SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

24 Mei 2018

CUEPACS rayu kerajaan laksanakan KGT

Berita Harian
23/5/2018
 
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merayu kerajaan melaksanakan pemberian Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) kepada seluruh 1.6 juta penjawat awam di negara ini.

Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata walaupun perkara itu dijanjikan kerajaan terdahulu, pelaksanaan KGT memiliki asas kukuh, iaitu gaji penjawat awam sedia ada tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup.

"CUEPACS berharap kenaikan ini dapat diteruskan kerajaan baharu kerana ia sangat ditunggu-tunggu penjawat awam yang rata-rata gaji mereka tidak mampu menanggung beban kenaikan kos sara hidup.
 

"Ini berikutan Sistem Saraan Malaysia (SSM) sudah begitu lama tidak disemak. Kali terakhir ia disemak ialah pada 2002, iaitu hampir 16 tahun lalu.

"SSM sepatut disemak setiap lima tahun. Namun apabila ia tidak berlaku, kenaikan kos sara hidup jauh meninggalkan gaji penjawat awam," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, hari ini, yang menjelaskan kerajaan tidak terikat dengan KGT dijanjikan pentadbiran terdahulu.

"Bagaimanapun, kami akan melihat perkara (KGT) itu secara positif sama ada mereka (penjawat awam) berhak diberi elaun tambahan atau bentuk bantuan lain," kata Perdana Menteri.

Pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-16 pada 4 April lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan pemberian kenaikan gaji bersamaan satu KGT kepada semua penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai depan, membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM1.46 bilion.

Azih berkata, CUEPACS yakin kerajaan baharu pimpinan Dr Mahathir akan menampilkan inisiatif lebih baik untuk kakitangan awam, namun KGT adalah sesuatu yang amat diharapkan.

"CUEPACS merayu kepada Perdana Menteri untuk melihat ke arah kebajikan penjawat awam yang menjadi tulang belakang kerajaan," katanya.

16 Mei 2018

Beri kepercayaan kepada Dr Mahathir - CUEPACS

Berita harian
Oleh Tasnim Lokman dan Ahmad Suhael Adnan
15/5/2018
 
 
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak menerima sebarang aduan berhubung dakwaan, penjawat awam berstatus kontrak ditamatkan perkhidmatan.
 
Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda, berkata setakat hari ini, pihaknya tidak menerima aduan sama ada secara lisan atau bertulis, sekali gus enggan membuat spekulasi sama ada dakwaan itu benar atau palsu
 
 Bagaimanapun, beliau tidak menafikan kemungkinan ada pekerja yang dilantik atas kapasiti politik, ditamatkan perkhidmatan susulan individu yang melantik mereka sudah tidak lagi berada dalam kerajaan baharu.
 
"Jika mereka ada kakitangan yang berstatus contract for service, maka mereka dianggap sudah selesai berkhidmat, bukan ditamatkan perkhidmatan. Ini berbeza dengan mereka yang berstatus contract of service 
 
"Kakitangan lantikan politik pula bukan bawah CUEPACS dan adalah perkara biasa jika ditamatkan tugasan kerana kerajaan baharu ini mesti nak penasihat dan petugas mereka sendiri, jadi tidak boleh dianggap dibuang kerja.

"Apa pun, saya yakin kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak akan mengkhianati penjawat awam. Jadi, beri kepercayaan, ruang dan masa untuk mereka menjalankan tugas," katanya pada sidang media di Wisma CUEPACS, di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan beberapa penjawat awam berstatus kontrak, diberhentikan serta-merta susulan peralihan kuasa daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) dalam membentuk kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Semalam, Dr Mahathir memberi jaminan, kerajaan tidak akan mengurangkan bilangan kakitangan awam walaupun bakal berlaku pengecilan saiz kementerian.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, penjawat awam yang bakal terbabit dengan pengecilan saiz kementerian akan dipindahkan mengikut kesesuaian agensi, termasuk ke sektor swasta.

Sementara itu, Azih menggesa semua penjawat awam untuk berdiri teguh bersama kerajaan baharu serta mengetepikan semua sentimen politik, sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas hakiki serta perkhidmatan kepada rakyat.

"Pilihan raya umum sudah berlalu dan ini masa untuk kita kembali bekerja. Seluruh penjawat awam perlu kembali memberi tumpuan pada tanggungjawab, hentikan perkara membabitkan politik dan fokus pada tugas hakiki.

"Kami harap semua pihak akan memberi kepercayaan kepada Dr Mahathir dan ketua kerajaan lain untuk mentadbir negara," katanya.