SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam
Perkhidmatan Awam Awam (Cuepacs) menyeru kesemua kira-kira 1.6 juta penjawat
awam melibatkan diri dalam sumbangan wakaf tunai melalui potongan gaji secara
berkala dan sukarela sempena Bulan Wakaf Kebangsaan.
Presidennya, Adnan Mat berkata, pembabitan penjawat awam itu
dapat mengukuhkan peranan wakaf sebagai salah satu elemen penting yang mampu
membantu meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.
"Langkah kerajaan meluluskan Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2020 untuk melakukan potongan gaji wakaf tunai secara sukarela bagi pegawai awam yang berkhidmat di persekutuan dan negeri merupakan satu kemudahan perlu dimanfaatkan oleh semua penjawat awam.
"Bayangkan sekiranya 1.6 juta penjawat awam menyumbang
purata RM10 seorang pada setiap bulan untuk sumbangan wakaf, sudah tentu
sekitar RM192 juta setahun mampu dikumpulkan ke dalam dana wakaf tersebut
melalui penjawat awam sahaja," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Adnan bagaimanapun menegaskan, usaha yang lebih berkesan
perlu dilakukan oleh kerajaan terutama Yayasan Wakaf Malaysia bagi menyakinkan
dan menggalakkan penglibatan penjawat awam terutama mereka yang bukan beragama
Islam.
"Cuepacs juga berharap Yayasan Wakaf Malaysia dengan
penglibatan majlis agama-agama Islam negeri melaksanakan pelbagai lagi
inisiatif bagi mengukuhkan penglibatan rakyat terutama masyarakat bukan Islam
supaya bersama-sama terlibat dalam pembangunan dana wakaf.
"Persepsi mengenai dana wakaf hanya khusus untuk umat
Islam sahaja perlu ditangkis dalam pemikiran rakyat melalui pendekatan yang
lebih mesra kepada masyarakat bukan Islam," jelas beliau.
Dalam konteks perkhidmatan awam pula, Adnan berkata, Cuepacs
berharap semua ketua jabatan perlu memainkan peranan aktif dalam menggalakkan
pegawai dan kakitangan terlibat dalam sumbangan wakaf tunai melalui potongan
gaji.
"Salurkan info secara jelas mengenai peranan dan
kepentingan berwakaf agar penjawat awam lebih jelas mengenai potongan gaji yang
mereka lakukan," ujarnya.
Katanya, salah faham mengenai wakaf hanya untuk orang Islam
dan hanya memberi manfaat kepada golongan itu sahaja harus diperbetulkan kerana
konsep wakaf adalah untuk kesejahteraan umat manusia secara keseluruhan.