Janganlah disebabkan kurang bijaksana mereka menguruskan sumber menjadikan kami pekerja sebagai 'mangsa' yang harus menanggung akibat itu.

Semoga kami dapat dilayan sesuai dengan kelayakan akademik serta diberikan gaji setimpal, bukannya dibuat sesuka hati.

28 November 2011

JAWATAN JUSA, TURUS AKAN DIUBAH

Utusan Malaysia
28/11/2011



KUALA LUMPUR 27 Nov. - Skim jawatan utama atau premier perkhidmatan awam, peringkat JUSA dan Turus akan diubah suai bagi membolehkan kepakaran luar termasuk dari sektor swasta diambil masuk.

Dengan cadangan itu bermakna, mana-mana pekerja sektor swasta yang berminat mengisi Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dari JUSA C dan sehingga ke peringkat tonggak, Turus boleh berbuat demikian.

Utusan Malaysia difahamkan, jawatan yang terbabit boleh menjangkaui sehingga ke kedudukan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Setiausaha (KSU) sesebuah kementerian.

KSU yang berada dalam kategori JUSA tertinggi dan Turus adalah sama seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat korporat.

Bagaimanapun tidak diketahui sama ada pengisian jawatan-jawatan tertinggi itu akan mengambil kira kouta berdasarkan kaum.

Satu taklimat kepada pegawai-pegawai peringkat utama dan ke atas telah dilakukan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) minggu lalu.

Difahamkan ia adalah sebahagian daripada program transformasi dalam perkhidmatan awam. Di bawah program itu Skim Saraan Malaysia (SSM) akan diganti dengan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SSBPA).

Menurut satu sumber, di bawah sistem baru itu, kemasukan kakitangan untuk kategori itu akan dilakukan secara lateral.

Buat sementara, difahamkan lima buah kementerian telah dikenal pasti untuk dilaksanakan kaedah itu.

Dalam pada itu, Utusan juga difahamkan di bawah program itu, kesemua KSU akan dikehendaki meletak jawatan dan memohon semula secara kontrak. Prestasi mereka akan dinilai dalam tempoh kontrak tersebut.

Dalam proses ini, menurut sumber itu, pihak dalam dan luar daripada perkhidmatan awam juga boleh memohon untuk mengisi jawatan tersebut.

25 November 2011

MAHKAMAH PUTUSKAN KESATUAN SEKERJA TIDAK BOLEH DISAMAN

Bernama
25/11/2011



KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini Khamis memutuskan kesatuan sekerja menikmati imuniti mutlak daripada disaman di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Hakim Datuk V T Singham berkata Seksyen 22(1) akta itu memberikan perlindungan kepada kesatuan sekerja daripada mana-mana saman yang difailkan di mahkamah, malahan jika pun, wakil kesatuan telah memfitnah pihak satu lagi(majikan).

"Mungkin sudah tiba masanya bagi penggubal undang-undang untuk menimbangkan secara serius sama ada perbuatan fitnah tort, jika dilakukan oleh atau mewakili pihak kesatuan sekerja dan malahan jika ia dilakukan ketika sedang dipertimbangkan atau pelanjutan pertikaian sekerja, patut diberikan perlindungan imuniti seperti di bawah Seksyen 21 dan Seksyen 22 akta itu," katanya.

Hakim Singham juga berkata adalah sangat jelas di bawah seksyen itu bahawa mahkamah tidak sepatutnya melayani sebarang saman terhadap kesatuan sekerja.

Oleh yang demikian, beliau menolak saman fitnah yang dikemukakan oleh Malayan Banking Bhd (Maybank) terhadap Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dan setiausaha agungnya J Sandagran Solomon.

Hakim Singham membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan NUBE untuk membatalkan saman itu atas alasan mereka mempunyai imuniti mutlak sebagai kesatuan sekerja mengikut Seksyen 22(1) akta itu.

Beliau juga memerintahkan Maybank membayar RM15,000 sebagai kos kepada para defendan.

Maybank memfailkan saman itu pada 22 April tahun ini, mendakwa Solomon, bertindak mewakili dirinya sendiri dan NUBE, pada Februari atau Mac tahun ini telah menerbitkan artikel mengandungi kenyataan berbaur fitnah mengenai syarikat itu dalam laman web NUBE.

Ia mendakwa kenyataan itu bermaksud plaintif telah menjalankan hal ehwalnya secara tidak amanah dengan mahu menggunakan dananya untuk manfaat pengurusan kanannya sahaja dengan meminggirkan pekerjanya.

Para defendan menyatakan kenyataan itu berkaitan dengan pertikaian yang sedang berlaku di antara plaintif dan NUBE berhubung dakwaan pemberian bonus yang kurang kepada staf peringkat bawahan syarikat itu.

Mereka berkata pertikaian itu telah berlarutan sejak 2009 dan berterusan sehingga sekarang.

MAHKAMAH: KESATUAN SEKERJA ADA IMUNITI, TIDAK BOLEH DISAMAN

Malaysia Insider
November 24, 2011



KUALA LUMPUR, 24 Nov ― Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan kesatuan sekerja menikmati imuniti mutlak daripada disaman di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Hakim Datuk V T Singham berkata Seksyen 22(1) akta itu memberikan perlindungan kepada kesatuan sekerja daripada mana-mana saman yang difailkan di mahkamah, malahan jika pun, wakil kesatuan telah memfitnah pihak satu lagi(majikan).

“Mungkin sudah tiba masanya bagi penggubal undang-undang untuk menimbangkan secara serius sama ada perbuatan fitnah tort, jika dilakukan oleh atau mewakili pihak kesatuan sekerja dan malahan jika ia dilakukan ketika sedang dipertimbangkan atau pelanjutan pertikaian sekerja, patut diberikan perlindungan imuniti seperti di bawah Seksyen 21 dan Seksyen 22 akta itu,” katanya.

Hakim Singham juga berkata adalah sangat jelas di bawah seksyen itu bahawa mahkamah tidak sepatutnya melayani sebarang saman terhadap kesatuan sekerja.

Oleh yang demikian, beliau menolak saman fitnah yang dikemukakan oleh Malayan Banking Bhd (Maybank) terhadap Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dan setiausaha agungnya J Sandagran Solomon.

Hakim Singham membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan NUBE untuk membatalkan saman itu atas alasan mereka mempunyai imuniti mutlak sebagai kesatuan sekerja mengikut Seksyen 22(1) akta itu, lapor Bernama Online.

Beliau juga memerintahkan Maybank membayar RM15,000 sebagai kos kepada para defendan.

Maybank memfailkan saman itu pada 22 April tahun ini, mendakwa Solomon, bertindak mewakili dirinya sendiri dan NUBE, pada Februari atau Mac tahun ini telah menerbitkan artikel mengandungi kenyataan berbaur fitnah mengenai syarikat itu dalam laman web NUBE.

Ia mendakwa kenyataan itu bermaksud plaintif telah menjalankan hal ehwalnya secara tidak amanah dengan mahu menggunakan dananya untuk manfaat pengurusan kanannya sahaja dengan meminggirkan pekerjanya.

Para defendan menyatakan kenyataan itu berkaitan dengan pertikaian yang sedang berlaku di antara plaintif dan NUBE berhubung dakwaan pemberian bonus yang kurang kepada staf peringkat bawahan syarikat itu.

Mereka berkata pertikaian itu telah berlarutan sejak 2009 dan berterusan sehingga sekarang.

23 November 2011

DAP NEGERI BANTAH TONY PUA

Utusan Malaysia
23/11/2011

SEREMBAN 22 Nov. - DAP negeri hari ini memilih sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menyatakan bantahan mereka terhadap cadangan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua untuk mengurangkan kakitangan awam sekiranya pembangkang dipilih sebagai pemerintah negara.

Malah, Loke Siew Fook (DAP-Lobak) berkata, beliau mahu menggunakan platform persidangan itu untuk memberi jaminan bahawa tidak ada seorang pun kakitangan awam akan dibuang kerja sekiranya pakatan pembangkang diberikan mandat memerintah.

Beliau juga mahu kakitangan awam di negeri ini tidak bimbang atau takut dengan cadangan itu kerana pakatan pembangkang negeri ini akan memastikan ia tidak akan dilaksanakan sama sekali.

"Saya mahu perkara ini (jaminan bahawa pakatan pembangkang tidak akan mengurangkan kakitangan awam) dimasukkan ke dalam hansard dewan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Negeri Sembilan 2012 di DUN di sini hari ini.

Baru-baru ini, Setiausaha Penerangan DAP, Tony Pua dilaporkan berkata, DAP akan mengurangkan penjawat awam dan menamatkan perkhidmatan mereka yang tidak efisien seperti dilakukan kerajaan China bagi mengurangkan bajet kerajaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang bangkit mencelah perbahasan itu berkata, cadangan itu dibuat oleh DAP sendiri dan ia tidak pernah dibangkitkan oleh Barisan Nasional (BN).

Siew Fook yang juga Pengerusi DAPSY kebangsaan menjawab, ia adalah cadangan peribadi Tony Pua dan Setiausaha Kerja DAP itu bukan berasal dari Negeri Sembilan dan beliau sama sekali tidak akan bertanding dalam pilihan raya untuk kerusi di negeri ini.

Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad (BN-Bagan Pinang) yang bangkit mencelah, mempersoalkan sama ada Siew Fook dan Tony Pua adalah dari parti yang berlainan memandangkan kenyataan yang dibuat oleh kedua-dua mereka adalah bertentangan.

"Tony Pua tidak pernah menarik balik kenyataannya itu dan ini bermakna mereka akan melaksanakan cadangan itu sekiranya berpeluang menjadi kerajaan," katanya.

Kedua-dua mereka kemudian terlibat dalam pertikaman lidah sebelum Speaker dewan, Datuk Razak Mansor mengarahkan Siew Fook meneruskan perbahasannya.

CUEPACS HARAP PERKHIDMATAN KAKITANGAN KONTRAK DILANJUTKAN

Bernama
23/11/2011




KANGAR, 22 Nov (Bernama) -- Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap hampir 20,000 penjawat awam berstatus kontrak yang bakal tamat tempoh perkhidmatan mereka akhir tahun ini diberi peluang meneruskan perkhidmatan mereka.

Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman berkata kebanyakan mereka yang berkhidmat dengan badan berkanun negeri dan Persekutuan serta Pihak Berkuasa Tempatan itu akan menghadapi kesukaran jika perkhidmatan mereka tidak dilanjutkan.

"Kami simpati dengan kakitangan yang berstatus kontrak terutama di saat menghampiri 31 Dis ini," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu stesen radio PerlisFm di sini Selasa.

Beliau berkata kebanyakan kakitangan terbabit masih berupaya menyumbang tenaga dan perkhidmatan mereka dan sewajarnya tenaga kerja mereka terus digunakan.

Omar berkata 1.3 juta penjawat awam bakal mengalami perkara baru dalam perkhidmatan mereka termasuk Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (Prospek) dan lanjutan umur persaraan.

-- BERNAMA

22 November 2011

PESARA KAKITANGAN SOKONGAN AWAM PERAK 2012 BAKAL NIKMATI PEMBERIAN KHAS

Bernama
22/11/2011



IPOH, 21 Nov (Bernama) -- Kakitangan kumpulan sokongan kerajaan negeri Perak yang akan bersara mulai 2012 akan menikmati pemberian khas berupa Sijil Amanah Saham Wawasan bernilai RM3,000 sebagai menghargai sumbangan mereka, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Ketika membentangkan Belanjawan 2012, beliau berkata pemberian itu akan melibatkan anggota-anggota di bawah pentadbiran kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun di mana sejumlah RM2 juta diperuntukkan.

"Untuk meningkatkan lagi kecemerlangan perkhidmatan awam di negeri ini, semua penjawat awam perlu memperlengkapkan diri bagi menghadapi sebarang cabaran.

"Ke arah itu sebuah institut latihan yang baru serba lengkap dengan kemudahan yang dibina bagi menggantikan Institut Latihan Pegawai Awam yang ada pada masa ini di Jalan Raja Dihilir," katanya.

Institut baru ini juga akan digunakan untuk latihan kepimpinan, kenegaraan dan juga kursus pengupayaan golongan yang memerlukan di mana sebagai permulaan sebanyak RM100,000 disediakan pada 2012 untuk kerja-kerja awal, katanya.

Beliau berkata mengenai pengumuman Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) mulai tahun 2012 yang diumumkan Perdana Menteri semasa membentangkan Belanjawan Persekutuan, kerajaan negeri memperuntukkan RM18 juta bagi melaksanakan pelarasan tersebut.

Pelaksaan sistem saraan baru ini akan melibatkan pelarasan gaji dengan kenaikan antara tujuh dan 13 peratus serta kenaikan gaji antara RM80 dan RM320 mengikut gred.

Zambry berkata Majlis Transformasi Agensi Perak (Mantap) merupakan satu lagi inisiatif baru yang dibawa kerajaan negeri dengan peruntukan disediakan sebanyak RM500,000 dalam usaha memantapkan lagi jentera kerajaan dengan penggunaan teknik dan pendekatan Strategi Lautan Biru.

Beliau juga merakamkan tahniah kepada beberapa jabatan yang berjaya dalam usaha meningkatkan produktiviti dan menerima pengiktirafan iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran Manjung yang mendapat penarafan empat bintang.

"Pejabat Kewangan Negeri dan Majlis Perbandaran Manjung yang mendapat persijilan MS-ISO9001:2008 serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Tanah dan Galian Negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran, beberapa buah Pejabat Daerah dan Tanah serta Pihak Berkuasa Tempatan yang berjaya mendapat Persijilan Amalan Persekitaran Berkualiti 5S," katanya.

Penarafan Empat Bintang Indeks Akauntabiliti yang diraih Pejabat Kewangan Negeri bagi tiga tahun berturut-turut daripada Ketua Audit Negara diharap menjadi semangat kepada jabatan lain pada masa hadapan, katanya.

"Kejayaan seperti ini memberi gambaran bahawa perkhidmatan awam di negeri Perak berada di landasan yang betul serta kukuh dalam menuju kecemerlangan untuk kebaikan kita bersama," katanya.

-- BERNAMA

21 November 2011

CUEPACS SASAR TIADA PENJAWAT AWAM KENA TINDAKAN TATATERTIB MULAI 2012

Bernama
21 November, 2011 15:47 PM


SUNGAI PETANI, 21 Nov (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyasarkan tiada lagi penjawat awam yang terlibat dengan tindakan tatatertib mulai 2012, kata presidennya Datuk Omar Osman.

"Kita tidak mahu pada 2012 seorang pun penjawat awam kena tindakan tatatertib," katanya kepada pemberita selepas Program Taklimat Isu Semasa dan Taklimat Insurans 1Kasih, Perkembangan Skim Gaji Baru (SBPA), Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) dan Permohonan Umur Persaraan 60 tahun di Dewan Mini, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok dekat sini pada Isnin.

Beliau menyarankan penjawat awam supaya bersiap sedia melakukan transformasi sikap ke arah yang lebih positif selaras dengan insentif yang diberi oleh kerajaan kepada mereka menjelang 2012.

Omar berkata penjawat awam wajar membuat perubahan daripada segi pemikiran dan sahsiah diri agar dapat mengelakkan sikap pentingkan diri sekaligus mampu memberi sumbangan kepada negara.

"Kita harus fikirkan apa sumbangan kita kepada majikan dan negara sebab penjawat awam banyak dapat manfaat daripada kerajaan," katanya.

Omar berkata penjawat awam perlu memainkan peranan yang besar dalam melaksanakan tugas supaya objektif untuk mencapai kecemerlangan tercapai.

"Semua jabatan ada objektif tidak kira pada peringkat negeri mahupun persekutuan semuanya ada misi untuk cemerlang, jadi sebagai staf kita perlu mainkan peranan," katanya.

Berkenaan dengan PROSPEK, Omar berkata ia dapat membuka peluang yang cerah kepada penjawat awam mendapat kenaikan pangkat berdasarkan kepada kriteria senioriti.

Katanya menerusi PROSPEK, penjawat awam yang mendapat prestasi kerja cemerlang, berpengalaman dan memiliki potensi diri yang istimewa akan diutamakan dalam pemilihan kenaikan pangkat.

"Sebelum ini hanya berdasarkan kepada peperiksaan PTK semata-mata iaitu siapa lulus aras empat akan dapat naik pangkat tetapi tidak pasti lagi dengan keupayaan bekerja. Jadi dengan PROSPEK ini kenaikan pangkat akan diambil kira dari segi senioriti, pengalaman dan sumbangan kepada majikan," katanya.

-- BERNAMA

_____________________________________________________________



20 November 2011

PENJAWAT AWAM PERLU BERSEDIA HADAPI PERKARA BARU DALAM PERKHIDMATAN

Bernama
20/11/2011




SANDAKAN, 19 Nov (Bernama) -- Penjawat awam perlu bersedia menghadapi pelaksanaan tiga perkara baru dalam perkhidmatan awam mulai tahun depan, kata Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman.

Beliau berkata bagi tujuan tersebut mereka perlu menyiapkan diri di segi kesihatan, prestasi kerja, produktiviti dan kreativiti bagi membolehkan penjawat awam terus berdaya saing memenuhi permintaan pelanggan.

Bercakap kepada pemberita selepas program 'Road Tour' CUEPACS di Hospital Duchess of Kent Sandakan di sini, Omar berkata perkara baru itu ialah pengenalan Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), lanjutan umur bersara kepada 60 tahun dan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK).

"Penambahbaikan ini memerlukan penjawat awam memberi perkhidmatan lebih baik kepada orang ramai," katanya.

Omar berkata kira-kira 1.3 juta penjawat awam seluruh negara termasuk 140,000 di Sabah akan mendapat manfaat menerusi pelaksanaan tiga perkara baru itu.

Katanya, menerusi penambahbaikan ini sudah pasti mereka perlu tampil lebih cekap, kreatif, produktif dan berintegriti selaras dengan peranan melaksanakan dasar-dasar kerajaan.

-- BERNAMA

18 November 2011

TAWARAN SEBUTHARGA BAGI KERJA-KERJA BEKALAN BUKU CATATAN [DAIRI] BAGI KEGUNAAN CUEPACS SESI 2010-2013

KONGRES KESATUAN PEKERJA-PEKERJA DI DALAM

PERKHIDMATAN AWAM [CUEPACS]

(Pendaftaran No 195)

SEBUTHARGA/TENDER BAGI BEKALAN BARANG-BARANG PERKHIDMATAN

KERJA-KERJA BEKALAN BUKU CATATAN [DAIRI] BAGI KEGUNAAN CUEPACS SESI 2010-2013

NO SEBUTHARGA : BIL 5/2011 Tarikh : 17 November 2011

KEPADA :

……………………………………………………

……………………………………………………

……………………………………………………

Pelawaan Sebutharga dikeluarkan oleh:

CUEPACS

Tingkat 1, Wisma CUEPACS

Jalan Gajah Off Jalan Yew

Pudu

55100 Kuala Lumpur.

1. Syarat-syarat penyerahan / penyempurnaan dikehendaki : DIMASUKKAN DALAM SAMPUL SURAT YANG DISILKAN DAN DICATITKAN NOMBOR SEBUTHARGA / TENDER DIKIRI HADAPAN SAMPUL.

2. Tarikh dikehendaki diserahkan / disempurnakan : 25 November 2011, tidak lewat dari jam 11.00 pagi. Sebutharga mestilah dimasukkan kedalam satu sampul berlakari dan bertanda, Sebutharga No.5/2011 : Perbekalan Dairi.

3. Semua penender hendaklah wajib hadir dengan sendiri untuk melihat contoh diari dan mengambil borang tender/sebutharga mulai 17 November 2011 jam 10.00 pagi.

4. Semua perbekalan barangan ini hendaklah dihantar terus ke Ibu Pejabat CUEPACS Jalan Gajah Off Jalan Yew Pudu.

5. Jawatankuasa setuju terima sebutharga/tender tidak terikat dengan mana-mana tawaran harga terendah atau sebarang bentuk yang difikirkan memuaskan hati penender.

6. Sebutharga hendaklah sah selama 30 HARI selepas itu.

7. Sila beri sebutharga bagi bekalan barang-barang / perkhidmatan yang di senaraikan di bawah dengan tertakluk kepada had-had dan syarat-syarat yang ditetapkan.

BIL

PERKARA

KUANTITI

HARGA

01

Perbekalan Diari/Buku Catatan CUEPACS yang mengandungi:

  1. Kulit
  2. Visi CUEPACS
  3. Misi CUEPACS
  4. Keterangan peribadi
  5. Pegawai Tertinggi CUEPACS
  6. Ahli Majlis Tertinggi
  7. Pengerusi/Setiausaha Bahagian CUEPACS
  8. Kalender 2012, 2013, 2014
  9. Takwim Persekolahan
  10. Takwim 1434 & 1435H
  11. Cuti Umum Malaysia
  12. Jadual Perancangan Bulanan Jan-Dec
  13. Nota Catatan 100 mukasurat
  14. Catatan telepon
  15. Jarak Kilometer Bandar

250 unit

Tawaran sebutharga dengan perkataan : Ringgit Malaysia….…………...............

……………………………………………………………………………………………………………...

Tempoh bekalan boleh dihantar : ……………………………………………………………..

[ Diskaun – diskaun perniagaan, tunai, bayaran cepat dan diskaun-diskaun lain dan apa-apa bayaran tambahan ( misalnya cukai dan belanja membungkus ) hendaklah ditunjukkan].

Saya /Kami dengan ini menawar untuk membekalkan barang-barang perkhidmatan di atas dengan syarat-syarat yang ditunjukkan di atas.

Nama penuh pengurus :……………………………………….

Tandatangan dan cop penender :……………………………………….

Alamat :………………………………………..

…………………………………………

…………………………………………

Tarikh :………………………………..

KURANG PENJAWAT AWAM, AGENDA NAKAL PIHAK YANG BARU DAPAT KUASA

Bernama
Oleh Ahmad Shukran Shaharuddin
18/11/2011




KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Persatuan Pesara Kerajaan Se-Malaysia membidas cadangan pembangkang untuk mengurangkan jumlah penjawat awam jika mereka memerintah Malaysia sebagai tidak bertanggungjawab dan hanya bertujuan menimbulkan suasana kelam kabut.

Presidennya, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawanteh berkata cadangan itu bukan sekadar agenda nakal pihak yang baru mengecap kuasa sebaliknya bertujuan mempolitikkan institusi perkhidmatan awam demi kepentingan sempit mereka.

"Baru dapat kuasa sikit sudah nak buat perkara yang bukan-bukan. Jangan politikkan kakitangan awam dengan isu nak mengurangkan penjawat awam. Penjawat awam profesional dalam tugasnya, mengikut arahan tertentu dan tidak boleh terlibat dengan politik," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau, yang pernah menjadi Pegawai Daerah ketika mula berkhidmat dalam kerajaan sehingga menjadi Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian Penerangan berkata, penjawat awam tidak seharusnya menjadi mangsa politik.

Wan Mahmood berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Ketua Publisiti DAP Tony Pua baru-baru ini yang mahu mengurangkan jumlah penjawat awam sekiranya pakatan pembangkang memerintah negara ini kelak dengan mencontohi pelaksanaan di China.

Beliau berkata pelantikan penjawat awam yang baru dikaji secara terperinci oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam berdasarkan keperluan dan beban tugas serta keberkesanan sistem penyampaian kerajaan dan ia tidak dilakukan sewenang-wenangnya.

"Kalau tak cukup dengan keperluan 28 juta penduduk negara kita sekarang, baru ditambah dan bukannya dikurangkan. Jika petugas tidak mencukupi dan sistem penyampaian kerajaan lemah, perkhidmatan awam juga yang akan dikutuk dan dikritik pembangkang. Ini yang kita tidak mahu," katanya.

Wan Mahmood merujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia, jika penjawat dikurangkan sudah tentu beban tugas semakin banyak dan banyak isu yang perlu ditangani tidak dapat diselesaikan, seperti masalah menyeludup masuk dan pendatang tinggal melebihi tempoh.

Akhbar Sinchew Daily pada 1 Nov lepas, melalui ruangan dalam negerinya, melaporkan Pua juga berkata pakatan pembangkang tidak akan menggunakan budaya lama kerajaan memuatkan graduan universiti ke sektor kerajaan.

Pua juga dilaporkan berkata kakitangan awam di negara ini kini berjumlah 1.3 juta orang dengan nisbah 4.6 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia berbanding hanya dua peratus di negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan Korea.

Kenyataan DAP itu turut dibidas Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman, yang dipetik berkata jumlah kakitangan awam negara maju tidak termasuk anggota polis dan tentera, dan ini berbeza dengan Malaysia kerana jumlah berkenaan merangkumi bilangan semua kakitangan awam.

Beliau berkata tidak timbul isu penjawat awam berlebihan, malah masih tidak mencukupi sebenarnya seperti di sektor kesihatan, perguruan dan pasukan keselamatan.

Menurut angka Cuepacs, di Kementerian Kesihatan terdapat kira-kira 250,000 orang penjawat awam termasuk jururawat dan doktor, hampir 500,000 guru dan 200,000 anggota polis serta tentera, yang jumlahnya hampir 1 juta orang, tidak termasuk di sektor-sektor, jabatan dan agensi lain.

Mengulas isu sama, Pengerusi Gerakan Anti Penyelewengan Selangor Hamidzun Kharuddin berkata pembentukan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan SuruhanJaya Perkhidmatan Negeri sejak merdeka adalah bukti betapa seriusnya pengasas negara mahu perkhidmatan awam yang profesional, berintegriti serta bebas daripada pengaruh politik.

"Pengalaman diperintah pakatan pembangkang di negeri Selangor dalam tempoh 4 tahun ini pula memperlihatkan dengan jelas campur tangan politik dalam perlantikan kakitangan awam," katanya.

Beliau berkata kemelut pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) awal tahun ini adalah bukti bagaimana rakusnya Menteri Besar Selangor sehingga sanggup mencadangkan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaaan Negeri semata-mata mahu SUK yang dilantik adalah pilihannya.

-- BERNAMA

17 November 2011

GAJI MINIMUM KAKITANGAN ANAK SYARIKAT KERAJAAN SELANGOR DIBUAT IKUT KEMAMPUAN

Bernama
17/11/2011




SHAH ALAM, 16 Nov (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata langkah melaksanakan gaji minimum RM1,500 sebulan bagi kakitangan anak syarikat kerajaan negeri dibuat berdasarkan kemampuan pendapatan kerajaan negeri.

Beliau berkata usaha itu dibuat kerana kerajaan negeri mempunyai kuasa pentadbiran dan pengurusan untuk memantau pelaksanaan itu.

"Ia menunjukkan kerajaan negeri mampu menetapkan gaji minimum bagi kakitangan anak syarikatnya meskipun terdapat sekatan untuk berbuat demikian.

"Pelaksanaan ini dibuat dengan bijak dengan cara tidak memikirkan kesan daripada kenaikan perbelanjaan hasil daripada penetapan gaji minimum," katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Selangor 2012 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, Rabu.

Ketika membentangkan Belanjawan Selangor baru-baru ini, Abdul Khalid berkata pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan bagi kakitangan anak syarikat kerajaan negeri termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan bermula tahun depan.

Beliau berkata langkah itu bertujuan menggerakkan syarikat milik kerajaan negeri supaya memberi latihan kepada kakitangan untuk menaik taraf kemahiran seterusnya membantu mereka meningkatkan pendapatan sendiri.

Abdul Khalid juga menafikan dakwaan beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri bahawa kerajaan negeri Selangor mengamalkan diskriminasi terhadap penjawat awam di negeri itu apabila hanya memperkenalkan gaji minimum untuk kakitangan anak syarikat kerajaan negeri.



-- BERNAMA

16 November 2011

GAKUM SOKONG AUKU DIKAJI SEMULA

Sinar Harian
Oleh : NORDIANA JOHARI

Tarikh : November 16, 2011




AUKU

DURIAN TUNGGAL - Gabungan Kesatuan Univer­siti Malaysia (Gakum), menyo­kong usaha kerajaan meng­kaji dan menimbangkan semula Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kajian semula akta itu, turut melibatkan pertimbangan semula peranan pekerja di setiap universiti.

“Saya berharap Majlis Bersama Jabatan (MBJ) diteruskan kerana pada masa kini Jawatankuasa Kebajikan Pe­kerja Universiti (JKP) yang dilihat tidak meliputi skop dikehendaki,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bermesyuarat bersama Ga­kum di Universiti Tenikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, semalam.

Omar juga Presiden Kon­gres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cue­pacs) turut berharap proses kajian semula Auku dapat dipercepatkan berikutan, peranan serta hak pekerja dan majikan dapat diselesaikan dalam tempoh yang cepat.

“Kalau kita hanya berharap pada jawatankuasa kebajikan pekerja universiti yang hanya bermesyuarat setahun dua kali setiap isu-isu pekerja tidak dapat diselesaikan de­ngan segera.

“Berbanding jika kita meng­­­gunakan MBJ yang mewajibkan mesyuarat empat kali setahun,” katanya.

Terdahulu, Gakum di bawah Cuepacs, turut memfokuskan kepada hak-hak antaranya skim pendapatan, kenaikan pangkat, dan tatatertib pekerja.

GURU TIDAK MAHU IMBUHAN TETAP PERUMAHAN DIPOTONG

BERNAMA
16/11/2011


Tarikh : November 15, 2011
Datuk Dr Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelajaran semalam menjelaskan antara faktor menyebabkan kekosongan kuarters perguruan adalah kerana guru tidak mahu kehilangan imbuhan tetap perumahan (ITP).

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong memberitahu bahawa kerajaan memberi ITP kepada guru bagi memastikan kebajikan terjaga dan prestasi kerja mantap.

“Kita bagi ITP dan elaun sara hidup kepada guru, tetapi bagi yang tinggal di kuarters perguruan, mereka tidak akan menerima ITP ini.

“Kalau yang tinggal di Padang Terap, mungkin mereka boleh sewa sebuah rumah yang harganya lebih kurang RM300 sebulan, jadi mereka memilih tinggal di luar bagi mengelakkan ITP dipotong,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd Nasir Zakaria (Pas-Padang Terap).

Ka Siong berkata, jumlah ITP yang diterima guru di negara ini berdasarkan gred iaitu guru gred DG41 menerima RM300; guru bergred DG44 (RM400) dan guru bergred DG48 (RM550).

“Jika mereka tinggal di kuarters guru, kementerian akan memotong separuh daripada jumlah ITP yang mereka terima, jadi inilah faktor menyebabkan guru memilih menyewa daripada tinggal di kuarters perguruan,” katanya.

PENJAWAT AWAM TERLALU RAMAI

gm-ukm.blogspot.com
16/11/2011



Kecoh seketika apabila isu jumlah kakitangan kerajaan sama ada di persekutuan dan pentadbiran negeri dikatakan terlalu ramai sehinggakan terdapat usul untuk mengurangkannya oleh seorang Ahli Parlimen baru-baru ini.

Permis pertama, bilangan penduduk negara kini mencecah hampir 28 juta orang dan daripada maklumat sumber JPA, kakitangan awam kini mencecah 1.4 juta orang; Itu adalah fakta. Bukan menjadi pertikaian lagi.

Premis kedua. Saban tahun kakitangan awam ditambah, dan saban tahun akan berlaku kenaikan gaji dan imbuhan bonus kepada mereka; kos yang amat tinggi yang perlu ditanggung oleh kerajaan. Terbaru dalam Bajet 2012, pihak kerajaan mengumumkan akan wujud lebih banyak mata gaji. Ini bermakna, penjawat awam akan mendapat gaji maksimum lebih tinggi, sehingga kepada 37.7 peratus. Malah usia wajib bersara dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun.

Kewajipan pihak kerajaan

Tapi itu bukan isunya. Memang menjadi kewajipan sesebuah kerajaan perlu malah wajib menjaga dan membela kebajikan kakitangan mereka.

Isunya di sini nisbah antara jumlah kakitangan awam dan jumlah keseluruhan rakyat Malaysia membawa kepada 1:20, satu angka yang agak besar bagi sebuah negara yang kecil seperti Malaysia. Isunya juga di sini, bagaimana pihak kerajaan mahu memastikan rakyat Malaysia yang di luar penjawat awam turut terbela ?

Guru 400 ribu, polis-tentera 200 ribu

Di negara kita, bilangan guru-guru sahaja sudah menjangkau 400 ribu orang, ditambah pula dengan bilangan polis seramai 100 ribu orang, ditambah lagi dengan pasukan tentera seramai 100 ribu orang, bilangan ini telah menduduki separuh daripada bilangan kakitangan awam yang lain.

Harus difahami isu di sini, 1.4 juta orang kakitangan awam adalah meliputi kakitangan awam yang berada di peringkat kerajaan negeri serta kerajaan tempatan. Faktanya adalah memang benar kakitangan awam kita ramai, sebuah organisasi yang menggelembung besar (big fat in small bottle).

Antara salah satu faktor berlaku limpahan 'gelembung besar' itu kerana banyak jawatan dan fungsi yang bertindan berlaku antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri mahupun kerajaan tempatan. Berlaku masalah bertindan dari segi struktur dan fungsinya ataupun tugas yang berulang.

Contohnya jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pertanian & Asas Tani, banyak bertindan dengan fungsi jabatan-jabatan pertanian di bawah pentadbiran negeri yang menjadikan asas tani sebagai komoditi seperti negeri Kedah, Kelantan dan Perlis. (MADA, KEDA, KESEDAR)

Apa yang dikemukakan Ahli Parlimen tersebut yang mahu kurangkan jumlah kakitangan awam itu, mungkin dialu-alukan oleh rakyat marhaen, sebaliknya kakitangan awam pula yang merasa tidak senang dengan cadangan tersebut. Justeru atas sebab itu Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dengan mudah membidas kembali cadangan tersebut sehari selepas cadangan tersebut dikemukakan.

Harapan mahasiswa

Di peringkat mahasiswa, yang mungkin sebilangan bercita-cita ingin bekerja di sektor awam, amat mengharapkan isu ini, sama ada mahu menambah dan mengurangkan kakitangan awam tidak sepatutnya dijadikan bahan politik antara ahli parlimen, dengan memanipulasi permainan angka dan bilangan tersebut dijadikan isu.

Sebaliknya yang lebih penting adalah menyelesaikan organisasi dan struktur serta fungsi kakitangan awam yang bertindan itu atau tugas yang berulang itu sama ada mahu dibaiki atau tidak, perlu dilakukan dalam perhatian serius dalam kadar segera.

Atau sekurang-kurangnya bagi kami mahasiswa yang mungkin 'tidak berkesempatan' memasuki sektor awam, pihak kerajaan wajar menyediakan ruang dan peluang pekerjaan yang sesuai dengan komposisi dan kapasiti seorang graduan Universiti.

15 November 2011

GAKUM SOKONG KERAJAAN KAJI SEMULA AUKU

Bernama
1511/2011



ALOR GAJAH, 15 Nov (Bernama) -- Gabungan Kesatuan Universiti Malaysia (GAKUM) pada Selasa menyokong usaha kerajaan untuk mengkaji dan menimbang semula Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), kata presidennya Datuk Omar Osman.

Omar, yang juga Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), berkata kajian semula AUKU ini turut meliputi pertimbangan semula peranan pekerja di setiap universiti.

"Saya juga berharap agar Majlis Bersama Jabatan (MBJ) diteruskan kerana pada masa kini Jawatankuasa Kebajikan Pekerja Universiti (JKP) dilihat tidak meliputi skop yang dikehendaki," katanya pada sidang media di sini, pada Selasa.

Omar berharap proses kajian semula AUKU ini perlu dipercepatkan supaya peranan serta hak pekerja dan majikan dapat diselesaikan dalam satu tempoh yang cepat.

"Kalau kita hanya berharap pada JKP yang hanya bermesyuarat setahun dua kali, setiap isu-isu pekerja tidak akan dapat diselesaikan dengan segera, berbanding jika kita menggunakan MBJ yang mewajibkan empat kali setahun untuk bermesyuarat," katanya.

Jelas beliau, GAKUM yang di bawah Cuepacs turut memfokuskan kepada hak-hak pekerja antaranya skim pendapatan, kenaikan pangkat dan tatatertib pekerja.

-- BERNAMA

KADAR GAJI MINIMUM DIKEMUKA KEPADA KERAJAAN HUJUNG TAHUN

Bernama
2011/11/15




KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangka akan menerima cadangan dan syor kadar gaji minimum daripada Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN)selewat-lewatnya akhir tahun ini, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, berkata MPGN yang ditubuhkan 15 September lalu dan diberi peranan mengkaji secara menyeluruh kadar serta liputan gaji minimum, akan membuat pengumuman mengenai perkara berkenaan. Beliau memberitahu dewan, majlis itu yang berperanan bagi pihak kerajaan membuat keputusan dan bertindak dalam menjamin kebajikan pekerja di negara ini, sedang mengkaji kadar dan liputan gaji minimum mengikut sektor, jenis pekerjaan, kawasan dan wilayah. Selain itu ia juga mengkaji faktor sosial, perbelanjaan, kadar inflasi serta perbandingan struktur gaji dengan negara-negara luar, katanya ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang ingin tahu perkembangan terkini perbincangan dalam MPGN.

Sambil menegaskan majlis itu sebuah entiti bebas dianggotai 25 orang terdiri daripada penggerak utama kesatuan pekerja, wakil majikan, kerajaan serta badan-badan bukan kerajaan (NGO), Maznah berkata kali terakhir badan itu bermesyuarat ialah Khamis lalu.

MPGN dipengerusikan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong dibantu sebuah jawatankuasa teknikal perundingan telah mengadakan mesyuarat sebanyak tujuh kali, bekerjasama dengan Bank Dunia dan mengadakan sesi perundingan dengan orang awam. - BERNAMA

KAJI SEMULA GURU BEKERJA 9 JAM -NGO

Utusan Malaysia
15/11/2011



KUALA LUMPUR 14 Nov. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) agar projek rintis sistem waktu kerja sembilan jam bagi guru di empat negeri mulai Januari ini dikaji semula.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, kajian itu perlu mengambil kira beban yang ditampung dan elaun tambahan kepada guru sekiranya mahu melaksanakan projek rintis itu.

"Seharusnya kerajaan mencari jalan untuk mengurangkan beban guru. Contohnya, mewujudkan kakitangan sokongan iaitu pembantu pentadbiran agar dapat membuat kerja-kerja tersebut.

"Sebelum ini pun ada kajian mengenai beban guru oleh kementerian beberapa tahun lalu, namun hasil belum dihebahkan lagi. Saya minta agar kajian tersebut didedahkan segera," katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia kelmarin bahawa kira-kira 5,000 guru di 104 sekolah akan menjadi perintis sistem waktu kerja sembilan jam mulai Januari ini.

Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, pihaknya difahamkan sistem waktu kerja baru itu akan dilaksanakan di Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak dengan tempoh percubaan selama enam bulan.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Mohamed Che Noh pula menolak tanggapan sesetengah pihak kononnya masa kerja guru terlalu pendek iaitu setengah hari berbanding penjawat awam lain.

"Dalam konteks perguruan banyak aspek lain yang orang ramai perlu faham. Contohnya, guru mesti menyediakan rancangan pembelajaran harian dan mingguan, menanda kertas peperiksaan dan menyelia aktiviti di luar kelas.

"Jika dilaksanakan bererti masa sebenar guru akan menjadi sehingga 12 jam, bukannya sembilan, apabila dicampur dengan aktiviti sekolah yang lain. Masakan aktiviti kokurikulum diadakan pada hujung minggu. Kalau begitu maknanya guru tiada cuti," jelasnya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad meminta semua pihak memahami tugas seorang guru yang berbeza dengan pekerja pejabat.

"Sekiranya kementerian tetap melaksanakan projek rintis itu, sewajarnya guru terlibat diberi elaun khusus sesuai dengan tambahan beban yang dipikul," ujarnya.

Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom pula berkata, cadangan waktu tugas guru mengikut pejabat telah timbul sejak beberapa tahun lalu.

"Mungkin kementerian telah membuat kajian mengenai sistem ini dan seterusnya melaksanakan projek rintis agar mendapat maklum balas daripada guru dan mengkaji lebih mendalam tahap keberkesanan serta mengetahui kesesuaiannya," jelas bekas Ketua Pengarah Pelajaran itu.

PEMIKIRAN SIDEK HASSAN DALAM TRANSFORMASI SISTEM PENYAMPAIAN

Bernama
Oleh Ravichandran D.J Paul
15/11/2011




Bekas Ketua Unit Pemantauan Akhbar dan Wartawan G. Perumal (Peruji Perumal) mengupas dengan ringkas pemikiran Tan Sri Sidek Hassan dalam mentransformasi perkhidmatan awam.

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Pasport Malaysia kini siap dalam dua jam, kad pengenalan yang hilang diganti dalam sehari, saman trafik disemak online dan pelbagai borang dapat dimuat turun di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Apa yang tersirat di sebalik semua ini membuktikan adanya penambahbaikan dalam kualiti penyampaian khidmat awam, walaupun masih terdapat ruang untuk lebih banyak ke arah itu.

Penulis adalah anggota birokrasi veteran, dengan perkhidmatan hampir empat dekad dalam sektor awam, dan telah mengharungi sendiri arus perubahan dalam perkhidmatan awam khasnya daripada segi penyampaian khidmat.

Perkhidmatan awam di Malaysia menempuhi perubahan secara berterusan selaras dengan peredaran masa untuk memenuhi aspirasi rakyat dan kerajaan yang memerintah.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan, dan mereka yang sebelum beliau, telah banyak mendorong proses transformasi ini.

Bagi Sidek, untuk berada dalam barisan depan penyampaian khidmat bermakna penjawat awam perlu menerima perubahan paradigma dalam budaya kerja mereka dengan inovasi menjadi teras perkhidmatan.

Desakan dan aspirasi pemegang kepentingan yang menilai penyampaian khidmat awam sentiasa berubah dan dengan itu juga memerlukan perubahan berterusan dalam sistem penyampaian.

PERANAN LEBIH BESAR

Sejak mengambil alih teraju khidmat awam negara pada 2006, Sidek berusaha dengan aktif pelbagai perubahan dalam penyampaian khidmat dan dalam memastikan pelaksanaan berkesan dasar-dasar pembangunan negara.

Sebuah perkhidmatan awam yang berkesan dan cekap adalah asas penting dalam memastikan pentadbiran yang baik dan memastikan kejayaan dasar-dasar pembangunan negara termasuk Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) sebenarnya menjadi kayu pengukur GTP.

Sebahagian besar daripada kejayaan GTP bergantung kepada kekuatan kolektif lebih 1.2 juta kakitangan awam.

Memandangkan manusia adalah aset birokrasi paling penting, Sidek percaya kepada perlantikan orang yang sesuai ke jawatan yang sesuai.

Dan peluang untuk turut serta dan meningkat dalam jawatan di sektor awam haruslah berdasarkan kepada merit, kemahiran, budaya kerja yang baik, rendah hati dan pengalaman.

Sidek menambah kata, bakat, kreativiti, pengetahuan dan integriti sebagai ciri-ciri perlu dalam meningkatkan kualiti khidmat untuk memenuhi aspirasi rakyat.

Bakat tanpa integriti pastinya akan mencetuskan masalah dan apa yang paling penting adalah kakitangan awam tidak perlu khuatir akan perubahan, kerana tanpa perubahan pastinya tiada kemajuan.

Dalam satu daripada ucapannya ketua perkhidmatan awam itu berkata; "Kita tidak boleh berdiam diri dan serahkan hala tuju masa depan kepada takdir. Kita perlu tetapkan sendiri hala tuju masa depan."

HALANGAN

Dengan pelbagai penambahbaikan itu, masih terdapat masalah dalam perkhidmatan yang belum dapat diatasi sepenuhnya walaupun pelbagai usaha diambil.

Contohnya, rasuah, pelbagai langkah diambil untuk memeranginya.

Masalah rasuah ini tidak terhad kepada Malaysia sahaja, ia satu masalah manusia merentasi seluruh dunia.

Bagi Sidek, meningkatkan gaji tidak semestinya dapat mengatasi rasuah. Persoalannya sekarang berapa banyak yang cukup dan mana satu yang menjadi keutamaan - kepentingan diri atau kepentingan umum?

Sebab itulah Sidek percaya bahawa pembentukan peribadi yang baik adalah tugas yang tiada penghujungnya. Peribadi yang menentukan kesesuaian, kelayakan dan penerimaan dalam khidmat awam.

Seseorang harus dinilai berdasarkan kepada kemampuan dan merit, dan bukan berdasarkan kepada asal-usulnya, termasuk kumpulan etniknya.

Tatalaku teladan kakitangan awam pastinya sangat bernilai.

Dalam mewujudkan satu perkhidmatan awam dengan hati nurani Sidek berkongsi kata-kata Ibu Theresa; "Ia bukan berapa banyak yang kita sumbangkan tetapi yang penting ialah berapa banyak kasih sayang yang disumbangkan. Berkhidmat dengan penuh kasih sayang pastinya lebih berkesan".

-- BERNAMA