SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA TONGGAK KEMAKMURAN NEGARA

02 Disember 2015

PENJAWAT AWAM DAPAT LNPT BAWAH 60 PERATUS TAHUN INI TERTAKLUK BAWAH DASAR PEMISAH - KSN


Bernama
2/12/2015



PUTRAJAYA, 2 Dis (Bernama) -- Penjawat awam berprestasi rendah dengan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) di bawah 60 peratus pada tahun ini akan tertakluk di bawah dasar pemisah, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Bagaimanapun, mereka akan diberi tempoh percubaan selama setahun bagi memperbaiki prestasi masing-masing serta melalui sesi latihan semula termasuk kaunseling dan motivasi, katanya.

Perkhidmatan mereka hanya akan ditamatkan jika tidak menunjukkan peningkatan prestasi dalam tempoh tersebut, katanya.

"Penilaian dibuat oleh ketua mereka, jadi pertamanya, kita akan letakkan mereka di bawah ketua yang lain dan lihat sama ada prestasi mereka masih rendah, kemudiannya kita akan melatih mereka semula sehingga tempoh setahun.

"Selepas itu, jika mereka masih tidak boleh diharap, barulah kita akan mengambil tindakan," katanya pada sesi bersama media berhubung tindakan susulan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 3.

Dasar pemisah adalah mekanisme baharu yang diumumkan dalam Rancangan Malaysia ke-11 yang membolehkan perkhidmatan pegawai kerajaan berprestasi rendah ditamatkan lebih awal.

Ali berkata pekeliling dasar itu telah dikeluarkan pada 19 Nov lepas bagi mewujudkan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi dan berintegriti dengan menamatkan perkhidmatan mereka yang tidak menepati standard, kurang pengetahuan dalam pekerjaan serta tahap kualiti peribadi dan disiplin yang tidak memuaskan.

Beliau turut menegaskan bahawa mekanisme itu bukan bertujuan untuk mengurangkan jumlah 1.6 juta penjawat awam di negara ini.

"Ini untuk memotivasikan penjawat awam supaya menjadi lebih produktif," katanya sambil menambah ia juga telah dipersetujui oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepas) bagi memastikan rakyat menerima perkhidmatan terbaik.

Pada tahun lepas, seramai 2,943 penjawat awam mendapat LNPT di bawah 60 peratus, katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: