SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

31 Disember 2015

CUEPACS HARGAI JAWATANKUASA NILAI HARGA BARANG

Sinar Harian
31/12/2015



KUALA TERENGGANU - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menghargai usaha kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa bagi menangani isu kos sara hidup. Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata jawatankuasa itu diharap mampu memainkan peranan menangani pelbagai perkara yang membebankan rakyat. "Dalam situasi sekarang kita mahu kerajaan campur tangan dalam banyak hal tentang harga barang yang kian melambung. Kita sudah ada akta pencatutan untuk pastikan peniaga tidak boleh sewenang-wenang mengambil untung yang berlebihan.
"Tetapi sekarang kita lihat saban hari, setiap kali penggal baharu persekolahan dibuka, harga pakaian sekolah naik, barang dapur naik, barang keperluan basah dan kering naik, harga rumah naik, hartanah naik malah harga pengangkutan awam pun turut dinaikkan," katanya. Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung dwitahunan Kesatuan Pekerja-pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu di sini hari ini.
Isnin lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebuah jawatankuasa peringkat tertinggi yang dipengerusi beliau sendiri akan ditubuhkan bagi membincangkan pandangan badan bukan kerajaan (NGO) tentang isu kos sara hidup. Jawatankuasa turut dianggotai enam menteri dan ketua setiausaha kementerian berkenaan iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.Azih berkata selain mengkaji rungutan NGO dan rakyat berkaitan kenaikan kos, jawatankuasa itu juga harus mengkaji kandungan perjanjian yang dahulunya dibuat seperti pembinaan lebuh raya, pembinaan LRT dan sebagainya yang memberi kesan kepada pengguna. - Bernama
 

Tiada ulasan: