SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

12 Ogos 2009

SENTRAL : FOMCA PUPUK SEMANGAT INTEGRASI NASIONAL

Berita Harian
11/8/2009


KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) baru-baru ini melancarkan kempen 'Perpaduan Teras Kepenggunaan' bertujuan untuk memupuk semangat integrasi nasional di kalangan rakyat selaras inspirasi 1Malaysia. Majlis pelancaran kempen berkenaan yang juga bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan sepanjang bulan ini, disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe. Pada majlis itu, orang ramai dipelawa meletakkan tapak tangan mereka yang diwarnakan dengan cat ke atas kain pemidang sepanjang 13 meter dan 1.3 meter lebar, menghasilkan sebanyak 800 cetakan tapak tangan terdiri daripada rakyat pelbagai kaum serta peringkat umur.
Kempen itu adalah sebahagian daripada program Kempen Konsumer Kebangsaan (3K) yang dianjurkan Fomca dengan kerjasama Majlis Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO), Majlis Belia Malaysia (MBM), Cuepacs serta Petronas. Pada pelancaran kempen itu, turut diadakan majlis penyampaian hadiah untuk lapan pertandingan Hari Pengguna Malaysia 2009 yang dianjurkan dan keseluruhan menawarkan hadiah RM180,000. Fomca menerima 21,351 penyertaan sepanjang tempoh tiga bulan lapan pertandingan kepenggunaan itu berlangsung dari Mei hingga Julai lalu. Tidak ketinggalan, pertandingan mewarna peringkat akhir yang disertai seramai 550 kanak-kanak, pameran, demonstrasi anjing K9 dan pertolongan cemas daripada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).
Selain itu, Fomca turut mengadakan program menulis mesej `Apa Yang Saya Banggakan Sebagai Rakyat Malaysia’ di mana 1,500 mesej sudah terkumpul setakat ini. Mereka yang berminat boleh berbuat demikian menerusi laman web beralamat http://www.kkk.org.my.

Tiada ulasan: