SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

01 Julai 2021

Cuepacs gesa LPPSA beri moratorium

 Sinar Harian 
1 Julai 2021


SHAH ALAM - Kerajaan melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) digesa supaya menangguhkan sementara pembayaran balik pinjaman perumahan penjawat awam sebagaimana dilakukan oleh institusi kewangan di bawah selian Bank Negara.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, alasan bahawa penjawat awam dan pesara kerajaan masih menerima gaji penuh dan pencen tidak lagi releven atas beberapa faktor.

Menurutnya, ia termasuk mengambil kira terdapat pasangan penjawat awam yang pendapatan mereka juga berkemungkinan terjejas ketika pandemik Covid-19 ketika ini.

"Harus diingatkan tidak semua pasangan penjawat awam bekerja dalam sektor kerajaan dan dianggarkan lebih 50 peratus bekerja dalam sektor swasta, berniaga secara kecil-kecilan selain merupakan suri rumah sepenuh masa.

"Ada dalam kalangan mereka yang telah kehilangan kerja, terjejas pendapatan dan tidak lagi boleh berniaga berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berterusan daripada tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Selain itu, beliau berkata, kebanyakan penjawat awam juga memohon pinjaman LPPSA dengan mengemukakan pendapatan bersama pasangan masing-masing bagi membolehkan pembiayaan diluluskan.

"Jika tidak, sudah tentu pembiayaan penjawat awam ini sukar mendapat kelulusan apatah lagi dengan harga kediaman yang mahal ketika ini.

"Jadi sekiranya LPPSA membenarkan penangguhan bayaran pinjaman dilakukan, mereka yang terbabit akan mempunyai lebihan pendapatan yang boleh digunakan untuk merancang kembali kewangan serta membantu keluarga yang dalam kesusahan," katanya.

Adnan menambah, pandemik yang melanda negara lebih dari setahun ini sepatutnya membuka mata semua pihak khususnya agensi kerajaan untuk bersama-sama bersolidariti dengan rakyat.

Justeru katanya, pertimbangan serius wajar diberikan terhadap keperluan pemberian moratorium tersebut.

"Selain membolehkan penjawat awam yang terjejas merancang kembali kewangan mereka, lebihan wang tersebut boleh digunakan untuk membantu ahli keluarga, saudara mara dan masyarakat yang terjejas dengan pandemik Covid-19," katanya.


Tiada ulasan: