Azih Muda Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmat­an Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda berkata, pihak­nya juga amat menyokong dan berpendirian tindakan kerajaan untuk terus membantu semua golongan terutama belia mendapatkan pekerjaan sebagai satu tindakan wajar.
Namun katanya, apa yang lebih penting, kerajaan disaran menilai segala aspek mengenai pengambilan pekerja asing di setiap agensi yang secara tidak langsung memberi impak kepada rakyat tempatan untuk mendapatkan pekerjaan.

“Saya lihat di bidang perhotelan atau katering, kebanyakan majikan mengambil pekerja asing untuk bekerja. Sepatutnya pekerjaan tersebut diisi rakyat tempatan, namun sebaliknya majoriti adalah pekerja asing.

“Saya bimbang sekiranya perkara ini tidak mendapat perhatian dari semua pihak, sudah pasti kadar pengangguran di negara kita meningkat secara drastik hampir setiap tahun kerana kita menghasilkan ramai siswazah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.Beliau mengulas usaha Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama majikan yang sedang mencari pekerjaan sesuai untuk 400,000 generasi muda yang layak bekerja tetapi masih menganggur di seluruh negara.

Jumlah itu mewakili kira-kira 2.8 peratus daripada 14.2 juta rak­yat negara ini yang berkelayakan dan mempunyai pekerjaan tetap.Menurut Azih, sistem Pekerja Khidmat Singkat (PKS) juga perlu diterapkan di setiap agensi kerajaan mahupun swasta bagi membuka dan menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang masih tidak bekerja.
“Kaedah ini dipercayai mampu membantu dan memberi pekerjaan kepada mereka serta dapat mengurangkan kadar pengangguran sekali gus memberi pengalaman terutama kepada generasi muda lepasan universiti.

“Melalui kontrak PKS, setiap pekerja akan dilatih mengikut skop kerja yang bersesuaian bergantung dengan latar belakang pendidikan mereka dan berkemungkinan besar akan terus diserap masuk sebagai pekerja tetap mengikut prestasi kerja masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Ma­laysia (MTUC), Mohd. Khalid Atan berkata, pihaknya mengalu-alukan tindakan kementerian yang komited untuk membantu generasi muda mendapatkan pekerjaan sesuai bagi yang layak.Walaubagaimana pun katanya, peluang pekerjaan mesti diperbanyakkan bagi menampung permintaan terutama oleh rakyat tempatan.

Katanya, semua pihak sedia maklum pada setiap tahun, siswazah yang keluar dari universiti meningkat dan kerana itu kerajaan seharusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berdasarkan kategori bermula pada tahap profesional, pertengahan dan bawahan.“Hal tersebut bertujuan mengimbangi dan mengurangkan kadar peratusan pengangguran yang berlaku di negara kita.

“Saya juga menggesa kerajaan mengehadkan dan mengawal pengambilan pekerja warga asing bagi setiap agensi bagi memastikan warga tempatan berpeluang bekerja di negara sendiri sekali gus mengurangkan kadar pengangguran,” katanya.