Bernama
2/6/2016
PUTRAJAYA, 2 Jun (Bernama) -- Kerajaan bersetuju untuk mengurangkan
waktu rehat penjawat awam selama setengah jam sepanjang bulan Ramadan,
kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
"Langkah ini diambil bagi memberikan kemudahan kepada mereka untuk
memanfaatkan bulan Ramadan yang mulia ini bagi menjalani tanggungjawab
ibadah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi melaksanakan perkara itu, Ali berkata kerajaan bersetuju untuk
menambah Waktu Peringkat (WP) dalam jadual Waktu Bekerja Berperingkat
(WBB) sedia ada di semua agensi kerajaan persekutuan.
Ali dalam kenyataan itu turut menyertakan panduan berhubung pelaksanaan
WBB pada bulan Ramadan di negeri-negeri seperti Wilayah Persekutuan
(Kuala Lumpur dan Putrajaya), Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor,
Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang yang Sabtu dan Ahad merupakan hari
rehat mingguan.
Waktu pejabat bagi negeri-negeri tersebut adalah dari pukul 7.30 pagi
hingga 5.00 petang manakala waktu rehat dari pukul 1.00 hingga 1.30
tengah hari (Isnin hingga Khamis) dan 12.30 tengah hari hingga 2.30
petang (Jumaat).
Bagi negeri-negeri lain iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Johor,
Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak, Ali berkata WBB pada
bulan Ramadan boleh dirujuk melalui Surat Pekeliling Perkhidmatan
Bilangan 1 Tahun 2016.
Katanya surat pekeliling itu akan dimuat naik ke Portal Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) http://www.jpa.gov.my oleh JPA
"Pelaksanaan pengurangan waktu rehat ini tidak akan menjejaskan aktiviti
dan operasi sistem penyampaian perkhidmatan awam sepanjang bulan
Ramadan kerana pelaksanaan ini tidak mengubah tempoh waktu bekerja
penjawat awam sedia ada." katanya.
Ali turut berharap semua penjawat awam akan terus memberikan
perkhidmatan yang cemerlang dan berdedikasi bagi memastikan sistem
penyampaian perkhidmatan awam sentiasa cekap dan berkesan dalam memenuhi
jangkaan rakyat.
-- BERNAMA