Kosmo
29/11/2015
KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan
Awam (CUEPACS) berharap mekanisme baharu yang bakal mengatasi masalah
duka lara guru-guru di Malaysia dapat dipraktikkan terhadap penjawat
awam lain.Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, langkah yang sama sebenarnya
turut relevan untuk digunakan ke atas 1.6 juta lagi kakitangan awam di
pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.
Menurut beliau, pihaknya menyambut baik langkah Kementerian
Pendidikan yang mahu memastikan guru-guru di negara ini tidak berjauhan
dengan isteri dan keluarga masing-masing.“CUEPACS amat berterima kasih kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri
Mahdzir Khalid kerana melihat perkara ini sebagai satu masalah yang
membebankan para guru dan mahu diselesaikan secepat mungkin.
“Kami rasa langkah ini sememangnya amat tepat dan wajar untuk
dilaksanakan bukan sahaja kepada guru malah juga kepada kakitangan awam
yang turut menghadapi masalah serupa," jelasnya kepada Kosmo! semalam.Menurut Azih, banyak impak positif diperoleh sekiranya masalah ini
diatasi termasuk meningkatkan produktiviti kerja, taraf hidup dan
motivasi penjawat-penjawat awam yang selama ini berjauhan dengan insan
tersayang.
“Jabatan Perkhidmatan Awam perlu melihat perkara ini sebagai sesuatu
yang penting kerana ia melibatkan keperluan dan keharmonian kekeluargaan
selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu rakyatnya hidup dalam keluarga
yang bahagia.“Selain itu, ia juga dapat menjimatkan kos sara hidup dan
perbelanjaan penjawat awam tersebut yang kerap berulang-alik dari dua
negeri berjauhan bagi berjumpa isteri atau anak-anak mereka," ujarnya
lagi.
Bagaimanapun Azih memberitahu, pendekatan ini seharusnya diguna pakai
terhadap penjawat awam yang telah berkahwin atau yang telah bekerja di
sesuatu tempat itu dalam tempoh yang lama seperti askar atau polis.“Kakitangan yang bekerja dalam perkhidmatan guna sama juga boleh
dipertimbangkan kerana mereka boleh berpindah atau ditukarkan ke
pelbagai agensi kerajaan lain dengan jawatan atau tugas yang sama,"
tambah Azih.