Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pertemuan berkenaan sepatutnya diadakan lebih awal bagi mengelakkan penjawat awam terlibat tidak terasa beban terutama yang baru mendapat pekerjaan.“Potongan gaji mandatori atau maksimum tidak relevan dan memerlukan kajian lebih terperinci kerana tidak semua penjawat awam mampu untuk membuat bayaran balik dengan cepat.

“Kami (CUEPACS) faham hutang perlu dibayar tetapi PTPTN perlu mengambil kira banyak faktor sampingan sebelum mengenakan kaedah bayaran mandatori kepada mereka,” katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah yang bersedia mengadakan pertemuan dengan pihaknya bagi menyelesaikan isu pemotongan gaji maksimum kepada penjawat awam yang gagal membuat bayaran balik pinjaman.

Menurut Shamsul Anuar, pelaksanaan potongan gaji mandatori itu merupakan antara langkah terakhir dapat dilakukan berikutan beban kewangan PTPTN yang kini mencecah RM54.6 bilion kepada 2.5 juta pelajar.Terdahulu, CUEPACS bercadang menarik balik kebenaran PTPTN membuat potongan gaji ke atas penjawat awam sekiranya agensi itu masih melaksanakan pemotongan maksimum yang didapati membebankan kedudukan kewangan penjawat awam terlibat.

Tambah Aziz, pihaknya percaya masih ada cara lain yang boleh dilaksanakan bagi menyelesaikan isu tersebut dan terbuka untuk menerima kunjungan PTPTN bagi mencari jalan penyelesaian bersama.“CUEPACS sedia memberi kerjasama untuk memberi cadangan agar PTPTN dan juga penjawat awam saling mendapat manfaat dengan menggunakan kaedah yang relevan dan tidak memberikan kesan negatif,” katanya