SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

31 Disember 2015

CUEPACS HARGAI JAWATANKUASA NILAI HARGA BARANG

Sinar Harian
31/12/2015



KUALA TERENGGANU - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menghargai usaha kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa bagi menangani isu kos sara hidup. Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata jawatankuasa itu diharap mampu memainkan peranan menangani pelbagai perkara yang membebankan rakyat. "Dalam situasi sekarang kita mahu kerajaan campur tangan dalam banyak hal tentang harga barang yang kian melambung. Kita sudah ada akta pencatutan untuk pastikan peniaga tidak boleh sewenang-wenang mengambil untung yang berlebihan.
"Tetapi sekarang kita lihat saban hari, setiap kali penggal baharu persekolahan dibuka, harga pakaian sekolah naik, barang dapur naik, barang keperluan basah dan kering naik, harga rumah naik, hartanah naik malah harga pengangkutan awam pun turut dinaikkan," katanya. Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung dwitahunan Kesatuan Pekerja-pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu di sini hari ini.
Isnin lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebuah jawatankuasa peringkat tertinggi yang dipengerusi beliau sendiri akan ditubuhkan bagi membincangkan pandangan badan bukan kerajaan (NGO) tentang isu kos sara hidup. Jawatankuasa turut dianggotai enam menteri dan ketua setiausaha kementerian berkenaan iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.Azih berkata selain mengkaji rungutan NGO dan rakyat berkaitan kenaikan kos, jawatankuasa itu juga harus mengkaji kandungan perjanjian yang dahulunya dibuat seperti pembinaan lebuh raya, pembinaan LRT dan sebagainya yang memberi kesan kepada pengguna. - Bernama
 

POTONGAN GAJI PENJAWAT AWAM: PTPTN JUMPA CUEPACS SEBELUM 18 JAN INI

Bernama
30/12/2015


LENGGONG, 30 Dis (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menemui Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sebelum 18 Jan ini untuk menjelaskan isu berhubung pemotongan gaji penjawat awam sehingga kadar maksimum bagi membayar pinjaman mereka dengan agensi itu.
Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, agensi itu mahu membuat penjelasan berkenaan bagi menerangkan tindakannya terhadap 3,193 penjawat awam yang gagal membayar balik pinjaman berjumlah RM28.84 juta kepada PTPTN.

"Pihak kami sudah beberapa kali menghantar notis amaran kepada penjawat awam terbabit tetapi mereka tidak memberi komitmen untuk membayar balik hutang berkenaan," katanya pada sidang media selepas majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Dataran Lenggong di sini, Rabu.

Seramai 100 murid cemerlang UPSR yang mendapat keputusan 5A dan 4A masing-masing menerima akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) sebanyak RM100 dan RM70 serta beg sekolah.

Shamsul Anuar juga berkata ada penjawat awam yang memperoleh gaji bersih antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan tetapi masih enggan melunaskan pinjaman PTPTN, walaupun mereka boleh membuat penjadualan semula bayaran pinjaman.

Sambil menolak tanggapan sesetengah pihak yang menyifatkan tindakan PTPTN itu sebagai terburu-buru, beliau menjelaskan bahawa pemotongan gaji maksimum dibuat setelah pihaknya berhubung dengan peminjam menerusi telefon dan e-mel selain bertemu namun penjawat awam terbabit masih enggan membayar pinjaman.

"Sikap culas kakitangan awam terbabit memberi kesan kepada peminjam baharu yang mahu mendapatkan pembiayaan PTPTN," katanya.

Pada Selasa lepas, Cuepacs berkata ia akan meminta Jabatan Perkhidmatan Awam menarik balik kebenaran membuat pemotongan gaji penjawat awam bagi pinjaman PTPTN sekiranya agensi itu masih melaksanakan pemotongan maksimum.

Presidennya Datuk Azih Muda kesal dengan tindakan PTPTN yang dianggapnya sebagai tidak wajar kerana ia membebankan kedudukan kewangan penjawat awam terbabit.

Shamsul Anuar yang juga Anggota Parlimen Lenggong berkata PTPTN juga menawarkan pengecualian dan rebat antara 10 hingga 20 peratus kepada peminjam bagi menjelaskan hutang pembiayaan menerusi 71 pejabat cawangan yang boleh dihubungi di luar waktu kerja.

Menurutnya sejak arahan potongan gaji dibuat, kutipan hutang pinjaman PTPTN telah meningkat daripada 7.5 peratus kepada 17.2 peratus sejak Oktober lepas.

"PTPTN menyasarkan kutipan sebanyak RM2 bilion setahun untuk mendapatkan balik hutang pembiayaan mulai tahun depan," katanya.

Seramai 277,606 penjawat awam meminjam daripada PTPTN bagi melanjutkan pengajian mereka setakat ini.

-- BERNAMA

30 Disember 2015

PTPTN: GAJI BESAR ATAU KECIL, HUTANG WAJIB DIBAYAR

Sinar Harian
29/12/2015


SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menegaskan seseorang yang berpendapatan tinggi atau rendah wajib melunaskan pinjaman pelajaran mengikut kemampuan masing-masing.
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, gaji seseorang itu tidak boleh diambil kira sebagai syarat untuk melunaskan hutang kerana dana itu diperlukan untuk membantu orang lain.
"Dalam Islam, hutang wajib dibayar. Kita tak bersetuju bila gaji RM4,000 baru nak bayar, hutang kena bayar, bila ada kemampuan membayar, dia kena bayar.
"Kalau tiada kemampuan, pergi berunding (dengan PTPTN) tak boleh kata tiada kemampuan, jadi orang tak marah," katanya kepada Sinar Online, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang menggesa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meminda semula peraturan pembayaran pinjamannya jika peminjam memperolehi gaji sebelum cukai RM4,000 sebulan.Naib Presiden PKR itu berkata, kelonggaran tersebut perlu diberikan dengan syarat peminjam mengemaskini butiran pekerjaan dan gaji yang disahkan oleh majikan setiap enam bulan.
Dalam pada itu, Azih juga menegaskan PTPTN perlu rasional dalam membuat potongan gaji dalam akaun setiap peminjamnya.Katanya lagi, jika ia berterusan, PTPTN hanya menambah beban peminjam hingga boleh mengundang masalah lain."Kalau tiap-tiap bulan potong maksimum, orang nak makan apa, kita tak nak masalah baru."(Nanti) wujud masalah lain seperti pengangguran, salah guna kuasa dan pelbagai cara untuk mereka tangani bebanan sara hidup.

"PTPTN kenalah adil dan bertimbang rasa, walaupun mandatori, tapi jangalah potong semua (pinjaman termasuk tunggakan)," katanya lagi

29 Disember 2015

ELAK KENAKAN POTONGAN GAJI MAKSIMUM- CUEPACS

Utusan Malaysia
29/12/2015



KUALA LUMPUR 28 Dis. – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sedia berkongsi idea dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi menyelesaikan isu pemotongan gaji maksimum terhadap peminjam tegar dalam kalangan penjawat awam.
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pertemuan berkenaan sepatutnya diadakan lebih awal bagi mengelakkan penjawat awam terlibat tidak terasa beban terutama yang baru mendapat pekerjaan.“Potongan gaji mandatori atau maksimum tidak relevan dan memerlukan kajian lebih terperinci kerana tidak semua penjawat awam mampu untuk membuat bayaran balik dengan cepat.

“Kami (CUEPACS) faham hutang perlu dibayar tetapi PTPTN perlu mengambil kira banyak faktor sampingan sebelum mengenakan kaedah bayaran mandatori kepada mereka,” katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah yang bersedia mengadakan pertemuan dengan pihaknya bagi menyelesaikan isu pemotongan gaji maksimum kepada penjawat awam yang gagal membuat bayaran balik pinjaman.

Menurut Shamsul Anuar, pelaksanaan potongan gaji mandatori itu merupakan antara langkah terakhir dapat dilakukan berikutan beban kewangan PTPTN yang kini mencecah RM54.6 bilion kepada 2.5 juta pelajar.Terdahulu, CUEPACS bercadang menarik balik kebenaran PTPTN membuat potongan gaji ke atas penjawat awam sekiranya agensi itu masih melaksanakan pemotongan maksimum yang didapati membebankan kedudukan kewangan penjawat awam terlibat.

Tambah Aziz, pihaknya percaya masih ada cara lain yang boleh dilaksanakan bagi menyelesaikan isu tersebut dan terbuka untuk menerima kunjungan PTPTN bagi mencari jalan penyelesaian bersama.“CUEPACS sedia memberi kerjasama untuk memberi cadangan agar PTPTN dan juga penjawat awam saling mendapat manfaat dengan menggunakan kaedah yang relevan dan tidak memberikan kesan negatif,” katanya

26 Disember 2015

PTPTN SEDIA BERTEMU CUEPACS

Utusan Malaysia
26/12/2015



KUALA LUMPUR 26 Dis. – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bersedia mengadakan pertemuan dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi menyelesaikan isu pemotongan gaji maksimum kepada penjawat awam yang gagal membuat bayaran balik pinjaman mereka.
Shamsul Anuar Nasarah
Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, walaupun sedar situasi dihadapi semua pihak terutama ketika berlaku kenaikan kos sara hidup, pihaknya bimbang tidak mampu menyediakan dana secukupnya untuk pelajar ke universiti akibat kegagalan bayar balik sesetengah individu.

“Jika ini terus berlaku, tentu ia akan menambahkan beban kepada rakyat. Saya bersedia bertemu CUEPACS bagi menyelesaikan masalah ini kerana saya yakin PTPTN dan CUEPACS juga mempunyai iltizam yang sama iaitu bagi memastikan rakyat mendapat yang terbaik di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, CUEPACS bercadang akan menarik balik kebenaran PTPTN membuat pemotongan gaji ke atas penjawat awam sekiranya agensi itu masih melaksanakan pemotongan maksimum kerana disifatkan membebankan kedudukan kewangan mereka.

Pada 9 Julai lalu, Jabatan Per­khidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan arahan agar penjawat awam melaksanakan bayaran balik melalui potongan gaji mulai 1 September lalu melibatkan lebih 138,201 kakitangan yang mempunyai tunggakan atau hanya membuat bayaran sekali-sekala.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, PTPTN tidak mengambil kesempatan atau menggunakan kuasa sewenang-wenangnya dalam melaksanakan tanggungjawab kerana semua tindakan diambil berdasarkan kepada nasihat, kajian dan pandangan pelbagai pihak.

Jelas beliau, pelaksanaan potongan gaji mandatori itu merupakan antara langkah ter­akhir dilakukan berikutan beban kewangan PTPTN kini begitu tinggi dan mempunyai komitmen sebanyak RM54.6 bilion kepada lebih 2.5 juta pelajar.Dalam masa sama, katanya lagi, pihaknya terpaksa berdepan masalah apabila lebih 611,956 pe­minjam tidak pernah membuat bayaran pinjaman melibatkan jumlah RM5 bilion walau sesen pun.

“Seramai 3,193 peminjam diminta segera tampil dan berunding bagi membuat penjadualan semula bayaran balik mereka selewat-lewatnya pada 18 Januari depan. Sekiranya peminjam yang terlibat gagal berbuat demikian dalam tempoh tersebut, jumlah ansuran potongan gaji mandatori akan dikenakan semula kepada peminjam.“Jumlah ansuran bayaran balik baharu boleh dipertimbangkan berdasarkan kepada gaji dan umur peminjam. Justeru, ia tidak akan membebankan sekiranya peminjam dapat hadir berunding dan menstrukturkan semula hutang mereka,” katanya.

PTPTN AKAN JELASKAN ISU PEMOTONGAN GAJI PENJAWAT AWAM ISNIN INI

Bernama
26/12/2015



Penjawat awam mendengar taklimat Taklimat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Auditorium Jabatan Perkhidmatan Awam pada 6 Julai lepas (Gambar Fail
 
Bernama)KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama)-- Satu sidang media khas dijangka diadakan Isnin ini oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) untuk menjelaskan berkenaan pemotongan gaji penjawat awam sehingga kadar maksimum bagi bayaran balik hutang pembiayaan PTPTN.
Bagaimanapun Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, PTPTN akan membuat penjelasan tersebut setelah meneliti semua dasar, atau jika perlu satu kenyataan akhbar mengenainya akan dikeluarkan oleh pihak PTPTN.

"Kami (PTPTN) akan mengadakan sidang media mengenai ini pada Isnin depan atau saya akan bagi kenyataan media kalau tak sempat PC (sidang media), kerana ada beberapa dasar yang perlu diteliti," katanya ketika dihubungi Bernama.

Datuk Shamsul Anuar Nasarah

Pada Selasa lepas, Kongres Kesatuan Pekerja- Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menegaskan akan menarik balik kebenaran terhadap agensi itu untuk membuat pemotongan gaji penjawat awam, sekiranya mereka masih melaksanakan pemotongan maksimum.

Presidennya Datuk Azih Muda juga melahirkan rasa kesal terhadap tindakan agensi itu serta menganggapnya sebagai tidak wajar kerana ia hanya akan membebankan kedudukan kewangan penjawat awam yang terbeban dengan kos sara hidup.

"Cuepacs juga mengingatkan, kami tidak akan teragak-agak untuk menarik balik keputusan benarkan penjawat awam potong gaji mereka untuk bayar PTPTN," katanya.

Dalam pada itu, Azih turut mendedahkan hampir 3,000 penjawat awam telah dikenakan pemotongan gaji antara 30 peratus dan 100 peratus bagi pembayaran balik hutang tersebut.

"Sepatutnya buatlah pemotongan gaji mengikut kemampuan mereka. Potong RM100 sebulan hingga 10 tahun ke, ada slip gaji kakitangan awam yang tinggal sampai RM19, nak makan apa nanti? Gunakanlah kuasa sebaik-baiknya," katanya.

-- BERNAMA

24 Disember 2015

ISU PTPTN: KALAU BAKI GAJI RM19 NAK MAKAN APA?

Sinar Harian
23/12/2015


SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mungkin akan menarik balik kebenaran kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) membuat pemotongan gaji untuk kakitangan awam, sekiranya agensi itu masih melaksanakan pemotongan maksimum.
Presiden Cuecpacs, Datuk Azih Muda melahirkan kekesalannya apabila ada kakitangan awam yang dipotong gaji pada kadar maksimum yang disifatkan sebagai tidak wajar.
"Ada slip gaji kakitangan awam yang tinggal sampai RM19, nak makan apa nanti? Gunakanlah kuasa sebaik-baiknya."Cuepacs juga mengingatkan, kami tidak akan teragak-agak untuk menarik balik keputusan benarkan penjawat awam potong gaji mereka untuk bayar PTPTN," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Cuepacs 2015, semalam.
Azih turut mengingatkan PTPTN agar lebih bertimbang rasa terhadap kakitangan awam dalam melaksanakan pemotongan gaji agar kakitangan awam tidak terbeban dalam aspek kewangan.
Menurutnya lagi, ‎isu PTPTN adalah antara empat perkara yang menekan kehidupan kakitangan awam pada masa kini selain isu kenaikan kos sara hidup.Berkaitan kos sara hidup, Azih menggesa Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) campur tangan secara serius dalam isu kenaikan harga barangan, terutamanya barangan dan perkhidmatan yang telah diberi pengecualian daripada dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
"Kami (Cuepacs) rasa kesal kerana kenaikan harga barang yang sepatutnya 0 peratus dalam GST, telah dinaikkan," katanya.

23 Disember 2015

CUEPACS BANTAH PANEL PEGUAM LPPSA

Metro
22/12/2015


Alor Gajah: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memberi perhatian serius berhubung peralihan Bahagian Pinjaman Perumahan kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bermula Januari tahun depan.Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya menerima pelbagai rungutan daripada penjawat awam terutamanya yang baru berkhidmat berikutan syarat pinjaman lebih ketat dikhuatiri menyebabkan mereka tidak mampu memiliki kediaman sendiri.
Menurut Azih, rungutan juga membabitkan penubuhan panel peguam dilantik LPPSA bagi urusan perumahan sektor awam dan bukan seperti syarat lama diuruskan sendiri pembeli. “Sehubungan itu, CUEPACS membantah syarat berkenaan dan mahu syarat lama dikekalkan dengan diuruskan sendiri oleh peminjam. Soal berlaku penipuan dan sebagainya adalah mekanisme baru yang boleh diperbaiki LPPSA berikutan penubuhan panel itu dilihat lebih memihak kepada LPPSA dan bukan peminjam.
“Difahamkan, syarat LPPSA yang turut mengambil kira gaji peminjam pasti merumitkan berikutan peningkatan kos hidup menyebabkan mereka yang mempunyai komitmen pinjaman koperasi dan bank gagal memiliki kediaman,” katanya.

DAFTAR HARGA BARANG KEPERLUAN RUMAH-CUEPACS

Utusan Malaysia
22/12/2015

KUALA LUMPUR 22 Dis. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan supaya kerajaan mendaftarkan harga semua barangan keperluan dan perkhidmatan bermula dari yang asas sehingga ke sektor perumahan.
Presidennya, Datuk Azih Muda (gambar) berkata, langkah itu dapat membantu meringankan beban rakyat hari ini terutamanya penjawat awam yang berdepan dengan masalah kos sara hidup tinggi.

Katanya, langkah tersebut juga mampu mengawal harga semua barangan daripada dimonopoli oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja mengaut keuntungan dalam keadaan ekonomi kini yang tidak menentu.“Kerajaan boleh mandaftarkan semua harga barangan dari sekecil-kecil produk seperti bawang sehinggalah penetapan harga rumah.

“Bila sudah di­daf­tarkan, maka pe­main-pemain industri tidak boleh menaikkan harga barang dengan sewenang-wenangnya,” katanyan dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan CUEPACS, di sini hari ini.Mengulas lanjut, Azih menyatakan bahawa status negara maju yang akan dicapai pada 2020 tidak akan memberi makna jika rakyat masih dibelenggu masalah pemilikan rumah.

“Apalah guna kalau Malaysia jadi negara maju kalau rakyatnya masih merempat tidak mampu beli rumah sendiri? Boleh saya rumuskan, kehidupan penjawat awam sepanjang 2015 ibarat kais pagi makan pagi, kais petang belum tentu,” ujarnya.

CUEPACS MUNGKIN TARIK BALIK KEBENARAN LAKSANA PEMOTONGAN BAYARAN BALIK PINJAMAN PTPTN

Bernama
22/12/2015


KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja- Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mungkin akan menarik balik kebenaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) membuat pemotongan gaji untuk kakitangan awam, sekiranya agensi itu masih melaksanakan pemotongan maksimum.

Presidennya, Datuk Azih Muda melahirkan rasa kesal kerana ada kakitangan awam yang dipotong gaji mereka oleh PTPTN sehingga kepada kadar maksimum dan tindakan itu adalah tidak wajar dilakukan serta membebankan kedudukan kewangan mereka.

"Ada slip gaji kakitangan awam yang tinggal sampai RM19, nak makan apa nanti? Gunakanlah kuasa sebaik-baiknya.

"Cuepacs juga mengingatkan, kami tidak akan teragak-agak untuk menarik balik keputusan benarkan penjawat awam potong gaji mereka untuk bayar PTPTN," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Cuepacs 2015 di sini, Selasa.

Justeru, beliau menasihatkan PTPTN agar lebih bertimbang rasa terhadap kakitangan awam dalam melaksanakan pemotongan gaji agar kakitangan awam tidak terbeban dalam aspek kewangan.

Isu PTPTN, menurut Azih, adalah antara empat perkara yang menekan kehidupan kakitangan awam pada masa kini.

Tiga isu lain yang perlu perhatian kerajaan ialah kenaikan kos sara hidup rakyat, mekanisma penetapan harga rumah dan pelaksanaan 252 skim perkhidmatan.

Mengenai kenaikan kos sara hidup, beliau meminta Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) campur tangan secara serius dalam isu kenaikan harga barangan, terutamanya barangan dan perkhidmatan yang telah diberi pengecualian daripada dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"Kami (Cuepacs) rasa kesal kerana kenaikan harga barang yang sepatutnya 0 peratus dalam GST, telah dinaikkan," katanya.

Beliau juga meminta kerajaan agar segera mewujudkan mekanisma penetapan harga rumah dan mencadangkan agar mekanisme tersebut dapat meletakkan penetapan bagi peratusan kadar harga rumah serta keuntungan, yang bakal diperoleh oleh pemaju perumahan.

Cuepacs turut memohon agar kerajaan memperuntukkan jawatan bagi kenaikan pangkat untuk kakitangan awam yang berkhidmat di bawah agensi negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT), katanya.

Kata Azih, ia selari dengan pelaksanaan sebanyak 252 Skim Perkhidmatan yang akan berkuatkuasa pada 1 Julai tahun depan agar pekerja tidak dinafikan hak dan peluang mereka untuk menerima kenaikan gaji yang lebih tinggi berikutan peningkatan kos sara hidup.

-- BERNAMA

22 Disember 2015

CUEPACS BANTAH PANEL PEGUAM LPPSA UNTUK URUSAN PEMBIAYAAN RUMAH SEKTOR AWAM

Bernama
21/12/2015


ALOR GAJAH, 21 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini membantah cadangan dikemukakan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) untuk mengadakan panel peguam dalam urusan pembiayaan perumahan sektor awam.

Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata kongres itu meminta supaya prosedur sebelum ini iaitu pelantikan peguam diuruskan oleh peminjam sendiri dapat dikekalkan.

"Cadangan tersebut (pelantikan panel peguam oleh LPPSA) boleh menyebabkan penjawat awam terutamanya golongan muda tidak mampu memiliki rumah mereka sendiri pada masa akan datang.

"Bukan kata ini panel boleh, ini panel tidak boleh, (tetapi) nanti panel (peguam itu) akan ikut LPPSA dan tidak akan membela peminjam," katanya kepada pemberita selepas Program Taklimat Isu-isu Semasa Bersama Presiden Cuepacs di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah di sini Isnin.

LPPSA akan menggantikan Bahagian Pinjaman Perumahan, Perbendaharaan Malaysia (BPP) mulai Januari depan bagi mengambil alih segala urusan pentadbiran, pengurusan dan pemberian pembiayaan perumahan kepada penjawat awam.

Azih berkata perkara tersebut perlu diberi perhatian kerana 70 peratus penjawat awam adalah daripada golongan muda dan merupakan nadi kepada produktiviti negara kita.

"Setiap penjawat awam ada pinjaman peribadinya, jika ini diambil kira untuk meluluskan pinjaman perumahan, sampai bila penjawat awam nak memiliki rumah sendiri.

"Jadi kita minta pihak kerajaan berunding bersama kita bagi menambah baik dan lihat apa tindakan yang boleh kita lakukan," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga meminta kerajaan menambah lagi pembinaan rumah di bawah Program Perumahan Penjawat Awam (PPA1M) dan rumah PR1MA bagi membolehkan penjawat awam memiliki rumah idaman mereka.



-- BERNAMA

CUEPACS SYOR PEMBINAAN PPA1M, PRIMA DIGANDAKAN

Utusan Malaysia
21/12/2014



ALOR GAJAH 21 Dis. – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menambah dua kali ganda pembinaan projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) bagi memboleh­kan penjawat awam memiliki rumah pada harga mampu milik.
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, langkah itu perlu bagi menggalakkan golongan muda yang mewakili 70 peratus di dalam sektor awam memiliki kediaman sendiri tanpa perlu menunggu lama memandangkan harga rumah semakin meningkat dari semasa ke semasa.Menurutnya, pelbagai rungutan diterima berkaitan harga rumah yang terlalu mahal sehingga tidak mampu dimiliki penjawat awam, selain syarat ketat yang dikenakan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) berkaitan gaji serta hutang yang ditanggung sebelum memberi kelulusan pinjaman perumahan.

“Kalau ini diambil kira untuk meluluskan pinjaman perumahan, sampai bila pun penjawat awam tidak memiliki rumah. Atas sebab itu, CUEPACS meminta kerajaan berunding dahulu, kita kesal kerana tiada perundingan dilakukan walaupun akan ada mesyuarat tetapi sebelum ini kita tidak dipanggil. “Yang kedua, kita minta kerajaan menambah dua kali ganda pembinaan rumah PPA1M dan rumah PR1MA supaya mampu dimiliki penjawat awam muda yang bekerja antara lima hingga 10 tahun,” katanya.Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri taklimat mengenai isu-isu semasa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu di sini, hari ini.Yang turut hadir, Rektor UiTM Melaka, Prof. Madya Dr. Mohd. Adnan Hashim.
-

17 Disember 2015

CUEPACS MINTA 2 PERKARA TAMPUNG KOS HIDUP

Sinar Harian
16/12/2015



SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menuntut dua perkara daripada kerajaan dalam usaha menampung masalah kenaikan kos sara hidup di negara ini.
 Azih Muda
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, Cuepacs meminta agar kerajaan campur tangan dalam kawalan harga dan menambah rumah mampu milik di negara ini.“Kita minta supaya ada campur tangan kerajaan dalam kawalan harga. Kita tidak mahu kawalan bermusim supaya barang keperluan utama dapat dikawal.
“Apa jua keadaan pun kerajaan perlu duduk kembali dan lihat dasar supaya harga barang tidak naik lagi. Dulu kerajaan kata apabila kenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST), harga barang akan turun. Tetapi hari ini tak semua turun. Rakyat terpaksa bayar harga yang sama dan ditambah lagi dengan GST,” katanya.
Beliau berkata, Cuepacs sudah berulang kali memberi gambaran jelas kepada kerajaan bahawa kos sara hidup yang terpaksa dihadapi sangat tinggi bukan hanya kepada penjawat awam tetapi juga kepada pekerja swasta.“Kos sara hidup ini bukan hanya sekadar makan minum, tetapi juga tanggungan yang tidak mahu tidak terpaksa juga kita bayar seperti utiliti, pengangkutan, pendidikan, makan minum, pembelian rumah, logistik dan sebagainya.
“Hari ini kalau kita lihat di bandar utama, rakyat tertumpu kepada pengangkutan awam untuk bergerak tetapi pengangkutan awam juga naik harga yang akan turut menyusahkan pengguna. Hari ini, RM50 seperti tiada nilai. Bila pergi pasar atau bawa keluarga untuk makan malam, RM50 tidak mencukupi,” katanya.Menurutnya, peningkatan kos sara hidup juga menyebabkan rakyat tidak mampu membeli rumah walaupun rumah mampu milik.“Saya bimbang pada tahun mendatang, akan ada rakyat yang tidak mampu beli rumah walaupun rumah teres atau pangsapuri.
“Jadi dalam hal perumahan, kerajaan perlu tambah sekali ganda lagi rumah yang dibiayai kerajaan. Seperti yang diumumkan Perdana Menteri, menjelang 2018, 100,000 rumah yang dibiayai kerajaan akan dibangunkan. Bagi Cuepacs jumlah itu tidak mencukupi. Sepatutnya ada sehingga 300,000 hingga 500,000 rumah yang dibiayai kerajaan,” katanya

DASAR PEMISAH UNTUK WUJUD PERSEKITARAN PERKHIDMATAN AWAM PRODUKTIF - MOHAMAD ZABIDI

Bernama
16/12/2015



Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal
KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Pelaksanaan Dasar Pemisah pada tahun depan kepada penjawat awam yang memperoleh penilaian prestasi kerja tahunan kurang daripada 60 peratus bertujuan mewujudkan persekitaran perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi, produktif dan berintegriti.

Justeru, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah melaksanakan kaedah libat urus dengan pelbagai pihak khususnya Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Majlis Bersama Kebangsaan dan Pengurusan Sumber Manusia, bagi memastikan dasar itu diterima oleh penjawat awam.

"Ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya perkhidmatan awam menekankan kepada produktiviti dan inovasi bagi mewujudkan sebuah negara berpendapatan tinggi.

"Pengukuhan budaya kerja berprestasi tinggi dalam persekitaran perkhidmatan awam yang kompetitif adalah perkara sentiasa diberikan penekanan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa," katanya dalam Program Dialog RTM1 bertajuk 'Transformasi Perkhidmatan Awam Bersama KPPA' yang disiarkan secara langsung malam ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Zabidi berkata dasar itu membolehkan perkhidmatan penjawat awam yang mendapat prestasi kurang daripada 60 peratus ditamatkan dan dibersarakan dalam perkhidmatan awam.

Beliau, bagaimanapun berkata JPA tidak akan menamatkan perkhidmatan penjawat awam terbabit dengan sewenang-wenangnya kerana ia melibatkan beberapa peringkat tapisan untuk memastikan keputusan yang telus dan adil kepada penjawat awam itu.

Beliau berkata antaranya siasatan oleh Panel Pembangunan Sumber Manusia, tempoh pemerhatian selama satu tahun serta penilaian khas oleh Panel Penilaian Prestasi Khas terhadap penjawat awam terbabit.

"Ini bukan melibatkan tatatertib seperti tidak datang kerja... umpamanya yang tidak datang kerja dalam tempoh seminggu, dua minggu dan tiga minggu kita boleh buang dia.

"Ini atas penilaian prestasi, bila kita sudah berpuas hati dan keputusan diambil secara adil, baru kita menamatkan perkhidmatan dia di bawah Peraturan 49 dan dibersarakan dia di bawah Akta Pencen, ini semua kita perhatikan," katanya.

Mohamad Zabidi berkata penjawat awam berkenaan akan mendapat wang pencen penuh iaitu berbeza dengan penjawat awam yang ditamatkan perkhidmatan kerana tindakan tatatertib.

Beliau berkata pada tahun lepas, seramai 2,943 penjawat awam berada dalam kategori prestasi kerja tahunan bawah 60 peratus.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua penjawat awam supaya menunjukkan prestasi kerja yang tinggi sekali gus membantu kerajaan mencapai negara berpendapatan tinggi pada 2020.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Zabidi berkata pada masa ini jumlah pesara penjawat awam adalah melebihi 739,000 orang termasuk 109,000 pesara tentera.

Beliau berkata hasil kajian awal daripada JPA mendapati pesara itu memilih empat perkara yang perlu diberi keutamaan iaitu bekerja semula, kesihatan, keusahawanan dan pengurusan kewangan.

-- BERNAMA

KERAJAAN CARI JALAN KURANG KOS TAMBAHAN PROJEK PEMBANGUNAN MULAI 2016 -KSN

Bernama
16/12/2015


PUTRAJAYA, 16 Dis (Bernama) -- Kerajaan akan mencari jalan untuk mengurangkan kos tambahan bagi projek pembangunan bermula tahun depan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Beliau berkata sesi percambahan minda dengan ketua setiausaha kementerian, ketua perkhidmatan dan ketua jabatan akan diadakan untuk mengoptimumkan perbelanjaan bagi tahun 2016 bagi setiap sektor kerajaan.

Mereka dikehendaki mengemukakan idea inovatif pada sesi berkenaan bagi mengatasi kelemahan dalam kebocoran perbelanjaan dalam sektor awam dan menjimatkan kira-kira 30 peratus kos perbelanjaan, katanya.

"Kalau ada projek lewat atau bertukar kontraktor, ia melibat kos yang tinggi," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam (AISA) 2015 di sini hari ini.

Ali berkata pembudayaan inovasi perlu sejajar dengan penerapan budaya 'cari dan bantu' dengan penjawat awam perlu lebih kerap turun padang dan menawarkan perkhidmatan kepada rakyat.

"Penawaran perkhidmatan ini perlu dilakukan agar kumpulan atau golongan sasar yang ingin didekati dapat dicapai dengan sebaiknya. Usaha sebegini dapat dijayakan sekiranya elemen dan budaya inovasi dapat dipraktikkan," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga telah mengenal pasti inovasi sebagai faktor penentu kejayaan dalam pengukuhan daya saing negara dalam mentransformasikan perkhidmatan awam melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Mengenai AISA, Ali berkata Anugerah Inovasi Pengurusan Sumber Manusia akan dilaksanakan mulai tahun hadapan sebagai satu daripada usaha untuk memantapkan struktur pengiktirafan inovasi dalam sektor awam.

AISA kini menghargai penghasilan inovasi dalam empat bidang pengurusan khusus iaitu Pengurusan Kewangan, Pengurusan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan dan Pengurusan Pentadbiran Daerah dan Tanah.

-- BERNAMA

CUEPACS MINTA 2 PERKARA TAMPUNG KOS HIDUP

Sinar Harian
16/12/2015



SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menuntut dua perkara daripada kerajaan dalam usaha menampung masalah kenaikan kos sara hidup di negara ini.
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, Cuepacs meminta agar kerajaan campur tangan dalam kawalan harga dan menambah rumah mampu milik di negara ini.“Kita minta supaya ada campur tangan kerajaan dalam kawalan harga. Kita tidak mahu kawalan bermusim supaya barang keperluan utama dapat dikawal.“Apa jua keadaan pun kerajaan perlu duduk kembali dan lihat dasar supaya harga barang tidak naik lagi. Dulu kerajaan kata apabila kenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST), harga barang akan turun. Tetapi hari ini tak semua turun. Rakyat terpaksa bayar harga yang sama dan ditambah lagi dengan GST,” katanya.
Beliau berkata, Cuepacs sudah berulang kali memberi gambaran jelas kepada kerajaan bahawa kos sara hidup yang terpaksa dihadapi sangat tinggi bukan hanya kepada penjawat awam tetapi juga kepada pekerja swas
ta.“Kos sara hidup ini bukan hanya sekadar makan minum, tetapi juga tanggungan yang tidak mahu tidak terpaksa juga kita bayar seperti utiliti, pengangkutan, pendidikan, makan minum, pembelian rumah, logistik dan sebagainya.


“Hari ini kalau kita lihat di bandar utama, rakyat tertumpu kepada pengangkutan awam untuk bergerak tetapi pengangkutan awam juga naik harga yang akan turut menyusahkan pengguna. Hari ini, RM50 seperti tiada nilai. Bila pergi pasar atau bawa keluarga untuk makan malam, RM50 tidak mencukupi,” katanya.
Menurutnya, peningkatan kos sara hidup juga menyebabkan rakyat tidak mampu membeli rumah walaupun rumah mampu milik.“Saya bimbang pada tahun mendatang, akan ada rakyat yang tidak mampu beli rumah walaupun rumah teres atau pangsapuri.“Jadi dalam hal perumahan, kerajaan perlu tambah sekali ganda lagi rumah yang dibiayai kerajaan. Seperti yang diumumkan Perdana Menteri, menjelang 2018, 100,000 rumah yang dibiayai kerajaan akan dibangunkan. Bagi Cuepacs jumlah itu tidak mencukupi. Sepatutnya ada sehingga 300,000 hingga 500,000 rumah yang dibiayai kerajaan,” katanya.

14 Disember 2015

PENJAWAT AWAM PERLU TERAP BUDAYA 'CARI DAN BANTU' - KSN


Tan Sri Dr Ali Hamsa (Gambar fail Bernama)

Bernama
13/12/2015



KUALA SELANGOR, 13 Dis (Bernama) -- Penjawat awam perlu menerapkan budaya 'Cari dan Bantu' dalam menjayakan konsep merakyatkan perkhidmatan awam, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata adalah tidak berguna sekiranya perkhidmatan yang ditawarkan kerajaan tidak dapat disampaikan sepenuhnya kepada golongan sasar dan pelanggan kerana kekangan tertentu.

Beliau mengambil contoh bantuan untuk golongan miskin dan orang kurang upaya (OKU) tidak sampai kerana mereka tidak mempunyai pengangkutan untuk ke pejabat kerajaan atau tidak tahu cara untuk memohon.

"Oleh itu saya minta penjawat awam dari semua jabatan dan agensi kerajaan untuk turun padang, mencari dan membantu (search and serve) mereka ini," kata Ali kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek Dewan Serba Guna Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Muda Musa di Bestari Jaya, di sini Ahad.

Beliau menegaskan: "Tiada guna ada perkhidmatan jika penggunanya (rakyat) tidak tahu atau tidak sampai kepada golongan yang disasarkan, dan saya mahu konsep ini diterapkan dan dipraktikkan mulai tahun depan.

Kos pembinaan dewan serba guna bernilai RM3 juta itu disumbangkan Yayasan Rafulin dan Alumni Kohort 82-86 Sekolah Menengah Batang Berjuntai. Ia dijangka siap awal 2017.

Turut hadir Pemegang Amanah Yayasan Rafulin dan Pengerusi Rafulin Holding Datuk Mohd Razali Othman dan Pengarah Pendidikan Selangor Zainuren Mohd Nor.

Ali berharap lebih banyak yayasan dan syarikat swasta tampil membantu kerajaan menaik taraf sekolah di seluruh negara.

Pada majlis sama, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) menyerahkan bantuan kewangan RM57,800 kepada lima pelajar OKU, 73 pelajar miskin dan empat rumah kebajikan di daerah berkenaan.



-- BERNAMA

10 Disember 2015

KSN UMUM PELANTIKAN EMPAT KETUA SETIAUSAHA BAHARU KEMENTERIAN

Bernama
9/12/2015


PUTRAJAYA, 9 Dis (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa hari ini mengumumkan pelantikan dan pertukaran empat pegawai perkhidmatan awam dari kalangan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) bagi menjawat jawatan kanan berkuatkuasa Rabu depan.

Dalam satu kenyataan di sini, beliau berkata Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Dr Ismail Bakar dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggantikan Datuk Mohd Arif Ab Rahman yang sebelum ini dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Dr Ismail, 55, yang menjawat jawatan sebagai Ketua Setiausaha Pengangkutan mulai 18 November 2014 merupakan lulusan Ijazah Kedoktoran dalam bidang Ekonomi dan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dari University of Hull, United Kingdom serta Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya.

Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang pengurusan kewangan, ekonomi serta perolehan menerusi peranannya sebagai Pengarah Belanjawan, Pejabat Belanjawan Negara Kementerian Kewangan dan Penasihat Kanan, Ibu Pejabat Bank Dunia, Washington mula memasuki perkhidmatan awam pada Januari 1986 sebagai PTD.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Seri Saripuddin Kassim, 56, dilantik Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan.

Pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Hartford, Amerika Syarikat yang memasuki perkhidmatan awam pada Januari 1984 itu juga berpengalaman sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Manakala, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Adenan Abdul Rahman, 57, dilantik Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia menggantikan Saripuddin.

Berpengalaman luas dalam bidang pengurusan keselamatan serta pengurusan pembangunan, Adenan, merupakan pemegang Ijazah Sarjana dalam bidang Kajian Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Asia Tenggara dari Universiti Malaya.

Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan Datuk Dr Sundaran Annamalai, 57, dilantik Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Pemegang Ijazah Kedoktoran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari International Christian University, Jepun dan Ijazah Sarjana dalam bidang Kewangan dari Michigan State University, Amerika Syarikat itu menggantikan Datuk Himmat Singh Ralla Singh yang bersara wajib.

Ali yakin pegawai berkenaan berupaya menjana perspektif, pendekatan dan inisiatif baharu dalam menjayakan wawasan, aspirasi dan agenda transformasi negara ke arah menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.



-- BERNAMA

04 Disember 2015

CUEPACS SOKONG PENJAWAT AWAM DINILAI PRESTASI KERJA

Urusan Malaysia
3/12/2015


KUALA LUMPUR 3 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyokong tindakan terhadap penjawat awam yang menunjukkan prestasi kerja tidak memuaskan termasuk dikenakan pemberhentian kerja. Menurut Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda, tindakan di bawah dasar pemisah itu boleh memberi peringatan terhadap golongan terbabit agar sentiasa mematuhi peraturan kerja dan disiplin bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan tersebut.

“CUEPACS menyokong langkah kerajaan itu dalam usaha mempertingkat mutu perkhidmatan awam. Pada masa sama, tindakan itu juga boleh memberi pengajaran kepada penjawat awam lain agar lebih bertanggungjawab dengan tugas mereka,” katanya. Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa semalam yang berkata penjawat awam yang dinilai dengan markah bawah 60 daripada markah penuh 100 dalam penilaian 2015 berisiko dikenakan tindakan itu.

Ali berkata, sebanyak 2,943 daripada 1.6 juta penjawat awam telah mencatat markah rendah dalam penilaian yang dijalankan untuk prestasi 2014 terdiri daripada golongan yang sering ponteng kerja atau melepak di kantin semasa waktu kerja.Sehubungan itu, Azih menasihati penjawat awam yang termasuk dalam kategori itu agar mengambil peluang tempoh setahun yang diberikan itu bagi meningkatkan semula prestasi kerja mereka sekali gus mengelakkan daripada dibuang kerja tanpa mendapat faedah.

“Bagi penjawat awam yang mendapat markah 60 ke bawah dan dibuang kerja, mereka masih mendapat faedah seperti pencen. Tetapi bagi yang mendapat markah 50 dan ke bawah saya difahamkan mereka tidak akan mendapat faedah itu,” katanya. - UTUSAN ONLINE

03 Disember 2015

ACTION TO BE TAKEN AGAINST 24 CIVIL SERVANTS

MALAYSIA DIGIEST
3/12/2015


PUTRAJAYA: Following revelations in the recent Auditor-General's Report (Series 3) 2014, the government will act against 24 civil servants whose conduct have caused the government to suffer losses of more than RM500,000.Chief Secretary to the Government Tan Sri Ali Hamsa said of the 24, two officers have since been referred to the Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC) for further action as there were elements of corruption involved.

He said the two were from the education and health ministries and were implicated in the construction of a religious secondary school and upgrading works for the Sultanah Nora Hospital in Batu Pahat.Speaking at a town hall meeting involving the media and senior civil servants, Ali said of the 24 civil servants, 22 were Grade 48 and above (deputy director and above) while two were Grade 44 and below.

"Eight government retirees will also face action based on what was revealed in the report," he said, adding that the government will not compromise in acting against these wrongdoers.
He said based on the first two series of the AG's report, action had been taken against 16 civil servants."Nine were demoted in rank, one sacked and six had other types of disciplinary action taken against them," he said.On action taken against civil servants based on the 2013 AG's report, Ali said 211 officers were identified for punishment.

Of that number, 132 were subjected to disciplinary action while seven cases are still ongoing. The rest faced various kinds of punishments including salary cuts and freezes. Meanwhile, Ali said the introduction of an exit policy for civil servants is not a means to cull the service."We will not simply get rid of a civil servant. Each person will undergo retraining, get counselling, and be reassessed by a new boss.

"The government wants to give them every chance possible but if they still fail to meet the threshold after one year, they will be asked to leave," said Ali, stressing that "hopeless" civil servants will not be allowed to remain in government service.He said action will only be taken against those who under-perform, adding that only those whose performance is rated below 60% will face such action.

He said civil servants are aware of the policy as they have been informed via a circular, and that Cuepacs (Congress of Unions of Employees in the Public and Civil Service) is supportive of the threshold that had been set, adding that action will only be taken after the 2015 grading report is completed.Ali pointed out that out of 1.61 million civil servants, only 2,943 had received such a grading in 2014. He admitted that of those performing below par, a large number were experienced officers.

"Some of them were known to often go missing during working hours," he said.

- TheSunDaily

02 Disember 2015

PENJAWAT AWAM DAPAT LNPT BAWAH 60 PERATUS TAHUN INI TERTAKLUK BAWAH DASAR PEMISAH - KSN


Bernama
2/12/2015



PUTRAJAYA, 2 Dis (Bernama) -- Penjawat awam berprestasi rendah dengan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) di bawah 60 peratus pada tahun ini akan tertakluk di bawah dasar pemisah, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Bagaimanapun, mereka akan diberi tempoh percubaan selama setahun bagi memperbaiki prestasi masing-masing serta melalui sesi latihan semula termasuk kaunseling dan motivasi, katanya.

Perkhidmatan mereka hanya akan ditamatkan jika tidak menunjukkan peningkatan prestasi dalam tempoh tersebut, katanya.

"Penilaian dibuat oleh ketua mereka, jadi pertamanya, kita akan letakkan mereka di bawah ketua yang lain dan lihat sama ada prestasi mereka masih rendah, kemudiannya kita akan melatih mereka semula sehingga tempoh setahun.

"Selepas itu, jika mereka masih tidak boleh diharap, barulah kita akan mengambil tindakan," katanya pada sesi bersama media berhubung tindakan susulan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 3.

Dasar pemisah adalah mekanisme baharu yang diumumkan dalam Rancangan Malaysia ke-11 yang membolehkan perkhidmatan pegawai kerajaan berprestasi rendah ditamatkan lebih awal.

Ali berkata pekeliling dasar itu telah dikeluarkan pada 19 Nov lepas bagi mewujudkan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi dan berintegriti dengan menamatkan perkhidmatan mereka yang tidak menepati standard, kurang pengetahuan dalam pekerjaan serta tahap kualiti peribadi dan disiplin yang tidak memuaskan.

Beliau turut menegaskan bahawa mekanisme itu bukan bertujuan untuk mengurangkan jumlah 1.6 juta penjawat awam di negara ini.

"Ini untuk memotivasikan penjawat awam supaya menjadi lebih produktif," katanya sambil menambah ia juga telah dipersetujui oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepas) bagi memastikan rakyat menerima perkhidmatan terbaik.

Pada tahun lepas, seramai 2,943 penjawat awam mendapat LNPT di bawah 60 peratus, katanya.

-- BERNAMA