Sinar
23/10/2015
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Berikut adalah teks ucapan penuh
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, yang juga Menteri
Kewangan, ketika membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat pada Jumaat:
"MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT"
Tuan Yang Dipertua,
Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk "Suatu
Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan
untuk perkhidmatan bagi tahun 2016 dan bagi memperuntukkan wang itu
untuk perkhidmatan bagi tahun itu" dibaca bagi kali kedua.
MUKADIMAH
Tuan Yang Dipertua,
1. Saya mulai, dengan menyebut BismillahirRahmanirRahim, Alhamdulillahi Rabbil A'iamin, Wa bihi Nastai'n.
2. Segala puji-puji bagi Allah Hu Ta'ala, yang telah menjadikan
Tujuh Petala Langit dan Tujuh Petala Bumi, ... juga,... yang telah
mewujudkan keadaan gelap-gulita, ke alam terang benderang.
3. Demikian juga, limpahan salawat, ke atas Nabi Muhammad, Rasul
Pilihan,...Pembuka bagi sesuatu yang terkunci, Penutup bagi yang
terdahulu, penolak yang batil, pembela hak dan kebenaran.
Tuan Yang Dipertua,
4. Sejak Mac tahun 2009, saya telah membentangkan lebih 11 dokumen besar berkait ekonomi negara.
5. Termasuklah, Pakej Rangsangan Pertama, Pakej Rangsangan Kedua,
Rancangan Malaysia Ke-lO dan Rancangan Malaysia Ke-ll, seterusnya Bajet
2010, hinggalah pada hari ini, akan dipersembahkan pula Bajet 2016.
6. InsyaAllah, jika diberi izin oleh Tuhan yang Maha Menyimpan
segala Tahu dan rahsia setiap sesuatu, kita berdoa serta berharap agar
terus berpeluang lagi, dapat membentangkan Bajet-Bajet pada tahun-tahun
selanjutnya, ... Amin.
7. Sesungguhnya, Bajet yang diangkat kali ini,... merupakan bagian
daripada terjemahan Rancangan Malaysia Ke-ll. Bajet ini adalah yang
pertama, dalam rantaian 5 Bajet, sampailah terjulangnya negara tercinta
ini kelak, menjadi sebuah watan, High Income Advanced Economy.
InsyaAllah.
8. Sebelum itu, sebagai hamba-hambaNya yang beringat lagi bersyukur,
marilah bersama, dengan rasa kerendahan hati, mengambil sempena dan
iktibar daripada sejarah dan sirah, berasaskan Al-Quran, melalui mafhum
pengertian surah An- Nisa' ayat 58, seperti yang ditafsir oleh antaranya
Imam Qurtubi, pabila menjadi pemimpin dan pemerintah, maka terserulah
kepada kita, bagi menjaga hak-hak dan menghukum dengan saksama terhadap
keperluan rakyat.
Tuan Yang Dipertua,
9. Lantaran itu, sebelum diteruskan penyampaian ini, walau apa
sekalipun diwajahkan di mana-mana, meski apa yang dilaparkan dalam
media, berkait letak duduk dan keadaan Malaysia, kanannya, negara ini
diambang mullis, berada dalam krisis ekonomi, nilal ringgit terjejas
teruk, ekoran persepsi ketidakcekapan tadbir urus kewangan negara, serta
pula dipertikai tentang tatacara perbelanjaan Kerajaan yang katanya
tidak berhemah. Makanya, berdasarkan ehwal yang dihebah-hebahkan itu,
moleklah kiranya saya mengambil kesempatan dalam Dewan yang mulia ini,
untuk memperjelaskan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat khususnya, serta
rakyat Malaysia, yang sedang menonton dan mendengar di luar sana supaya
mendapat gambaran yang benar serta tepat.
Tuan Yang Dipertua,
10. Semenjak tabun 2009, janganlah sesekali kita lupa, satu persatu
datangnya dugaan terhadap ekonomi negara. Kita telah berdepan dengan
pelbagai ketidakkeruan ekonomi global dan pastinya kemelut iktisad
domestik.
11. Alhamdulillah, meskipun telah ditantang dengan segala aral dan
rintangan itu, Kerajaan terbukti mampu menangani dan mengatasinya dengan
begitu berkesan.
Tuan Yang Dipertua,
12. Jika hendak disimpulkan, antaranya terdapat 6 pencapaian utama
sebagai penanda kejayaan yang boleh diperbanggakan dalam mengangkat
kembali kedudukan ekonomi negara, dari mana ia berada separuh dekad
lalu.
Tuan Yang Dipertua,
13. Pencapaian pertama: Jika ditinjau situasi ekonomi semasa
Malaysia, ia mampu berkembang sebanyak 5.3 peratus bagi separuh tahun
pertama 2015, dan dianggarkan mencapai 4.5 hingga 5.5 peratus sepanjang
tahun, meskipun, ekonomi dunia dijangka berkembang pada kadar yang
perlahan iaitu 3.1 peratus pada tahun ini.
14. Dalam perkara ini, perlu kita ingat baik-baik, keadaan ekonomi
sekarang, bak kata dalam bahasa Inggeris, 'there is no comparison
whatsoever', berbanding tahun 1998. Nyatanya, pada ketika itu, telah
berlaku krisis kewangan peringkat Asia, sehinggakan ekonomi negara
menguncup kepada negatif 7.4 peratus.
15. Sungguhpun begitu, kita sedar, bahawa kita tidak dapat lari
dengan mudah atau dalam sekelip mata. la menuntut daripada menghadapi
kelembapan ekonomi global, kesungguhan dan pengorbanan atas nama
kebaktian pada nusa dan bangsa.
16. Justeru, pertumbuhan KDNK negara dijangka dapat berkembang pada
kadar 4 hingga 5 peratus pada tahun 2016. Pertumbuhan ini, akan dipacu
oleh pelaburan dan penggunaan swasta pada kadar 6.7 dan 6.4 peratus.
17. Eksport pula, tumbuh pada kadar 0.9 peratus dan import 1.5
peratus. Sektor pembinaan berkembang 8.4 peratus, perkhidmatan 5.4
peratus, manakala pembuatan sebanyak 4.3 peratus.
Tuan Yang Dipertua,
18. Pencapaian Kedua: Secara konsisten kita telah dapat mengurangkan
defisit fiskal Kerajaan, daripada paras 6.7 peratus kepada 3.2 peratus
yang dijangka pada tahun ini.
Tuan Yang Dipertua,
19. Pencapaian Ketiga: Melalui Dasar Transformasi Nasional atau DTN
yang bermula pada tahun 2010, Kerajaan ini, telah meneruskan mujahadah
pembasmian kemiskinan.
20. Hasilnya, dalam tempoh 5 tahun, kadar kemiskinan berkurang
daripada 3.8 peratus pada tahun 2009, kepada kini 0.6 peratus pada tahun
2014. Malah, sebenarnya kemiskinan tegar telah hampir disifarkan.
21. Pencapaian Keempat: Kalau dikaji, statistik pengangguran pada tahun 1999
adalah 3.4 peratus.
22. Dengan kehendak Allah jua, hasil daripada pengurnsan ekonomi
negara yang berkesan, kita telah mengurangkan kadar pengangguran kepada
2.9 peratus dan Kerajaan telah berjaya mewujudkan sebanyak 1.8 juta
peluang pekerjaan.
Tuan Yang Dipertua,
23. Pencapaian Kelima: Seramai 5 juta rakyat di kawasan luar bandar
telah berjaya mendapat manfaat kemudahan asas, seperti bekalan elektrik
dan air bersih.
24. Akhir sekali, Pencapaian Keenam: Rakyat telah mendapat pelbagai
kemudahan seperti BRIM, Klinik 1Malaysia, UTC, RTC dan Kedai Rakyat
1Malaysia, demi meringankan kos sara hidup rakyat.
Tuan Yang Dipertua,
25. Pada sudut lain, kemasukan pelaburan asing pula terus kukuh pada
22.4 bilion ringgit pada separuh pertama tahun ini, manakala,indeks
Bursa Kuala Lumpur mencatat 1,705 mata bersamaan nilai pasaran 1.675
trilion ringgit menjelang penutup bursa pada 22 Oktober 2015.
26. Walaupun ringgit menyusut nilai, rizab antarabangsa kekal tinggi
sebanyak 418 bilion ringgit pada 15 Oktober 2015 yang mampu sebenarnya
membiayai selama 8.8 bulan import tertangguh dan 1.2 kali hutang luar
jangka pendek.
27. Laginya, pada tahun hadapan, negara dijangka terus berada dalam inflasi terkawal, di antara 2 hingga 3 peratus.
Tuan Yang Dipertua,
28. Ini menunjukkan bahawa realitinya, Malaysia, negara kita yang
tercinta bukanlah negara yang gagal atau bankrap, sebaliknya kita masih
stabil, masih kukuh dengan economic fundamental dan terus berdaya
saing.
29. Sebelum bingkisan Bajet tahun ini diteruskan, terdapat dua
perkara mustahak yang wajar diberi penjelasan. Perkara pertama, adalah
Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST, yang hangat diperkatakan oleh
orang ramai terutamanya sejak awal tahn ini.
30. Dalam isu GST, Kerajaan berterima kasih kerana pematuhan dalam
pendaftaran dan pengisytiharannya amat tinggi dan membanggakan.
31. Suka saya memaklumkan kepada Dewan yang mulia, setakat ini,
jumlah syarikat yang berdaftar dengan GST adalah hampir 400 ribu buah
semuanya, dengan kadar patuh serahan atau submission mencapai lebih 90
peratus.
Tuan Yang Dipertua,
32. Alhamdulillah, sesungguhnya keputusan Kerajaan melaksanakan GST
adalah tepat, lebih-lebih lagi berikutan kejatuhan harga minyak kepada
lebih 50 peratus daripada paras 100 dolar Amerika sebelum ini.
33. Faktanya, Petroliam Nasional Berhad atau PETRONAS menyumbang
sejumlah dividen kepada Perbendaharaan pada setiap tahun. Jumlah
sumbangan dividen ini, bergantung kepada naik turunnya harga minyak
dunia.
34. Misalannya, dalam tempoh setahun di mana harga minyak adalah
pada purata 100 dolar Amerika setong, pendapatan daripada dividen
PETRONAS serta hasil cukai petroliam kepada negara, berjumlah 62 bilion
ringgit.
35. Akan tetapi, senarionya berbeza, pabila harga minyak telah turun
kepada paras sekitar 50 dolar Amerika setong. Pendapatan daripada
dividen PETRONAS serta hasil cukai petroliam kepada negara, berjumlah 44
bilion ringgit pada 2015.
36. Harga minyak ini pula, dijangka akan kekal rendah pada 2016, dan
kutipan hasil daripada sumber berkaitan minyak dianggar 31.7 bition
ringgit, atau penyusutan pendapatan Kerajaan lebih 30 bilion ringgit.
37. Jadinya, jika sebelum ini, dalam beberapa pengumuman rasmi,
saya, bagi pihak Kerajaan ada menyebut bahawa rakyat usahlah bimbang,
kerana hasil kutipan GST dikembalikan semula demi manfaat ramai, malah,
dimaklumkan pula bagaimana ia dibelanjakan. lni adalah benar apa yang
Kerajaan hasratkan dan tidak ada apa-apa agenda yang terselindung.
38. Namun, keadaan telah berubah. Hasrat ini perlu diimbangi dengan
realiti kedudukan kewangan negara, berdasarkan perkembangan harga
minyak dunia yang tidak menentu seperti yang saya sampaikan tadi.
Tetapi, disebabkan oleh kekurangan kutipan hasil petroliam, kutipan
GST-lah yang terpaksa menjadi tampungan sebahagian besar daripadanya.
Tuan Yang Dipertua,
39. Sehubungan itu, pada tahun 2016, dalam perkiraan Kerajaan,
sekira dan seandainya GST tidak dilaksanakan, dan kita masih dengan
sistem SST seperti yang sebelumnya, hasil negara akan berkurangan
sebanyak 21 bilion ringgit.
40. Jika dihalusi lagi, kalaulah kita kekal dengan SST, kutipan
hanyalah sekadar 18 bilion ringgit berbanding GST iaitu sebanyak 39
bilion ringgit.
41. Akibatnya, defisit negara akan meningkat kepada 4.8 peratus, dan
bukan lagi 3.1 peratus seperti yang disasarkan pada tahun 2016.
42. Andai kata ini berlaku, Kerajaan terpaksa meminjam termasuk
untuk membayar gaji penjawat awam, penarafan kredit negara pula akan
diturunkan dan kos pinjaman untuk semua, seperti pinjaman peribadi,
pinjaman perniagaan dan pinjaman perumahan, pastinya meningkat.
Tuan Yang Dipertua,
43. Di atas segalanya, bersyukurlah kita kepada Allah, kerana
Kerajaan yang ada tetap bertegas dengan pendirian, mempunyai dengan
izin, political will atau keberanian serta iltizam politik untuk
melaksanakan GST...sekalipun, ...sekalipun... keputusan ini ternyata
mendapat pelbagai cabaran dan tidak popular.
44. Malah pihak seberang sana, yang mula-mula dulu menentang dengan
begitu lantang dan keras, kini juga mula menerima GST, hatta telah
memasukkannya pula dalam dokumen bajet mereka.
45. lni jelas menunjukkan, pendirian pembangkang yang sentiasa berubah-ubah dan tidak konsisten.
Tuan Yang Dipertua,
46. Oleh itu, berdiri atas pendirian sedemikian, Kerajaan yang
bertanggungjawab ini, akan terus melakukan keputusan-keputusan yang
betul, waima tidak bersifat populis, demi,... mendahulukan rakyat dan
kepentingan negara.
Tuan Yang Dipertua dan Rakyat Malaysia sekalian,
47. Oleh yang demikian, ternyatalah, GST ini sebetulnya merupakan
satu sistem percukaian yang efisien. Maka sebab itulah, telah
dilaksanakan di lebih
160 buah negara.
48. Tampaknya juga, meskipun keadaan kewangan negara terkekang, kita terus mendengar denyut nadi dan rintihan rakyat.
49. Kerana itu, setelah menerima maklum balas daripada pelbagai
golongan masyarakat, termasuklah pihak NGO, dengan ini, sukalah saya
mengumumkan bahawa, Kerajaan bersedia, melepaskan lagi pendapatan cukai
GST terhadap, beberapa barangan asas kehidupan seharian rakyat.
50. Tujuh langkah penambahbaikan layanan GST, berkuatkuasa menjelang 1 Januari 2016, adalah seperti berikut:
51. Pertama, pengenaan GST pada kadar sifar ke atas semua jenis Ubat
Terkawal di bawah senarai Racun Kumpulan A, E, C dan D, serta tambahan
sebanyak 95 jenama ubat over the counter, meliputi ubat bagi 30 jenis
penyakit seperti ubat kanser, kencing manis, darah tinggi dan sakit
jantung. Ini melibatkan peningkatan dua kali ganda, dari 4,215 kepada
8,630 jenama ubat.
52. Kedua: pengenaan GST pada kadar sifar ke atas barangan makanan berikut:
• Susu bayi dan kanak-kanak berasaskan kacang soya dan susu organik;
• Dhal, atau kata orang utara kacang 'parpu', berasaskan kekacang
daripada kacang kuda, kacang hijau dan kacang putih; Akar teratai atau
lotus root dan sengkuang air atau water chestnut;
• Biji sawi;
• Gula merah; dan
• Untuk orang Sarawak,...mee kolok kering
53. Ketiga: Bagi membolehkan petani berskala kecil mendapat manfaat
dari Skim Kadar Rata di bawah GST, Kerajaan mencadangkan supaya,
threshold jualan tahunan untuk tujuan pendaftaran di bawah skim ini
diturunkan daripada 100 ribu ringgit kepada 50 ribu ringgit;
54. Dengan penurunan threshold, ia bererti, lebih ramai petani kecil
boleh mendaftar di bawah skim ini dan mengenakan tambahan 2 peratus ke
atas nilai jualannya, dan amaunnya boleh disimpan untuk menampung
sebarang GST yang telah dibayar ke atas inputnya.
55. Keempat: Bagi syarikat-syarikat yang terlibat dalam aktiviti
penyelenggaraan, pembaikan dan baikpulih di dalam industri aeroangkasa
pula akan dibenarkan menyertai Approved Trader Scheme dan diberi
pelepasan GST ke atas pengimportan barang-barang;
56. Kelima: Pelepasan GST juga diberikan ke atas pengimportan semula
barangan yang telah dieksport secara sementara bagi tujuan promosi,
penyelidikan atau pameran;
57. Keenam: Kini, bagi industri minyak dan gas pula, pelepasan GST
diberikan kepada pengimportan semula peralatan yang dieksport secara
sementara, bagi tujuan sewaan dan pajakan seperti peralatan pelantar
minyak juga platform terapung; serta
58. Ketujuhnya: Pelepasan GST juga diberi untuk perolehan bahan dan
peralatan mengajar, kepada penyedia latihan kemahiran dan vokasional
yang menjalankan program diluluskan di bawahAkta Pembangunan Kemahiran
Kebangsaan 2006.
Tuan Yang Dipertua,
59. Kerajaan menyedari bahawa ramai pengguna telefon bimbit
terutamanya daripada golongan belia, bergantung kepada perkhidmatan
telekomunikasi prabayar atau prepaid card.
60. Berhubung ini, para pengguna warga Malaysia, akan mendapat
kembali rebat bersamaan dengan amaun GST yang dibayar, yang akan
dikreditkan terus ke dalam akaun perkhidmatan prabayar mereka. Langkah
ini, adalah mulai 1 Januari 2016 sehingga 31 Disember 2016.
Tuan Yang Dipertua,
61. Seterusnya, bagi memantapkan struktur cukai supaya lebih
kompetitif dan progresif, banjaran pendapatan bercukai bagi kadar cukai
tertinggi ditingkatkan daripada 25 peratus, kepada 26 peratus bagi
mereka yang berpendapatan antara 600 ribu ringgit dan 1 juta ringgit.
62. Sementara itu, mereka yang berpendapatan melebihi 1 juta
ringgit, kadar cukai akan dinaikkan daripada 25 peratus kepada 28
peratus.
Tuan Yang Dipertua,
PERUNTUKAN BAJET 2016
63. Bajet 2016 memperuntukkan 267.2 bilion ringgit berbanding 260.7
bilion ringgit peruntukan dipinda 2015. Daripada jumlah tersebut, 215.2
bilion ringgit adalah untuk perbelanjaan mengurus dan 52 bilion ringgit
bagi perbelanjaan pembangunan.
64. Di bawab peruntukan mengurus, 70.5 bilion ringgit adalah untuk
Emolumen dan 36.3 bilion ringgit bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala
sebanyak 106.6 bilion ringgit adalah Pemberian dan Kenaan Bayaran
Tetap. Pembelian Aset pula diperuntukkan sebanyak 761 juta ringgit dan 1
bilion ringgit kepada perbelanjaan lain.
65. Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan
tertinggi sebanyak 30.1 bilion ringgit, diikuti oleh sektor sosial 13.1
bilion ringgit merangkumi pendidikan dan latihan, kesihatan, perumahan
serta kesejahteraan masyarakat.
66. Manakala, sektor keselamatan pula diperuntukkan sebanyak 5.2
bilion ringgit. Selebihnya, diagihkan kepada sektor pentadbiran am
ialtu sebanyak 1.6 bilion ringgit dan simpanan luar jangka sebanyak 2
bilion ringgit.
67. Bagi tahun 2016, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan
sebanyak 225.7 bilion ringgit, yakni peningkatan sebanyak 3.2 bilion
ringgit berbanding
2015.
68. Dengan mengambil kira unjuran hasil dan perbelanjaan Kerajaan,
defisit fiskal Kerajaan dijangka menguncup kepada 3.1 peratus pada
2016.
69. Bajet ini dan bajet-bajet seterusnya akan berteraskan
keseimbangan diantara Capital Economy dan People Economy. Disamping itu,
kita perlu mencapai pertumbuhan yang bersifat inklusif, sustainable
dan membina sebuah negara yang kompetitif, progresif, bersahsiah dan
morally strong, dalam satu kehidupan masyarakat yang saling berpadu.
Tuan Yang Dipertua,
70. Lantaran demikian, saya pohon membentangkan sebuah Bajet yang
bertemakan "Mensejahtera Kehidupan Rakyat" bertunjangkan 5 Keutamaan.
Tuan Yang Dipertua,
71. KEUTAMAAN PERTAMA: MEMPERTEGUH KETAHANAN EKONOMI NEGARA.
72. Langkah satu: Aktiviti pelaburan domestik akan terus dirancakkan
dengan jangkaan sumbangan kepada KDNK pada 26.7 peratus bagi 2016. lni
akan dipacu oleh pelaburan swasta yang meningkat sebanyak 218.6 bilion
ringgit serta disokong oleh pelaburan awam sebanyak 112.2 bilion
ringgit.
73. Dalam langkah ini, terdapat sembilan projek dan inisiatif yang akan dilaksanakan:
Pertama: Membangun Malaysian Vision Valley meliputi keluasan tanah
seluas 108,000 hektar dari Nilai ke Port Dickson seperti yang telah
dibentangkan pada RMK-ll, dengan unjuran pelaburan permulaan 5 bilion
ringgit pada tahun 2016;
Kedua: Melaksana Cyber City Centre di Cyberjaya' dengan nilai pembangunan hampir 11 bilion ringgit dalam tempoh 5 tahun;
Ketiga: Membangun Bandar Lapangan Terbang atau Aeropolis KLIA di
kawasan seluas 1,300 ekar dan dijangka menarik pelaburan sebanyak 7
bilion ringgit;
Keempat: Pelaburan 6.7 bilion ringgit oleh Khazanah Nasional Berhad,
dalam 9 projek domestik berimpak tinggi seperti dalam bidang penjagaan
kesihatan, pendidikan, pelancongan, perisian dan infrastruktur
komunikasi;
Kelima: Khazanah Nasional juga memperuntukkan 500 juta ringgit untuk
modal teroka dan dana ekuiti persendirian termasuk dana teroka modal
pelancongan sebanyak 50 juta ringgit;
Keenam: Pelaburan seterusnya dianggarkan 19 bilion ringgit untuk tahun 2016, bagi Projek RAPID Complex di Pengerang, Johor;
Ketujuh: Untuk menarik lebih banyak pelaburan swasta, antara projek
yang sedang dilaksanakan adalah pembangunan Rubber City di Kedah dengan
peruntukan 320 juta ringgit, Taman Perindustrian Samalaju, Sarawak
sebanyak 142 juta ringgit dan Jeti Minyak Kelapa Sawit di Sandakan,
Sabah sebanyak 20 juta ringgit; dan
Kelapan: Tumpuan turut diberi kepada pembangunan industri Kimia,
Elektronik dan Elektrikal, Mesin dan Peralatan, Aeroangkasa, Peranti
Perubatan dan Perkhidmatan. Untuk itu, 730 juta ringgit disediakan
kepada dana-dana di bawah MIDA, dan
Kesembilan: Bagi terus menggalakkan pelaburan semula oleh syarikat
sedia ada dalam sektor pengilangan dan pertanian terpilih yang telah
tamat tempoh Elaun Pelaburan Semula atau Reinvestment Allowance,
insentif baharu Elaun Pelaburan Semula Khas akan diberikan. Kadar
tuntutan adalah 60 peratus daripada perbelanjaan modal yang layak dan
dibenarkan ditolak daripada 70 peratus daripada pendapatan berkanun
untuk tahun taksiran 2016 hingga tahun taksiran 2018.
75. Langkah 2: Dalam mempergiatkan pasaran modal pula, Kerajaan
bersetuju untuk melaksanakan beberapa inisiatif termasuk potongan cukai
diberi ke atas kos penerbitan sukuk Sustainable and Responsible
Investments dan Pengecualian duti setem sebanyak 20 peratus ke atas
surat cara pembiayaan patuh syariah untuk pembelian rumah.
76. Langkah 3: Sememangnya, PKS memainkan peranan penting dalam
membangunkan rantaian nilai perniagaan. Ia dijangka menyumbang kepada 41
peratus KDNK menjelang 2020. Untuk itu, lima tindakan berikut akan
diambil:
Pertama: Tambahan satu bilion ringgit bagi Skim Dana Pembiayaan PKS
Patuh Syariah sehingga 31 Disember 2017, dengan Kerajaan menanggung dua
peratus daripada kadar keuntungan pembiayaan;
Kedua: 107 juta ringgit untuk Pelan Induk PKS bagi pemberian dana di pelbagai peringkat perniagaan;
Ketiga: 60 juta ringgit untuk Skim Anjakan Usahawan dan Skim Peningkatan Kapasiti serta Keupayaan PKS;
Keempat: Menubuhkan dana pinjaman mudah SME Technology
Transformation Fund sejumlah 200 juta ringgit, di bawah SME Bank pada
kadar faedah empat peratus; dan
Kelima: 18
juta ringgit untuk memperluas Projek Transformasi Kedai Runcit atau
TUKAR, dan Projek Automative Workshop Modernisation atau ATOM.
77: Langkah 4: Seperti yang kita tahu, infrastruktur merupakan
pemangkin kepada keseluruhan pembangunan ekonomi dan sosial negara.
78. Terkini, ingin saya maklumkan, bahawa, Malaysia menduduki tangga
ke–25 di antara 160 negara yang disenaraikan dalam Laporan Indeks
Pencapaian Logistik Bank Dunia 2014.
79. Sehubungan itu, Kerajaan akan terus menambahbaik infrastruktur
logistik, termasuklah membina dan menambahbaik jaringan pengangkutan
rel, serta lebuhraya pada 2016. Ini termasuk, Lebuhraya Damansara – Shah
Alam, Lebuhraya Sungai Besi – Ulu Klang, Lebuhraya Pulau Indah dan
Lebuhraya Central Spine Road.
80. Untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibukota pula, 900
juta ringgit diperuntukkan untuk Projek Penyuraian Trafik Jalan Tun
Razak, yang akan dilaksanakan secara kerjasama strategik awam-swasta.
81. Kerajaan juga akan mengkaji pembinaan lebuhraya pesisiran pantai
Masjid Tanah ke Klebang dan dari Klebang ke Jambatan Syed Abdul Aziz,
di Melaka.
82. Seterusnya, sebanyak 42 juta ringgit disediakan bagi pembinaan
Lapangan Terbang Mukah, Sarawak dan menaik taraf lapangan terbang di
Kuantan dan Kota Bharu. Kajian akan turut dilaksanakan, bagi pembesaran
landasan di lapangan terbang di Batu Berendam, Melaka.
Tuan Yang Dipertua,
83. Demi keselesaan penduduk di kawasan bandar, sistem Pengangkutan
Awam yang efisien sedang rancak dibangunkan. Ini semua dilaksanakan
dengan peruntukan yang besar kerana kita mahu memudahkan kehidupan
rakyat di kawasan bandar.
84. Izinkan saya memberi sedikit status terkini, tentang antara
projek terbesar dalam sejarah negara, iaitu projek pengangkutan awam
bersepadu MRT-LRT.
85. Bagi projek sambungan LRT Laluan Ampang, dengan jarak 18.1
kilometer, akan boleh kita naiki pada Mac 2016. Manakala, bagi projek
sambungan LRT Laluan Kelana Jaya sehingga Putra Heights, dengan jarak
17.4 kilometer pula, akan boleh dinaiki pertengahan tahun 2016.
Kedua-dua projek sambungan ini, bernilai 10 bilion ringgit.
86. Projek MRT jajaran Sungai Buloh – Semantan pula, juga dapat
digunakan pada tahun 2016, pada bulan Disember. Manakala, Fasa 2
Semantan – Kajang dijangka siap pertengahan 2017. Projek ini, dengan
jarak 51 kilometer sedang dilaksanakan dengan kos 32 bilion ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
87. Hasil daripada permintaan ramai, Kerajaan juga telah memulakan rangkaian perhubungan awam lain seperti berikut:
Pertama: Projek MRT II dari Sungai Buloh – Serdang- Putrajaya dengan
jarak 52 kilometer, akan memanfaatkan 2 juta penduduk dengan anggaran
kos pembinaan 28 bilion ringgit. Kerja pembinaan direncana bermula dalam
suku kedua 2016 dan dijangka siap menjelang 2022;
Kedua: Projek
LRT3 dari Bandar Utama, Damansara- Johan Setia, Klang dengan jarak 36
kilometer, akan memanfaatkan 2 juta penduduk dengan anggaran kos
pembinaan 10 bilion ringgit. Ia mula dibina 2016 dan siap pada 2020.
Disamping itu, Kerajaan juga akan meneruskan rundingan High Speed Rail
dengan Kerajaan Singapura; dan
Ketiga: Bagi
perkhidmatan awam bas, projek Bus Rapid Transit atau BRT KL-Klang pada
kos melebihi 1.5 bilion ringgit, dan BRT Kota Kinabalu pada kos hampir 1
bilion ringgit akan dilaksanakan.
Tuan Yang Dipertua,
88. Untuk menambahbaik infrastruktur telekomunikasi pula,
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyediakan 1.2 bilion
ringgit, antara lain, untuk meningkatkan kelajuan internet luar bandar 4
kali ganda dari sehingga 5 Megabit sesaat, kepada 20 Megabit sesaat,.
National Fiber Backbone Infrastructure, Jalur lebar berkelajuan tinggi
dan sistem kabel dasar laut.
89. Selain itu, 250 juta untuk projek pendigitalan penyiaran
nasional bagi meningkatkan kualiti audio visual dan memberi nilai tambah
kepada kandungan TV
serta transaksi data interaktif.
Tuan Yang Dipertua,
90. Memang dari dahulu lagi, semenjak merdeka, kesejahteraan
penduduk luar bandar, menjadi keutamaan kita. Mana mungkin kita
meminggirkan mereka. Liputan jalan luar bandar telah meningkat daripada
46 ribu pada 2009 kepada 51 ribu kilometer, 98 peratus kawasan luar
bandar telah mendapat bekalan elektrik, dan hampir 95 peratus mendapat
bekalan air.
91. Kerajaan akan terus melaksanakan usaha pembangunan infrastruktur kawasan luar bandar seperti berikut:
Pertama: 1.4 bilion ringgit bagi membina serta menaik taraf jalan
luar bandar sepanjang 700 kilometer di seluruh negara. Selain itu, 200
juta ringgit lagi disediakan bagi menaik taraf jalan di kawasan
penempatan FELDA;
Kedua: 878
juta ringgit untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar, yang
membabitkan 10 ribu buah rumah. 568 juta ringgit bagi Projek Bekalan Air
Luar Bandar untuk 3 ribu buah rumah;
Ketiga: 60 juta ringgit untuk Program Ameniti Sosial, terutamanya
projek perparitan bagi mencegah berlakunya banjir. Tumpuan diberikan
kepada
negeri-negeri yang terlibat banjir seperti Kelantan, Kedah, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak;
Keempat: Sebagai pemangkin keusahawanan di kawasan luar bandar dan
komuniti desa, 70 juta ringgit untuk meneruskan Program Rural Business
Challenge dan Program Desa Lestari; serta
Kelima: 67
juta ringgit diperuntukkan bagi Projek Kenderaan Bas MARA, untuk
pengendalian pengangkutan bas di laluan yang tidak ekonomik di luar
bandar.
Tuan Yang Dipertua,
92. Langkah Kelima: Sektor pelancongan merupakan sektor yang paling
berpotensi untuk menjana ekonomi negara dalam keadaan kini. Untuk 2016,
Kerajaan mensasarkan 30.5 juta pelancong yang dijangka menyumbang
sebanyak 103 bilion ringgit kepada ekonomi negara. 1.2 bilion ringgit
pula diperuntukkan kepada Kementerian Pelancongan untuk tujuan ini.
Tuan Yang Dipertua,
93. Tambahan lagi, permohonan visa secara atas talian atau online
application, akan dilaksanakan bermula dengan negara China, India,
Myanmar, Nepal, Sri Lanka, Amerika Syarikat dan Kanada.
94. Di samping itu, untuk memudahkan pelancong dan pelawat untuk
berkunjung ke Malaysia, Kerajaan akan melaksanakan e-Visa menjelang
pertengahan 2016.
95. Seterusnya, bagi mengambil peluang atas kedudukan Ringgit, kini,
dan usaha untuk menarik lebih ramai pelancong, pengecualian cukai
pendapatan sedia ada sebanyak 100 peratus daripada pendapatan berkanun
diberikan kepada pengusaha pelancongan dilanjutkan mulai tahun taksiran
2016 sehingga tahun taksiran 2018.
Tuan Yang Dipertua,
96. Seperti yang kita sedia maklum, aktiviti ekonomi dalam sektor
pertanian, adalah sumber makanan negara dan merupakan tempat
pergantungan pendapatan bagi petani, pesawah dan nelayan.
97. Sehubungan ini, 5.3 bilion ringgit diperuntukkan kepada
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Antara program yang akan
dilaksanakan:
Pertama>: 450 juta ringgit bagi pelbagai program berimpak tinggi
seperti program penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran serta geran
pemadanan dan penyelidikan produk herba dan penternakan ikan dalam
sangkar;
Kedua: 180 juta ringgit bagi menaiktaraf infrastruktur saliran dan pengairan di kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu
Ketiga: 190
juta ringgit kepada FAMA, bagi tujuan Program Penurunan Harga, dengan
menambah 50 buah lagi Pasar Tani dan mewujudkan 150 Agrobazaar Rakyat
1Malaysia atau ABR1M yang baru. 40 peratus daripada barang jualan ABR1M,
adalah barang-barang basah seperti ikan dan sayur yang harganya,
dianggarkan 5 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran; dan
Keempat: 90 juta ringgit diperuntukkan untuk Program Pembangunan
Agropreneur Muda dalam bentuk geran in-kind, Dana Pembiayaan Usahawan,
penjenamaan semula MARDI, Jabatan Veterinar, Jabatan Pertanian dan
Jabatan Perikanan; serta pelaksanaan Projek Ladang Pengganda untuk
penternakan lembu dan ladang ayam kampung.
98. Dalam mengolah dasar sesuai dengan keadaan ekonomi terkini,
Kerajaan mencadangkan galakan cukai bagi aktiviti pengeluaran bahan
makanan dilanjutkan
sehingga 2020. Insentif yang disediakan adalah seperti berikut:
Pertama: Syarikat yang melabur dalam syarikat subsidiari yang
menjalankan projek pengeluaran bahan makanan, akan diberi potongan cukai
bersamaan jumlah pelaburan yang dibuat;
Kedua: Syarikat yang menjalankan projek baharu pengeluaran bahan
makanan pula diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus selama 10
tahun; dan
Ketiga: Syarikat sedia ada yang menjalankan projek pembesaran pula, juga diberikan insentif yang sama untuk tempoh 5 tahun.
99. Skop insentif juga akan diperluas kepada ternakan rusa, tanaman
cendawan, kelapa, rumpai laut, lebah madu dan kelulut serta tanaman
makanan ternakan
seperti ubi keledek dan ubi kayu.
Tuan Yang Dipertua,
100. Sehubungan dengan tindakan-tindakan tadi, Kerajaan akan melipat-gandakan sokongan untuk memperkukuhkan eksport negara.
101. Dengan itu, 235 juta ringgit diperuntukkan kepada MATRADE,
untuk Program Promosi 1Malaysia, Dana Eksport Perkhidmatan dan Dana
Promosi Eksport.
102. MATRADE dan SME Corp juga akan meningkatkan keupayaan PKS dan
syarikat peringkat pertengahan atau mid-tier, untuk mengeksport barangan
dan perkhidmatan ke luar negara.
103. Seterusnya, bagi mempelbagaikan penggunaan matawang asing untuk
urusan perdagangan pula, Bank Negara Malaysia menyediakan kemudahan
credit swap Ringgit-Renminbi kepada bank tempatan.
104. Pada masa ini, PKS boleh menuntut pengecualian cukai pendapatan
sebanyak 10 atau 15 peratus daripada nilai peningkatan eksport. Untuk
terus meningkatkan eksport, PKS diberi kelonggaran mematuhi syarat nilai
tambah iaitu 30 peratuskepada 20 peratus, dan 50 peratus kepada 40
peratus bagi produk perkilangan. Kelonggaran ini akan diberikan bagi
tahun taksiran 2016 hingga 2018.
105. Bagi menggalakkan perkhidmatan penilaian dan pematuhan piawaian
antarabangsa dilakukan di dalam negara, Kerajaan akan memberi galakan
untuk penubuhan Independent Conformity Assessment Bodies atau ICAB.
Tuan Yang Dipertua,
106. Setakat hari ini, Malaysia telah menandatangani 13 perjanjian
perdagangan bebas atau FTA iaitu 6 secara serantau melalui ASEAN dan 7
secara dua hala.
107. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka,
di mana jumlah dagangan adalah sekitar 150 peratus melebihi KDNK,
Kerajaan telah menerima secara prinsipnya, Perjanjian Perkongsian
Trans-Pasifik atau TPP. Walaubagaimanapun, pertimbangan secara muktamad
akan dibuat di Parlimen kelak.
Tuan Yang Dipertua,
108. KEUTAMAAN KEDUA: MENINGKATKAN PRODUKTIVITI, INOVASI DAN
TEKNOLOGI HIJAU. Lonjakan inovasi dan kreativiti adalah kritikal untuk
meningkatkan produktiviti kita. Penggunaan teknologi hijau akan turut
membantu melestarikan sumber-sumber asli negara.
109. Oleh yang demikian, Kerajaan mensasarkan pertumbuhan produktiviti buruh sebanyak 3.7 peratus setahun melalui:
110. Langkah Satu: Bagi menjadikan negara sebagai hab teknologi yang
kompetitif di rantau ini, 1.5 bilion ringgit diperuntukkan kepada
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
111. Lantaran, 2016 akan diisytiharkan sebagai Tahun Pengkomersilan
Malaysia, dalam melonjakkan hasil produk R&D oleh institusi
penyelidikan tempatan. Maka, inisiatif- inisiatif berikut akan
dilaksanakan:
Pertama: PKS yang membuat perbelanjaan untuk projek R&D sehingga
50 ribu ringgit bagi setiap tahun taksiran, layak menuntut potongan
cukai dua kali secara automatik. Kemudahan ini diberikan bagi tahun
taksiran 2016 sehingga 2018;
Kedua: 100 juta ringgit kepada Agensi Inovasi Malaysia;
Ketiga: 200 juta ringgit di bawah Skim Dana Lonjakan Teknologi dan Inovasi oleh Malaysia Debt Ventures Bhd;
Keempat: 35 juta ringgit kepada MaGIC, sebagai Peneraju Hab
Keusahawanan dan Inovasi Serantau, termasuk 10 juta ringgit sebagai dana
permulaan untuk Corporate Entrepreneurs Responsibility Fund;
Kelima: 30
juta ringgit untuk pelbagai program keusahawanan generasi muda seperti
Global Entrepreneurship Community, BAHTERA, GREAT, 1MET, National
Innovation Competition serta Projek Perintis Coding di sekolah; dan
Keenam: Bagi menggiatkan aktiviti demand driven innovation, pada
tahun 2016, Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta ringgit untuk
Public-Private Research Network.
Tuan Yang Dipertua,
112. Langkah Dua: Bagi mempertingkatkan penggunaan teknologi dalam
sektor pembinaan, Kerajaan akan menggalakkan lagi penggunaan teknologi
Industrialised Building System atau IBS. Sehubungan itu, Kerajaan
menggalakkan lebih banyak syarikat menggunapakai teknologi IBS.
113. Bagi tujuan ini, dana khas IBS Promotion Fund sebanyak 500 juta
ringgit disediakan melalui SME Bank, sebagai pinjaman mudah kepada
pemaju dan kontraktor kategori G5 dan ke bawah.
114. Langkah Tiga: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan
melaksanakan pelbagai usaha teknologi hijau termasuk penyediaan bekalan
air bersih, melalui pembinaan loji rawatan air, dengan peruntukan 877
juta ringgit. 515 juta ringgit pula, diperuntukkan bagi meningkatkan
mutu bekalan elektrik di Sabah.
115. Kerajaan turut mensasarkan pengurangan intensiti pelepasan gas
rumah hijau sehingga 40 peratus KDNK pada tahun 2020, melalui:
Pertama: Pelaksanaan Pelan Tindakan Mobiliti Elektrik termasuk proses audit tenaga dengan peruntukan 45 juta ringgit;
Kedua: Pihak
Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari atau SEDA melaksanakan Skim
Pemeteran Tenaga Bersih, dengan kuota 100 MW setahun, dalam menggalakkan
penggunaan solar photovoltaic; dan
Ketiga: Melanjutkan tempoh pelaksanaan Skim Pembiayaan Teknologi
Hijau sehingga 31 Disember 2017, dengan dana sebanyak 1.2 bilion
ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
116. KEUTAMAAN KETIGA: MEMPERSIAGA MODAL INSAN. Perkara ini amat
kritikal untuk masa depan negara. Justeru Kerajaan akan mengambil
langkah-langkah seperti:
117. Langkah 1: Di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
2013-2025, sebanyak 41.3 bilion ringgit akan diperuntukkan pada 2016.
118. Antara lain, Kerajaan akan membina:
• 30 sekolah rendah;
• 27 sekolah menengah;
• 4 buah MRSM di Sik, Kedah, serta Ketereh, Tanah Merah, Kelantan, Bagan
Datoh, Perak; dan
• 5 buah Sekolah Berasrama Penuh di Alor Gajah, Melaka, Pendang, Kedah,
Segamat dan Ledang di Johor dan Jerantut, Pahang.
119. Untuk peringkat kelas prasekolah pula, 44.6 juta ringgit
diperuntukkan untuk pelbagai program di 9,113 buah kelas seluruh
Malaysia.
Tuan Yang Dipertua,
120. Untuk meningkatkan Penguasaaan Bahasa Malaysia dan Bahasa
Inggeris, 135 juta ringgit diperuntukkan bagi program Memartabat Bahasa
Malaysia dan
Memperkukuh Bahasa Inggeris.
121. Oleh kerana, Bahasa Inggeris amat penting dalam persaingan
global semasa, maka dua lagi inisiatif, iaitu Dual Language Programme
dan Highly Immersive Programme akan dilaksanakan secara optional dengan
kos 38.5 juta ringgit. Dalam hal ini, 300 buah sekolah telah dikenal
pasti sebagai projek perintis.
122. Bagi meringankan tanggungan ibubapa untuk perbelanjaan
persekolahan anak-anak, bantuan 100 ringgit akan diteruskan. Mulai
Januari 2016, ia hanya dikhususkan kepada pelajar sekolah dari kalangan
isi rumah berpendapatan 3 ribu ringgit ke bawah. Ini memanfaatkan 3.5
juta pelajar dengan peruntukan 350 juta ringgit.
123. Selain itu, program rancangan makanan tambahan yang melibatkan
550 ribu pelajar dari keluarga miskin yang tersenarai dalam eKasih akan
ditambah baik.
124. Program ini, yang sebelumnya hanya tertakluk kepada makanan
waktu rehat, akan diperluaskan dengan kos tambahan 173 juta ringgit
untuk sarapan pagi. Kos keseluruhan program ini sebanyak 423 juta
ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
125. Seperti tahun-tahun sebelum ini, Kerajaan juga terus
menyediakan peruntukan untuk membangunkan dan menyelenggara Fasiliti
Pendidikan untuk Sekolah Kebangsaan; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina;
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil; Sekolah Mubaligh; Sekolah Berasrama
Penuh; Sekolah Agama Bantuan Kerajaan; MRSM; Sekolah Pondok yang
berdaftar dan Sekolah Menengah Kebangsaan
Cina atau Conforming School yang mengguna pakai kurikulum
Kebangsaan. Peruntukan bagi tujuan ini, keseluruhannya berjumlah 500
juta ringgit.
126. Langkah Dua: Pembiayaan biasiswa diteruskan dengan agihan, antaranya seperti berikut:
• 1.65 bilion ringgit melalui Jabatan Perkhidmatan Awam;
• 288 juta ringgit melalui Kementerian Pendidikan;
• 250 juta ringgit melalui Kementerian Pendidikan Tinggi; dan
• 258 juta ringgit melalui Kementerian Kesihatan.
127. Selanjutnya, dalam menggalakkan lagi pendidikan tinggi,
sukacita saya umumkan, had maksima pelepasan cukai ke atas yuran
pengajian pendidikan tinggi bagi pembayar cukai individu, dinaikkan
kepada 7 ribu ringgit daripada 5 ribu ringgit setahun.
128. Ini dilengkapkan lagi dengan penerusan Program Baucar Buku
1Malaysia yang bernilai 250 ringgit, bagi 1.2 juta pelajar. Untuk
mengelakkan salah guna baucar ini, kaedah penebusan akan diperkemaskan
hanya di kedai-kedai buku yang diiktiraf.
Tuan Yang Dipertua,
129. Langkah Tiga: Dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan
pekerja, kita mensasarkan 60 peratus daripada 1.5 juta pekerjaan baharu,
adalah pekerja berkemahiran TVET menjelang 2020. Sejumlah 4.8 bilion
ringgit diperuntukkan kepada 545 Institusi TVET di bawah Bajet ini.
130. Dalam usaha ini juga, MITI akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa
Kemahiran Industri bagi menyelaras program TVET dengan kerjasama pihak
industri.
131. Selain daripada itu, lebih 330 ribu pelatih akan mendapat
manfaat daripada inisiatif ini melalui antaranya program-program
berikut:
Pertama: 585 juta ringgit untuk peralatan latihan TVET di
Politeknik, Kolej Komuniti, Institut Kemahiran MARA, Institut Kemahiran
Belia Negara, Institut Latihan Perindustrian, GiatMARA dan Kolej
Vokasional;
Kedua: 350 juta ringgit untuk membiayai program di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran; dan
Ketiga: 80
juta ringgit untuk penubuhan Akademi Pelancongan di Kolej Komuniti Kota
Kinabalu, Kolej Vokasional Sandakan serta Institut Latihan
Perindustrian Serian, Sarawak.
Tuan Yang Dipertua,
132. Langkah Empat pula, berkenaan Memperkasa Belia, Komuniti dan
NGO. Bagi langkah ini, Bajet 2016 memperuntukkan 930 juta ringgit kepada
Kementerian Belia dan Sukan bagi inisiatif berikut:
Pertama: 280 juta ringgit untuk latihan teknikal dan vokasional di
Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Tinggi Belia
Negara;
Kedua: 50 juta ringgit untuk meningkatkan aktiviti pembangunan belia dalam kegiatan ekonomi dan keusahawanan;
Ketiga: 145
juta ringgit untuk mempersiapkan atlet negara untuk menghadapi cabaran
Sukan SEA ke 29, dan Sukan Para ASEAN ke 9 pada tahun 2017 di Kuala
Lumpur;
Keempat: 75 juta ringgit untuk terus melahirkan jaguh sukan bertaraf dunia melalui Program Pembangunan Podium Sukan Elit;
Kelima: 22 juta ringgit untuk membina 2 Kompleks Sukan di Bagan Datoh dan Kuantan; dan
Keenam: 360
juta ringgit untuk menambahbaik Program Latihan Khidmat Negara bagi 20
ribu pelatih. Ia melibatkan kurikulum baru seperti kemahiran berfikir
secara kreatif dan kemahiran teknikal.
133. Akhir sekali, 160 juta ringgit disediakan untuk NGO-NGO, bagi
melaksanakan program berasaskan pembangunan komuniti, perpaduan,
kebajikan masyarakat, kesihatan dan keselamatan.
Tuan Yang Dipertua,
134. Langkah Lima, memfokus kepada Kualiti Tenaga Kerja.Bagi
meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja, program seperti berikut akan
dilaksanakan:
Pertama: Memperuntukkan 30 peratus daripada Kumpulan Wang
Pembangunan Sumber Manusia, sebagai dana terkumpul bagi melaksanakan
program latihan mengikut keperluan industri setempat di Sabah dan
Sarawak, serta Outplacement Centre bagi melatih semula pekerja yang
telah diberhentikan; dan
Kedua: Melatih
15 ribu peserta melalui program Skim Latihan 1Malaysia atau SL1M dengan
kos 250 juta ringgit yang akan dibiayai sepenuhnya oleh GLC.
Tuan Yang Dipertua,
135. Untuk Menambahbaik Pengurusan Tenaga Kerja Asing pula, sebanyak
77 juta ringgit akan diperuntukkan oleh PSMB bagi menjalankan program
seperti Train & Replace dalam bidang terpilih seperti hospitaliti,
perkapalan dan pengangkutan.
Tuan Yang Dipertua,
136. Kerajaan terus komited dengan hasrat untuk mencapai
sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan wanita di peringkat membuat
keputusan dalam sektor awam dan swasta. Ini termasuklah di peringkat
Lembaga Pengarah; dan Kerajaan akan sentiasa memantau pencapaian dasar
ini.
Tuan Yang Dipertua,
137. KEUTAMAAN KEEMPAT: MEMPERKASA AGENDA BUMIPUTERA. Perlu saya
tegaskan, bahawa pemerkasaan Bumiputera adalah agenda nasional dan ini
tentunya, merangkumi pembangunan masyarakat Bumiputera di Sabah dan
Sarawak.
138. Sebanyak 150 juta ringgit disalurkan kepada TERAJU untuk
pelaksanaan pelbagai program termasuk Skim Usahawan Permulaan Bumiputera
dan Program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi
139. 150 juta ringgit diperuntukkan kepada Yayasan Peneraju
Pendidikan Bumiputera untuk melaksanakan program Peneraju Tunas,
Peneraju Profesional serta Peneraju Skil dan Iltizam.
140. Manakala, kepada MARA pula, diperuntukkan 3.7 bilion ringgit,
termasuk menaja pengajian 72 ribu pelajar Bumiputera di peringkat
pendidikan tinggi.
141. Bagi memantapkan pemilikan ekuiti serta memperhebat
keusahawanan dan perniagaan Bumiputera, peruntukan akan diberikan
seperti berikut:
Pertama: 400 juta ringgit kepada Dana Ekuiti Nasional Berhad atau EKUINAS;
Kedua: 250 juta ringgit kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad;
Ketiga: 150 juta ringgit kepada Pelaburan Hartanah Berhad; dan
Keempat: 100 juta ringgit sebagai pinjaman kepada UDA Holdings untuk tujuan pembangunan Kampung Baru Kuala Lumpur.
Tuan Yang Dipertua,
142. Manakala, untuk agenda pembangunan di Sabah dan Sarawak, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:
Pertama: Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang meliputi jajaran
sepanjang 1,090 km, dijangka siap sepenuhnya pada 2021 dengan anggaran
kos sebanyak 16.1 bilion ringgit.
Di Sabah pula, fasa 1 lebuhraya ini, akan mula dibina pada 2016
meliputi 706 kilometer, bermula dari Sindumin ke Tawau, dengan anggaran
kos 12.8 bilion ringgit. Sukacitanya saya berkongsi sekali lagi,
Lebuhraya Pan Borneo ini akan bebas daripada sebarang bayaran tol;
Kedua: Pengangkutan penumpang udara merupakan antara mod utama
pengangkutan bagi penduduk pedalaman, di Sabah dan Sarawak serta Labuan.
Maka, perkhidmatan pengangkutan penumpang udara domestik kelas ekonomi
bagi laluan Rural Air Services dikecualikan daripada GST;
Ketiga: Sebagai
satu program baru, 70 juta ringgit disediakan melalui Bank Simpanan
Nasional dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, bagi
pinjaman tanpa faedah untuk tujuan membina rumah-rumah panjang dengan
had pinjaman 50 ribu ringgit untuk setiap unit di rumah panjang;
Keempat: 70 juta ringgit sebagai subsidi baja padi huma disediakan
untuk meningkatkan bekalan makanan dan pendapatan penanam padi huma,
yang meliputi kawasan seluas 65 ribu hektar di Sarawak, dan 11 ribu
hektar di Sabah;
Kelima: 260 juta ringgit disediakan untuk Program 1Harga 1Sarawak
dan Program 1Harga 1Sabah bagi memastikan keseragaman harga barangan
terpilih di seluruh negara;
Keenam: 115 juta ringgit disediakan khusus bagi Program Khas
Bumiputera Sabah dan Sarawak, seperti untuk projek native customary
rights, yang merangkumi prosedur-prosedur pemetaan dan pengukuran
tanah-tanah adat, serta melibatkan kos membina native courts, atau
mahkamah-mahkamah adat. Bagi projek native customary rights, 20 juta
daripada jumlah tersebut untuk pemetaan tanah di Sabah, dan 30 juta
ringgit pula, untuk tujuan yang sama di Sarawak; dan
Ketujuh: Meningkatkan perkhidmatan Klinik Bergerak 1Malaysia di
pendalaman Sabah dan Sarawak, termasuk pembelian bot dan kenderaan baru.
Tuan Yang Dipertua,
143. KEUTAMAAN KELIMA: MERINGANKAN KOS SARA HIDUP RAKYAT. Hal ini,
adalah amat dekat di hati saya dan Kerajaan. Makanya, pelbagai inisiatif
akan dilakukan melalui:
144. Langkah Satu: Meningkatkan Taraf Hidup Isi Rumah B40, di mana:
Pertama: TEKUN akan menyediakan 600 juta ringgit yang meliputi 500
juta ringgit untuk usahawan Bumiputera, dan 100 juta ringgit untuk 10
ribu usahawan India, melalui Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India.
Selain itu, 50 juta ringgit disediakan oleh SME Bank untuk membantu
usahawan kecil India;
Kedua: Tambahan
200 juta ringgit kepada dana sedia ada untuk Amanah Ikhtiar Malaysia,
bagi kemudahan pembiayaan mikro kepada isi rumah B40;
Ketiga: 100
juta ringgit disediakan di bawah Program Pembangunan Sosioekonomi
Masyarakat India yang melibatkan kerjasama NGO dengan Institut Latihan
Kemahiran Swasta;
Keempat: Tambahan 90 juta ringgit sebagai pinjaman mikro kredit
kepada penjaja dan peniaga-peniaga kecil kaum Cina yang termasuk 50 juta
ringgit untuk KOJADI.
Seterusnya, 40 juta ringgit bagi melaksanakan projek infrastruktur
dan program pinjaman mudah kepada penduduk kampung-kampung baru Cina
bagi pembayaran premium tanah dan membaik pulih rumah;
Kelima: 50
juta ringgit kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, untuk
Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya serta Program Peningkatan
Pendapatan. Melalui kedua-dua program ini, peserta akan mendapat manfaat
latihan kemahiran dan juga bantuan berbentuk aset serta bahan mentah;
dan
Keenam: Menyediakan
100 juta ringgit kepada Institusi Latihan Kemahiran Swasta dan NGO bagi
meningkatkan kemahiran B40 untuk mereka mendapat pekerjaan atau
memulakan perniagaan.
Tuan Yang Dipertua,
145. Sejak dulu lagi, Kerajaan ini sungguh prihatin terhadap
kebajikan dan kemajuan masyarakat Orang Asli. Untuk ini, sebanyak 300
juta ringgit disediakan
bagi melaksanakan:
Pertama: Pembangunan Perkampungan Bersepadu antaranya di Sungai
Siput, Perak yang merangkumi pembinaan jalan perhubungan, penyediaan
bekalan elektrik dan air terawat dengan peruntukan 80 juta ringgit;
Kedua: Bantuan makanan tambahan, wang saku dan tambang pengangkutan sekolah sebanyak 45 juta ringgit; dan
Ketiga: Projek
pembangunan ladang getah dan kelapa sawit serta tanaman kontan,
menerusi Projek Pembangunan Ekonomi Orang Asli sebanyak 25 juta ringgit.
146. Untuk golongan B40 lagi, program eRezeki dan eUsahawan akan
diperluaskan ke seluruh negara, untuk menambah peluang pekerjaan dan
meningkatkan pendapatan mereka. Kerajaan mensasarkan 100 ribu dari
kalangan B40 mendapat manfaat dengan peruntukan sebanyak 100 juta
ringgit, yang disediakan oleh Kementerian
Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Tuan Yang Dipertua,
147. Untuk Golongan Pesawah, Pekebun Kecil dan Penoreh Getah pula,
Bajet kali ini menyediakan 852 juta ringgit kepada RISDA dan FELCRA
untuk melaksanakan pelbagai program peningkatan pendapatan dan
produktiviti.
148. Kerajaan bercadang menambahbaik Insentif Pengeluaran Getah atau
IPG. Untukini, sukacita saya umumkan, paras pengaktifan IPG dinaikkan
daripada 4 ringgit 60 sen, kepada 5 ringgit 50 sen sekilogram, bagi
getah SMR20 Freight On Board. Bagi getah skrap atau cuplumps di
peringkat ladang pula, dinaikkan daripada 1 ringgit 75 sen, kepada 2
ringgit 20 sen sekilogram.
149. Sebagai ilustrasi, berdasarkan purata pengeluaran 250 kilogram
sebulan bagi setiap hektar, pemilik kebun seluas 2 hektar dijangka mampu
meraih
pendapatan seribu ringgit sebulan. Ini adalah pada harga pasaran getah skrap 2 ringgit sekilogram.
150. Kini, dengan bayaran tambahan IPG sebanyak 20 sen bagi setiap
kilogram, pendapatan keseluruhan pemilik kebun tersebut akan meningkat
kepada 1,100 ringgit sebulan.
Tuan Yang Dipertua,
201. Pokoknya,… bagi Kerajaan ini,… rakyat adalah segala-galanya.
Khabar bahagia sudahpun tiba. Maka, ingin saya umumkan, berkuatkuasa 1
Julai 2016, gaji minimum negara dinaikkan daripada 900 ringgit kepada
1,000 ringgit sebulan bagi Semenanjung, dan daripada 800 ringgit kepada
920 ringgit sebulan bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Gaji minimum ini melibatkan semua sektor, kecuali perkhidmatan domestik
atau pembantu rumah.
Tuan Yang Dipertua,
202. Tidak cukup sekadar itu,… bagi meringankan beban kos sara hidup
kepada semua penjawat awam, Kerajaan bersetuju dengan pemberian khas
sebanyak 500 ringgit kepada semua penjawat awam.
203. Manakala, bagi 700 ribu pesara Kerajaan pula, bayaran khas 250
ringgit disediakan. Kedua-dua bayaran ini, yang berjumlah hampir 1
bilion ringgit akan dibuat pada bulan Januari 2016.
Tuan Yang Dipertua,
204. Demikianlah, Kerajaan ini tanpa jemu-jemu dan putus-putus ingin
membuat kebaikan dan kebajikan kepada sekalian rakyat. Sejak dulu,
kesemuanya tidak terbina dengan mudah atau dalam sekelip mata. Ia
menuntut kesungguhan dan pengorbanan atas nama kebaktian pada nusa dan
bangsa.
205. Lalunya, berbicara tentang betapa susah dan jerih payahnya
membina Malaysia tercinta ini,… kita berasa kesal, bahkan sebenarnya,
kita amat-amat kesal, dengan tindak-tanduk tidak bertanggungjawab oleh
musuh dari dalam, mahupun luar, yang cuba mempalit dan merosakkan imej
negara ini.
206. Pada kita,… perbuatan segelintir pihak ini, akan hanya
memporak-perandakan, sampai boleh memusnahkan apa yang terbina selama
ini.
207. Waima, wujud sesetengah orang, yang kita sendiri kadang-kadang
tidak tersangka-sangka, atau terduga-duga, ibarat api di dalam
sekam,…menjadi gunting dalam lipatan.
Tuan Yang Dipertua serta Rakyat Malaysia Yang Dikasihi sekalian,…
208. Dalam menghela nafas keinsafan, saya perakui,… benarlah saya
ini seorang pemimpin, tetapi saya juga manusia biasa seperti saudara
saudari sekalian. Kita sama-sama ada kelebihan dan kelemahan di sana
sini.
209. Sayugia,… sambil merujuk-rujuk mafhum tafsir daripada surah
Yusuf, bahawa,… Tuhan tidak menyuruh kita berhenti dari berusaha,… Tuhan
juga tidak benarkan kita sesekali berputus asa dari rahmatNya,… dan
apatah lagi sesungguhnya,… Tuhan juga tetap menjanjikan kepada
hamba-hambanya yang berislah dan beriltizam, bahawa,… kejayaan pasti
menjelma jua.
210. Sebab itu,… Tuan yang Dipertua,… sudah menjadi adat orang
berjuang, pasti akan menempuh rintangan dan dugaan. Namun,… biar pun
berjuta gugatan menghalang, biar menggunung ombak mendatang, kita,…kita
tidak akan sesekali berputus harapan.
211. Kini,…Tuan Yang Dipertua, saya,… bersama-sama dengan Timbalan
Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,… berserta anggota
pentadbiran dan pimpinan-pimpinan Barisan Nasional,… sehati sejiwa,…
akan tetap tabah dan bertawakal meneruskan perjuangan yang mulia ini.
212. Nescaya, dengan dipersaksikan masa dan dineraca oleh waktu,… yang benar tetap benar,… sejarahnya kelak menjadi bukti.
213. Akhir kalam,… bak kata para hukama’,… yang indah-indah itu dari
Ilahi dan yang kurang itu sifat insani. Marilah kita berdoa kepada Maha
Pencipta, agar tiap sesuatu akan kembali pulih seperti sediakala.
Semoga Bajet ini dilimpah-limpah Rahmat-Nya dan membawa sentosa kepada
semua.
Tuan Yang Dipertua,
Saya mohon mencadangkan.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.