KOSMO
22 Disember 2018 9:37 AM
KOTA BHARU - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bercadang mengemukakan sistem saraan baharu yang lebih bersifat komprehensif dan memberi lebih banyak faedah kepada penjawat awam bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya ketika ini sedang mengumpul segala input berkaitan untuk dikemukakan kepada kerajaan bagi membantu proses merangka draf cadangan itu.
"Sejak SSM dilaksanakan pada 2002, sehingga kini sistem saraan yang sedia ada belum diubah. Oleh itu, kami berharap dengan adanya sistem baharu ini ia dapat mengambil kira cabaran 2020 pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan Majlis Makan Malam Cuepacs Peringkat Negeri Kelantan yang turut dihadiri Pengerusi Cuepacs Kelantan Aminuddin Awang di sini, malam tadi.
Azih berkata sistem saraan baharu itu dijangka dapat membantu penjawat awam menangani kos sara hidup berikutan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan berbayar seperti elektrik dan kemudahan jalur lebar yang tidak terkawal. - Bernama