SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

04 November 2011

GUNA KUASA PENGGUNA BERBELANJA IKUT KEPERLUAN

Berita Harian
Oleh Mohd Yusof Abdul Rahman
rencana@bharian.com.my
2011/11/04



Masalah kenaikan harga perlu ditangani semua termasuk penguatkuasaan tegas

PRESIDEN Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman, baru-baru ini menyarankan supaya kakitangan awam melakukan boikot secara senyap terhadap kenaikan harga barang. Langkah ini dibuat sebagai memprotes sikap sesetengah peniaga yang menaikkan harga barang, terutama harga ayam, sedangkan penjawat awam masih belum menerima kenaikan gaji dan bonus mereka, seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2012 pada 7 Oktober lalu. Saranan Presiden CUEPACS ini turut mendapat sokongan daripada beberapa pertubuhan lain, seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA). Begitu juga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan juga mengalu-alukan langkah ini.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyambut baik usaha melakukan boikot ini kerana ia bertujuan untuk menggalakkan pengguna menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna. Seperti mogok menjadi senjata bagi kesatuan sekerja menuntut hak mereka terhadap majikan, boikot pula adalah langkah untuk pengguna mengambil tindakan terhadap peniaga yang menjual barang atau perkhidmatan yang tidak menepati kehendak pengguna.

Namun begitu, FOMCA agak bersikap skeptikal dengan saranan memboikot ini kerana ia sudah berulang kali diutarakan, tetapi gagal mendapat sambutan daripada masyarakat pengguna. FOMCA sendiri pada 1990-an sering menyarankan pengguna supaya memboikot peniaga, tetapi tidak mendapat kesan yang diharapkan.

Mungkin ada banyak faktor yang menyebabkan usaha ini tidak mendapat perhatian pengguna, seperti mereka tidak mempunyai banyak pilihan, melainkan terpaksa membeli barangan berkenaan kerana ia keperluan asas. Selain itu, tidak wujud persaingan yang sihat sehingga timbul monopoli pasaran oleh pihak tertentu.
Justeru, FOMCA lebih giat memberikan kesedaran kepada pengguna mengenai hak dan tanggungjawab mereka agar mereka secara individu akan bertindak terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab tanpa wujudnya dorongan daripada mana-mana pihak.

Pada masa sama, masalah kenaikan harga barang ini memerlukan tindakan daripada pelbagai pihak, khususnya kerajaan. Antaranya, memastikan bekalan bahan makanan sentiasa mencukupi di pasaran. Negara juga perlu menghasilkan bahan makanan secukupnya untuk keperluan rakyat tanpa banyak bergantung kepada import daripada luar.

Selain itu, persaingan yang sihat antara peniaga perlu diwujudkan agar tidak ada pihak-pihak tertentu yang memonopoli pasaran.

Pengguna juga perlu bijak menggunakan barang alternatif terhadap barang yang mengalami kenaikan harga. Banyak faktor yang menyebabkan kenaikan harga barang, bukan semata-mata disebabkan oleh segelintir peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang untuk mengaut keuntungan yang berlebihan. Dalam kes seperti ini, tindakan penguatkuasaan yang tegas perlu dilaksanakan terhadap peniaga terbabit.

Pada April 2011 lalu, kerajaan sudah menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan. Pengguna yang mendapati ada peniaga yang menaikkan harga barang secara keterlaluan perlu membuat aduan kepada pihak berkuasa.

Sebahagian besar daripada bahan makanan untuk keperluan negara adalah diimport, seperti beras, gandum, bawang dan cili. Pada tahun lalu, nilai import bahan makanan ialah RM30.2 bilion. Masalah banjir yang berlarutan di Thailand turut menjejaskan sebahagian daripada bekalan makanan yang digunakan oleh rakyat Malaysia.

Justeru, kerajaan perlu memberikan penekanan yang serius terhadap dasar jaminan makanan. Dasar ini perlu dirangka untuk jangka masa panjang sehingga negara mampu mengeluarkan bahan makanan pada tahap kecukupan diri.

Dalam hal ini kerajaan perlu memastikan dasar jaminan makanan dirangka untuk jangka panjang, termasuk Dasar Agro Makanan Negara yang dilaksanakan dari 2011 hingga 2020.

Pada masa ini, kerajaan juga sudah mewujudkan pelbagai inisiatif untuk rakyat membuat pilihan mereka sendiri, seperti Kedai Rakyat 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia dan Portal 1Malaysia Pengguna Bijak. Pengguna perlu mengambil kesempatan sepenuhnya terhadap inisiatif ini bagi mendapat pilihan barang yang berharga rendah.

Apa yang penting ialah peranan dan kesungguhan pengguna itu sendiri. FOMCA percaya bahawa ‘perlindungan kendiri adalah perlindungan terbaik’. Selagi pengguna tidak mahu menggunakan kuasa mereka, termasuk memboikot, maka mereka perlu bersedia untuk menghadapi peniaga yang bersifat tidak mesra pengguna, termasuk menaikkan harga barang sesuka hati.

Penulis ialah Pengarah Komunikasi Kumpulan, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Protes senyap ini bagaikan suruh PA mejadi pengemis secara senyap. Ini tidak beli, itu tidak makan....

Hakikatnya, gaji PA memang masih jauh rendah berbanding sektor swasta. Kenaikan gaji baru-baru ini pun sekadar RM200-300. Tidak signifikan langsgng...

Tanpa Nama berkata...

zaman skarang apa yg xpenting????
sembang...