SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

16 Ogos 2009

CUEPACS MAHU CUTI KHAS

Utusan Malaysia
15/8/2009




MELAKA 15 Ogos - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta cuti khas tujuh hari yang diberikan kepada kakitangan awam yang dijangkiti virus selesema babi atau influenza A (H1N1) tidak ditolak daripada jumlah cuti rehat tahunan.
Selain itu Presidennya, Omar Osman berkata, pihaknya mahu kerajaan mempertimbangkan pemberian bayaran insentif khas kepada kakitangan awam yang bertugas membuat pemeriksaan kesihatan virus H1N1 di semua pintu masuk negara.
Katanya, pemberian insentif itu perlu kerana golongan berkenaan merupakan kelompok kumpulan yang berisiko tinggi dijangkiti virus tersebut.
''Kita juga mahu apabila sesebuah sekolah diarah tutup akibat wabak H1N1, bukan hanya pelajar dan guru bercuti tetapi perlu melibatkan pekerja lain di sekolah berkenaan.
''Ini kerana kita mendapat laporan daripada ahli kita dalam kes H1N1 ini, ada sekolah yang diarah tutup tetapi pekerja tetap diminta datang bekerja," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-32 Kesatuan Pekerja-Pekerja Kerajaan Melaka di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau turut menggesa jabatan dan agensi kerajaan mengadakan taklimat khas kepada kakitangan awam berhubung perkembangan wabak H1N1 dari semasa ke semasa bagi membolehkan mereka mengambil langkah kesihatan sewajarnya.
Omar berkata, walaupun kes kematian di negara ini disebabkan H1N1 semakin meningkat namun masih terdapat di kalangan kakitangan awam yang melihat perkara itu sebagai isu remeh.
''Hasil tinjauan CUEPACS mendapati masih ramai penjawat awam tidak mengambil langkah pencegahan seperti memakai penutup muka dan hidung serta menggunakan sabun untuk mencuci tangan," katanya.
Oleh itu, beliau menggesa ketua jabatan mengambil langkah menyediakan kemudahan penutup mulut dan hidung serta sabun bagi kegunaan kakitangan awam.


Tiada ulasan: