SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

08 April 2014

PENJAWAT AWAM PERLU UBAH SIKAP ELAK KETIRISAN

Bernama
8/4/2014



 KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Semua penjawat awam harus mengubah sikap dan mengambil iktibar daripada Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 bagi mengelak berlakunya ketirisan.
Bekas Ketua Pengarah Unit Pemodenan Pentadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Datuk Normah Md Yusof berpendapat isu yang timbul dalam setiap kementerian, jabatan dan syarikat kerajaan adalah disebabkan sikap individu itu sendiri.

Menurutnya, jika setiap individu mengamalkan sikap integriti dan amanah dalam menjalankan tugas, ketirisan mungkin dapat dikurangkan.

"Bayangkan jika sesuatu kementerian itu ada cawangan atau jabatannya di setiap negeri dan daerah, maka agak sukar untuk melakukan pengawasan. Sebab itulah pentingnya sikap integriti dan amanah itu ada dalam setiap penjawat awam ...tidak kisah menteri, ketua pengarah, mahupun pekerja biasa," katanya ketika dihubungi Bernama Selasa.

Sebanyak 109 syor dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 bagi membantu kementerian, jabatan dan syarikat kerajaan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti.

Laporan itu yang dibentang Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang di Dewan Rakyat pada Isnin mengandungi perkara yang telah diperhatikan hasil daripada pengauditan terhadap 17 program, aktiviti dan projek di bawah 14 kementerian dan jabatan serta pengurusan dua syarikat kerajaan.

Sementara itu, Penyelaras Program Sarjana Pentadbiran Awam, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Dr Noreha Hashim berpendapat penjawat awam perlu mempunyai kesedaran etika kerja bagi mengatasi masalah ketirisan.

"Selaku pensyarah yang mempunyai pelajar daripada sektor awam, saya dapati ada yang tidak tahu membezakan kuasa budi bicara sehingga menyebabkan berlakunya penyalahgunaan kuasa.

"Kerajaan perlu banyakkan latihan. Namun diakui sememangnya satu cabaran yang hebat kerana terdapat lebih 1.4 juta penjawat awam," katanya.

Namun Noreha memuji inisiatif kerajaan memastikan pengurusan sektor awam dilakukan secara telus dan terbuka walaupun tindakan itu mungkin mendatangkan keburukan apabila sesetengah pihak hanya menguar-uarkan laporan yang negatif.

"Menariknya adalah syor-syor yang dicadangkan dalam laporan itu. Jangan hanya pandang teguran yang negatif. Yang penting, kementerian dan jabatan yang diberikan teguran perlu muhasabah diri dan elak daripada melakukan kesilapan sama," katanya.

-- BERNAMA

3 ulasan:

Unknown berkata...

sekali lagi, ini semua salah pihak berkuasa melantik yang telah mengambil golongan bodoh, sampah sebegini menjadi pegawai kerajaan yang akhirnya merosakkan sistem pentadbiran, salah laku, rasuah sana sini, ketirisan dan sebagainya.

Unknown berkata...

sebab menteri2, jusa2 , bos2 di bawah kementerian makin duit rakyat . tu la pasal kakitangan yang menanggung beban bocorkan rahsia .. baru ada akal sikit orang atasan tu ..

Mahmood Adam berkata...

nak harapkan penjawat awam yang ubah sikap, mimpi le baiiii.. dia sama seperti cikgu yang pesan kepada anak muridnya yang nakal supaya jangan bising. adakah mereka akan senyap? tidak. mereka hanya senyap dan patuh apabila didenda, dihukum. begitu juga dengan penjawat awam. seharusnya suatu pekeliling baru diperkenalkan supaya penjawat awam yang rasuah dan kuat menyamun ni terus disingkirkan. nak tunggu sprm lengkapkan kertas siasatan, mimpi la pasal banyak sangat red-tape dia, dengan birokrasi pihak jabatan peguam lagi nak mendakwa dan sebagainya. kalau tak, rombak semula spa dan jpa tu supaya ditadbir oleh mereka yang benar-benar berintegriti dan mampu melantik dan mengesahkan pegawai yang benar-benar berintegriti. selagi kekalkan spa/jpa sedia ada ni yang diketahui ada musuh dalam selimut di dalamnya yang mengambil suku sakat sendiri sebagai penjawat awam, maka sampai bila-bila ketirisan tetap akan berlaku kerana ianya berpuca dari seawal pengambilan pekerja lagi!