SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

28 Jun 2013

45 PERATUS PENJAWAT AWAM MASIH TIDAK MAMPU BELI RUMAH - CUEPACS

Bernama
28/6/2013



KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Kira-kira 45 peratus atau 650,000 daripada 1.5 juta penjawat awam masih tidak mampu memiliki rumah kerana faktor harga, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Omar Osman.

Katanya kajian yang dijalankan kesatuan itu baru-baru ini menunjukkan harga rumah yang semakin meningkat menjadi kekangan utama kepada impian tersebut.

Menurutnya rata-rata penjawat awam terbabit adalah daripada kumpulan sokongan dan bergaji rendah, manakala bagi golongan berusia 40 tahun ke atas, bergred tinggi selain telah berkhidmat lebih 20 tahun telah memiliki rumah.

"Golongan 45 peratus ini terpaksa terus menyewa atau tinggal di kuarters dan terpaksa mengutamakan kos sara hidup," katanya kepada Bernama.

Beliau turut meluahkan kebimbangan akan implikasi masalah itu jika ditangani segera.

"Antaranya ialah jika mereka membeli rumah pada usia lanjut, ini bermakna mereka akan mengambil masa lebih panjang untuk membayar balik pinjaman.

"Kesannya mereka akan menggunakan semua simpanan dan duit pencen yang sepatutnya digunakan untuk hari tua untuk membayar balik pinjaman itu. Kehidupan mereka selepas bersara akan terus dibelenggu hutang," katanya.

Malah katanya, mereka juga tidak mampu memohon skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) kerana harga rumah PR1MA yang mencecah RM250,000 adalah di luar kemampuan penjawat awam.

Justeru katanya, CUEPACS menggesa kerajaan mengkaji isu itu dan mencadangkan supaya Jabatan Perumahan Negara menyediakan rumah kos sederhana untuk penjawat awam.

"Seboleh-bolehnya biarlah ia berharga RM250,000 ke bawah. Saya harap kerajaan dapat kaji isu ini secara serius," katanya.

25 Jun 2013

CUEPACS MINTA BPP URUS SEMULA PINJAMAN PERUMAHAN PENJAWAT AWAM

Bernama
25/6/2013


KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan mengambil alih kemudahan pinjaman perumahan untuk penjawat awam daripada bank komersil.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata ini berikutan kebimbangan anggota CUEPACS bahawa polisi baharu itu akan membebankan kedudukan kewangan peminjam.

"Kami memutuskan ia mesti diurus oleh Bahagian Pinjaman Perumahan. Kita tidak mahu ia diagih kepada bank komersil kerana ramai bimbang akan terdapat bermacam-macam caj yang mungkin dikenakan oleh bank komersil nanti," katanya kepada Bernama selepas Mesyuarat Agung Perwakilan Pertama Koperasi Penjawat Awam 1Malaysia Berhad di sini Isnin.

Perkara itu antara usul yang diputuskan pada mesyuarat berkenaan.

Kerajaan dalam Belanjawan 2013 memutuskan untuk memindah kemudahan pinjaman perumahan kerajaan untuk diurus oleh bank komersil mulai Januari tahun ini.

Omar berkata CUEPACS juga akan terus mengesa agar faedah pinjaman perumahan empat peratus yang dikenakan oleh kerajaan diturun kepada satu peratus.

"Selain itu, kami juga mahu kerajaan menyemak semula untuk menaikkan elaun perumahan bulanan dari RM180 sekarang kepada RM450, manakala bantuan sara hidup (Cola) diseratakan di seluruh negara pada kadar RM300 sebulan," katanya.

CUEPACS juga mencadangkan agar kerajaan membenarkan pengeluaran bayaran gratuiti bagi penjawat awam sebanyak 20 peratus pada usia 50 tahun.

"Kami mencadangkan supaya pengeluaran dibenarkan untuk membantu pembiayaan yuran anak-anak di peringkat pengajian tinggi, membaiki atau membayar hutang rumah dan membuat umrah," katanya.

Beliau berkata CCUEPACS juga akan mendesak Jabatan Perkhidmatan Awam supaya menyelesaikan semakan gred dan tangga gaji bagi hampir 200 kategori pekerjaan dalam perkhidmatan awam yang kebanyakannya melibatkan kumpulan sokongan, selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Keputusan mesyuarat itu akan dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Setiausaha Negara Tan Seri Dr Ali Hamsa minggu ini.

-- BERNAMA

PERDANA MENTERI AKAN TENTUKAN BONUS PENJAWAT AWAM - KSN

Bernama
25/6/2013




 PUTRAJAYA, 24 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan membuat keputusan berhubung pemberian bonus untuk penjawat awam tahun ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Beliau berkata keputusan itu akan dibuat Najib selaku Menteri Kewangan sempena pembentangan Belanjawan 2014 yang dijadual 25 Okt ini.

"Saya rasa kerajaan akan membuat keputusan bila kerajaan buat bajet(pembentangan Belanjawan 2014), PM sendiri akan buat keputusan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Isnin.

Seramai 1,374 petugas dari 42 Jabatan/Agensi/Bahagian Jabatan Perdana Menteri menerima anugerah itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kepada kerajaan supaya bonus melebihi sebulan setengah gaji diberikan kepada kira-kira 1.4 juta penjawat awam.

Semalam, Presiden Cuepacs

Datuk Omar Osman menyarankan kerajaan agar bonus melebihi sebulan setengah gaji atau sekurang-kurangnya sebulan setengah gaji diberikan kepada kakitangan awam dengan pembayaran setengah bulan gaji dibuat sebelum perayaan Aidilfitri nanti.

Tahun lalu, penjawat awam menerima bonus sebulan setengah gaji dengan pembayaran dibuat sebanyak tiga kali; sebelum perayaan Aidilfitri, bulan Disember dan pada Januari tahun ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Ali yang genap setahun menjalankan tugas sebagai KSN, meminta penjawat awam supaya lebih peka dan mendekati nadi rakyat dengan mengambil langkah proaktif melalui Program Jejak Mesra Perkhidmatan Awam.

"Penjawat awam (menerusi program itu) akan turun untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat dan membawa perkhidmatan kepada mereka.

"Ini adalah satu pendekatan baharu di mana kita tidak boleh menunggu untuk rakyat datang kepada kita dengan masalah mereka tetapi sebaliknya kita mendekati mereka," katanya.

Beliau juga mengalu-alukan maklum balas, pandangan dan cadangan membina daripada seluruh penjawat awam demi mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan awam.

"Kita semua (penjawat awam) perlu senang dihubungi dan didekati. Saya berharap agar sebarang maklum balas yang ingin disampaikan dapat disalurkan melalui saluran yang bersesuaian," katanya.

-- BERNAMA

24 Jun 2013

PENJAWAT AWAM PATUT BERSYUKUR DENGAN PERGERAKAN GAJI JULAI INI - CUEPACS

Bernama
24/6/2013


 MUAR, 23 Jun (Bernama) -- Penjawat awam patut bersyukur dengan pemberian faedah pemindahan gaji bersamaan kadar satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) berkuat kuasa 1 Julai ini, menurut Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
Timbalan Presidennya Azih Muda berkata walaupun kenaikan itu dilihat kecil oleh sesetengah pihak, ia memberi faedah besar kepada penjawat awam dalam jangka masa panjang.

"Walaupun kenaikan ini tidak besar, tetapi ia jelas menunjukkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) amat prihatin terhadap kebajikan penjawat awam," katanya pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-30 Koperasi KOSPETA Malaysia Berhad di sini Ahad.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan pelaksanaan eksesais itu susulan keputusan kerajaan berkaitan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan awam, landasan kerjaya dan pembetulan kepada masalah struktur gaji.

Menurut JPA masalah struktur gaji akan diselesaikan sebelum 31 Dis ini.

Mengenai bonus tahun ini, beliau berkata Cuepacs yakin kerajaan akan memberikan habuan lebih baik daripada satu setengah bulan gaji tahun lalu.

Azih berkata Cuepacs juga berharap kerajaan memperuntukkan 30 peratus daripada sejuta buah rumah mampu milik yang akan dibina dalam tempoh lima tahun akan datang kepada penjawat awam.

-- BERNAMA

MESYUARAT MAJLIS KONGRES BIL.4 (SESI 2012-2013) DI DEWAN KONGRES

Media CUEPACS
24/6/2014



SEKITAR MAJLIS MESYUARAT KONGRES CUEPACS BIL. 4




CUEPACS SYOR BONUS LEBIH SEBULAN SETENGAH

Berita Harian
24//6/2013
 
 
Melaka Tengah: Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan mencadangkan kepada kerajaan supaya bonus melebihi sebulan setengah gaji diberikan kepada lebih 1.4 juta kakitangan awam sempena pembentangan Bajet 2014 tahun ini.
Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata daripada jumlah itu, pembayaran setengah bulan gaji kepada kakitangan awam terbabit dibuat sebelum menjelangnya perayaan Aidilfitri nanti.
“Bagaimanapun, jumlah sebenar pemberian bonus yang akan dicadangkan itu akan diputuskan dalam mesyuarat Kongres CUEPACS esok (hari ini) yang dianggotai 135 ahli di Wisma CUEPACS sebelum di bawa kepada kerajaan.


“Saya berharap kerajaan akan membayar (bonus) lebih sebulan setengah atau setidak-tidaknya kekal seperti 2012 iaitu sebanyak sebulan setengah gaji," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan CUEPACS Bahagian Melaka di sini, semalam.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung CUEPACS, Lok Yim Pheng serta Pengerusi CUEPACS Bahagian Melaka, Md Salleh Majid.

Omar berkata, permohonan CUEPACS itu wajar dipertimbangkan kerana memikirkan keperluan kewangan tinggi kakitangan awam setiap kali menyambut musim perayaan.

GAJI MINIMUM: MAJIKAN JANGAN AMBIL KESEMPATAN

Utusan Malaysia
24/6/2013




KUALA LUMPUR 23 Jun - Majikan dinasihatkan supaya tidak mengambil kesempatan terhadap kelonggaran yang diberi oleh Kementerian Sumber Manusia dalam pelaksanaan dasar gaji minimum.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, kelonggaran tersebut perlu bertempoh supaya nasib pekerja tidak terabai.
"Kebajikan pekerja mesti diberi keutamaan jika majikan mahu memastikan syarikat atau perniagaan mereka lebih maju dan berdaya saing.
"Pihak kerajaan perlu meneliti beberapa aspek seperti kos operasi yang ditanggung oleh majikan dalam menilai pihak yang layak diberi kelonggaran," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Akhbar melaporkan majikan yang mempunyai masalah dalam melaksana dasar gaji minimum akan diberi kelonggaran sekiranya dapat memberikan alasan munasabah kepada Kementerian Sumber Manusia.
Menterinya, Datuk Richard Riot berkata, input daripada majikan itu akan dibincangkan wakil kementerian, kesatuan sekerja serta majikan dan hasilnya akan menentukan sama ada majikan berkenaan boleh melanjutkan tempoh permulaan pelaksanaan gaji minimum atau sebaliknya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor pula berpendapat kelonggaran tersebut adalah tidak wajar berikutan dasar gaji minimum memainkan peranan penting meningkatkan kebajikan pekerja berpendapatan rendah.
"Selaras dengan matlamat utama kerajaan dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara, pihak kami percaya dasar gaji minimum boleh memberikan manfaat kepada negara dalam jangka panjang," katanya.

PENJAWAT AWAM PATUT BERSYUKUR DENGAN PERGERAKAN GAJI JULAI INI - CUEPACS

Bernama
23/6/2013


MUAR, 23 Jun (Bernama) -- Penjawat awam patut bersyukur dengan pemberian faedah pemindahan gaji bersamaan kadar satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) berkuat kuasa 1 Julai ini, menurut Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Timbalan Presidennya Azih Muda berkata walaupun kenaikan itu dilihat kecil oleh sesetengah pihak, ia memberi faedah besar kepada penjawat awam dalam jangka masa panjang.

"Walaupun kenaikan ini tidak besar, tetapi ia jelas menunjukkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) amat prihatin terhadap kebajikan penjawat awam," katanya pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-30 Koperasi KOSPETA Malaysia Berhad di sini Ahad.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan pelaksanaan eksesais itu susulan keputusan kerajaan berkaitan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan awam, landasan kerjaya dan pembetulan kepada masalah struktur gaji.

Menurut JPA masalah struktur gaji akan diselesaikan sebelum 31 Dis ini.

Mengenai bonus tahun ini, beliau berkata Cuepacs yakin kerajaan akan memberikan habuan lebih baik daripada satu setengah bulan gaji tahun lalu.

Azih berkata Cuepacs juga berharap kerajaan memperuntukkan 30 peratus daripada sejuta buah rumah mampu milik yang akan dibina dalam tempoh lima tahun akan datang kepada penjawat awam.

-- BERNAMA

21 Jun 2013

CUEPACS GESA KRERAJAAN NAIKKAN GRED PEMBANTU MAKMAL C17

Bernama
21/6/2013

MELAKA, 20 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan menaikkan gred kira-kira 20,000 pembantu makmal C17 selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata langkah itu wajar berikutan beberapa jawatan yang sama gred dengan pembantu makmal, termasuk juruteknik dan pembantu pertanian, telah dinaikkan.

Beliau berkata pembantu makmal di peringkat sekolah dan universiti memainkan peranan penting, terutama melibatkan perkembangan sains dan teknologi di negara ini.

"Kita telah perjuangkan untuk gred pembantu makmal ini dinaikkan ke tahap yang lebih baik sejak lima tahun lepas, dan sudah sampai masanya kerajaan mempercepatkannya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri ceramah Transformasi Kakitangan Awam Ke arah Budaya Kerja Cemerlang yang dihadiri 270 pembantu makmal Negeri Melaka di Melaka, Khamisi

Omar berkata pembantu makmal perlu diberi kursus dan latihan dalam dan luar negara bagi mempertingkat kemahiran serta ilmu mereka.

Beliau berkata langkah ini bertujuan mempersiap golongan penjawat awam itu dalam berhadapan pelajar sekolah dan universiti yang celik pelbagai penggunaan teknologi semasa.

Dalam perkembangan lain, Omar berkata CUEPACS dijangka bermesyuarat pada 24 Jun ini bagi membincangkan isu tuntutan bonus penjawat awam pada tahun ini.

"Tahun lepas, kita berjaya dapat satu setengah bulan bonus untuk penjawat awam dan kita harap kalau tidak dapat lebihpun kali ini, sekurang-kurangnya ia kekal," katanya.

--BERNAMA

20 Jun 2013

KR1M PERKUKUH DANA KPA1M, MANFAAT KEPADA AHLI

  Utusan Malaysia
 20/6/2013

 
Hasan Malik menyerahkan replika kunci sebagai simbolik penyerahan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) Presint 16 kepada Omar Osman (depan, tiga dari kiri) sambil disaksikan oleh Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings, Datuk Ameer Ali Mydin (tiga dari kanan) di Putrajaya, semalam. - BERNAMA

PUTRAJAYA 19 Jun - Penyerahan dua buah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) untuk diuruskan sepenuhnya oleh Koperasi Penjawat Awam 1Malaysia (KPA1M) dilihat mampu memberi manfaat besar kepada ahli koperasi tersebut.Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malik berkata, kedai itu bukan sahaja dapat mengukuhkan lagi dana koperasi itu tetapi juga memberi peluang kepada penjawat awam dan orang ramai membeli barangan keperluan pada harga murah.

"Penyerahan KR1M di Presint 16 merupakan yang kedua selepas KR1M Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur kepada KPA1M yang ditubuhkan oleh Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS)."Saya difahamkan kedua-dua kedai terbabit telah menjana pendapatan antara RM10,000 hingga RM12,000 sehari sejak ia diserahkan kepada KPA1M awal bulan lalu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan KR1M kepada KPA1M di sini hari ini yang turut dihadiri Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman.Sehubungan itu, Hasan berkata, sokongan penjawat awam amat penting agar usaha murni CUEPACS itu dapat diteruskan dengan pembukaan tiga lagi outlet KR1M."Pada sambutan Hari Pekerja 2012, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan lima buah KR1M akan diserahkan kepada koperasi.

"Tiga lagi lokasi KR1M itu akan ditentukan berdasarkan permintaan ahli koperasi dan penjawat awam," katanya.

Berita Harian
20/6/2013
CUEPACS gerak ahli pantau kenaikan harga
Georgetown: CUEPACS akan menggerakkan 40,000 ahli skuad penggunanya untuk memantau kenaikan harga barang keperluan berikutan kenaikan satu tangga gaji penjawat awam pada 1 Julai depan.

Presidennya, Datuk Omar Osman memberi amaran kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan dengan kenaikan satu tangga gaji yang bakal dinikmati 1.3 juta penjawat dengan menaikkan harga barang.
Beliau tidak menolak kemungkinan ada segelintir peniaga tidak bertanggungjawab menaikkan harga barangan memandangkan penyelarasan gaji baru itu berlaku menjelang sambutan Ramadan dan Aidilfitri.


Bantu salur maklumat

“Justeru, untuk menyekat perkara ini berlaku kita akan menggerakkan 40,000 ahli skuad pengguna kita sebagai mata dan telinga kerajaan yang membantu menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti perniagaan tidak beretika.

“Skuad yang mempunyai kad khas boleh membuat laporan terus kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk mengambil tindakan terhadap peniaga tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan CUEPACS Pulau Pinang di sini, semalam.
Omar berkata, peniaga tidak sepatutnya mengambil kesempatan dengan kenaikan gaji penjawat awam kerana ia secara tidak langsung mengurangkan kuasa beli rakyat.

“Kenaikan gaji yang dinikmati 1 Julai ini sepatutnya digunakan penjawat awam untuk membuat persiapan sambutan Ramadan dan Aidilfitri dan bukannya menanggung kos kenaikan barang yang membebankan mereka,” katanya.

Mac lalu, kerajaan bersetuju untuk memberi semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak satu kenaikan gaji tahunan (KGT) yang diawalkan pada 1 Julai 2013.

Keluar 20 peratus gratuiti

Dalam perkembangan lain, Omar berkata, CUEPACS mahu kerajaan menimbang membenarkan penjawat awam mengeluarkan 20 peratus gratuiti perkhidmatan pada usia 50 tahun untuk tujuan melunaskan pinjaman selain mengelak berhutang dengan bank dan along.

“Kita cadang ia dibenarkan untuk membaiki rumah, menunaikan umrah dan membiayai pengajian anak,” katanya.

Menyentuh isu lain, Omar berharap kerajaan menimbang cadangannya supaya penjawat awam bertaraf tetap dengan gaji di bawah RM7,000 dibenarkan mencarum dalam skim Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO).

Pada 1 Jun lalu, kerajaan memutuskan penjawat awam bertaraf sementara dan kontrak yang bergaji RM3,000 sebulan atau kurang, dibenarkan mencarum dalam PERKESO.

19 Jun 2013

KAKITANGAN AWAM PANTAU HARGA BARANG

 Utusan Malaysia
 19/6/2013

PULAU PINANG 19 Jun - Kira-kira 35,000 ahli Skuad Pengguna yang terdiri daripada penjawat awam di seluruh negara akan memantau harga barangan dan perkhidmatan bagi memastikannya tidak naik berikutan kenaikan gred gaji mereka mulai 1 Julai ini.Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, tiada sebab dan adalah tidak adil untuk peniaga atau pengusaha perkhidmatan menaikkan harga produk masing-masing disebabkan kenaikan gaji kakitangan awam.

Menurutnya, golongan itu seharusnya bersyukur kerana kenaikan gaji kakitangan awam akan meningkatkan kuasa beli seterusnya menambah keuntungan mereka."Mulai hari ini, Skuad Pengguna yang ada kad keahlian boleh melapor terus kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) atau CUEPACS mengenai nama syarikat yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga barang terutama barangan terkawal," katanya di sini hari ini.

Mengenai Bajet 2014 yang akan dibentangkan pada 25 Oktober ini, Omar berharap kerajaan dapat memberi tumpuan kepada tiga perkara membabitkan kebajikan kakitangan awam untuk diberi penambahbaikan. Tiga perkara tersebut adalah elaun tetap perumahan, elaun bantuan sara hidup (COLA) dan kebenaran mengeluarkan gratuiti apabila mencecah umur 50 tahun.

17 Jun 2013

MTUC, CUEPACS GESAPELBAGAI PIHAK BANTU CAPAI SASARAN 50 PERATUS TENAGA KERJA BERKEMAHIRAN TINGGI


Bernama
17/6/2013



KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Usaha untuk memastikan negara memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi sebanyak 50 peratus menjelang tahun 2020 bukan hanya terletak di bahu Kementerian Sumber Manusia semata-mata, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Presidennya Mohd Khalid Atan berkata tanggungjawab tersebut sebaliknya perlu ditangani dengan usaha semua pihak termasuk pihak swasta.

"Dengan berbaki hanya tujuh tahun untuk menjadi negara maju, dengan statistik 28 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi, kita nyata masih jauh ketinggalan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Isnin.

Sambil menyokong langkah Kementerian Pendidikan yang berusaha menyediakan lebih banyak peluang kemahiran, Mohd Khalid berpandangan saluran tersebut dilihat tidak memadai.

"Pelbagai usaha dilakukan dua kementerian ini untuk meningkatkan bilangan graduan yang mempunyai kemahiran bagi memenuhi pasaran industri negara, namun pihak-pihak lain terutama institusi swasta tidak boleh berpeluk tubuh dengan hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

"Sebaliknya mereka perlu berganding bahu, bekerja secara 'full force' dengan kerajaan bagi bersama-sama mencapai sasaran tersebut," katanya.

Katanya, walaupun institusi pendidikan swasta bertambah bilangannya, namun ada antaranya yang lebih cenderung menyediakan kursus bersifat komersil.

Pendapat beliau disokong Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman yang berpendapat telah tiba masanya institusi pendidikan semua peringkat termasuk milik kerajaan mengkaji semula sukatan pelajaran kemahiran mereka.

Mohd Khalid dan Omar juga mencadangkan agar pihak kerajaan menstruktur semula gaji tenaga kerja berkemahiran agar bidang ini dilihat sama taraf dengan bidang kerjaya profesionalisme yang lain.

Menurut mereka, masalah tenaga kerja berkemahiran tinggi tidak mahu pulang ke tanah air masih menjadi masalah dan menimbulkan persepsi bahawa kerjaya kemahiran sesetengah bidang tidak gah dan berpendapatan tidak sepadan di negara ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abdul Mutalib dilaporkan berkata hanya 28 peratus daripada sejumlah 12 juta tenaga kerja di Malaysia setakat ini merupakan golongan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

-- BERNAMA

15 Jun 2013

CUEPACS HARAP ELAUN PERUMAHAN, SARA HIDUP DISELARAS TAHUN INI

Bernama15/6/2013



 BUKIT KAYU HITAM, 15 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan dapat melaksanakan penyelarasan elaun tetap perumahan dan sara hidup (Cola) penjawat awam pada tahun ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata dua perkara itu merupakan isu tertunggak dan berharap pelarasan dibuat dengan kadar segera kerana kos sara hidup semakin meningkat.

"Kita perlu selaraskan semua elaun, termasuk elaun Cola, bagi mereka yang tinggal di kuarters," katanya kepada pemberita pada persidangan perwakilan Cuepacs Kedah Sesi 2013-2016 di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini Sabtu.

Sementara itu, Omar berkata prestasi tiga kumpulan penjawat awam yang dinaikkan gred daripada 17 kepada 27 melibatkan juruteknik, pelukis pelan dan renjer hutan bermula 1 Julai depan dipantau agensi terbabit bagi memastikan produktiviti mereka meningkat.

Beliau berkata petugas terbabit juga perlu dihantar mengikuti pelbagai latihan kemahiran sesuai dengan gred demi memastikan produktiviti mereka meningkat dari semasa ke semasa.

"Kita tidak mahu mereka naik gred tetapi hasil kerja atau produktiviti mereka tidak meningkat, sama seperti sebelumnya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Omar berkata Cuepacs juga menggalakkan penjawat awam membuat pinjaman dengan Koperasi Sektor Awam 1Malaysia (KSA1M) bagi mengelak mereka meminjam daripada 'Ah long'.

Katanya, beliau akan membawa usul itu dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Cuepacs hujung tahun ini bagi membolehkan KSA1M menyediakan peraturan atau syarat kepada peminjam.

"Kita bagi mereka (penjawat awam) pinjam (sehingga) RM3,000 dan perlu membayar pinjaman itu dalam tempoh setahun tanpa penjamin," katanya.

-- BERNAMA

11 Jun 2013

KSN TERIMA ANUGERAH SERI PANGLIMA DARJAH KINABALU

Bernama
11/6/2013


Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menyampaikan anugerah Darjah Kebesaran Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa di Istana Negeri di sini hari ini.
KOTA KINABALU, 11 Jun (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa hari ini menerima anugerah Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK), darjah kebesaran tertinggi Sabah, di Istana Negeri di sini.

Beliau menerima anugerah yang membawa gelaran 'Datuk Seri Panglima' itu daripada Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin, sempena Hari Jadi Rasmi Yang Dipertua Negeri tahun lepas.

Selain itu penerima anugerah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran 'Datuk' ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Kamarlin Ombi, Datuk Mohamad Farid Linggi, Datuk Shah Headan Ayoob Hussin Shah, Datuk Glens Reynolds, Datuk John Lo Thau Fah dan Datuk Sim Men Kin @ Andrew Sim.

Seramai 23 individu lain dikurniakan Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) antaranya Ketua Biro Bernama Sabah Newmond Tibin, anggota majlis tertinggi Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Tailin Mainan dan dua bekas pemain bola sepak kebangsaan James Wong serta Hassan Sani.

Wong merupakan bekas penyerang kebangsaan yang menjaringkan gol kemenangan Malaysia (hantaran Hassan), sekali gus mengatasi Korea Selatan untuk layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow.

Antara penerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK) pula ialah jaguh angkat berat negara Aricco Jumith dan bekas juara bina badan Sabah Justine Sompong.

Hadir sama di majlis itu ialah Menteri Belia dan Sukan Negeri Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Johnny Mositun, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman dan Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Abu Bakar Hassan. -- BERNAMA

04 Jun 2013

PENJAWAT AWAM TERUS BERPOLITIK DIKENAKAN TINDAKAN - KSN

Bernama
4/6/2013




KUALA LUMPUR 4 Jun - Para penjawat awam yang masih berpolitik akan dikenakan tindakan berdasarkan peraturan, pekeliling dan undang-undang yang termaktub di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, pihaknya telah meminta ketua-ketua jabatan untuk memantau sekiranya terdapat penjawat awam yang masih berpolitik di laman sosial. - UTUSAN ONLINE