Utusan Malaysia
10/3/02014
MAHMOOD ADAM
DALAM tempoh dua bulan pertama tahun ini,
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) telah menerima lebih
setengah juta permohonan untuk berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan.Jumlah itu adalah satu peningkatan mendadak jika dibandingkan dengan 2.1 juta permohonan sepanjang 2013.
Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM dan
jurugambar, QAMARUL RIZAL di Putrajaya baru-baru ini, Pengerusi SPA,
TAN SRI MAHMOOD ADAM menjelaskan peningkatan itu adalah hasil program
transformasi yang bertujuan merakyatkan perkhidmatan awam dan
meningkatkan kecekapan suruhanjaya itu.
Boleh ceritakan latar belakang SPA?
MAHMOOD: Ia ditubuhkan pada 31 Ogos 1957 iaitu sama umur dengan kemerdekaan negara yang sudah nak masuk 57 tahun.Terdapat enam tugas SPA yang termaktub dalam Perkara 144(1)
Perlembagaan Persekutuan termasuk urusan melantik lebih kurang 70
peratus daripada keseluruhan 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara.
Urusan pelantikan lain dilakukan oleh pihak berkuasa lain iaitu
seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Suruhanjaya Pasukan Polis,
Majlis Angkatan Tentera dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan
Perundangan.SPA juga tidak terlibat dalam pelantikan kakitangan badan berkanun
seperti universiti, Felcra, Felda dan juga pihak berkuasa tempatan.Pelantikan di peringkat negeri juga tidak dilakukan oleh SPA kecuali di Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka.
Di sembilan negeri lain, ia dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan
Negeri (SPN) masing-masing iaitu Johor, Selangor, Perak, Kedah,
Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.Tugas lain adalah pengesahan dalam perkhidmatan, pemberian taraf
berpencen, kenaikan pangkat, pertukaran perkhidmatan dan kawalan
tatatertib.
Difahamkan banyak transformasi dilaksanakan SPA?
Setakat ini kita sudah ada 75 transformasi. Ia selaras dengan gagasan
1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Maknanya apa
sahaja dasar atau peraturan baharu yang kita nak buat hendaklah bagi
memenuhi kehendak rakyat.Ia juga selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang
menekankan supaya penjawat awam mempunyai sikap, cara bekerja dan cara
berfikir yang sesuai dengan kehendak rakyat sekarang.
Inisiatif ini juga dibentuk dengan tujuan merakyatkan perkhidmatan dan meningkatkan kecekapan SPA.Transformasi ini berasaskan tujuh prinsip iaitu tidak melibatkan
pertambahan peruntukan kewangan, tidak memerlukan pertambahan jawatan
dan tidak perlu kepada pindaan undang-undang. Prinsip lain adalah berasaskan pendekatan yang popular dan sangat
dikehendaki oleh orang ramai terutama pemohon pekerjaan, pelaksanaan
yang menghasilkan impak menang-menang, bersifat besar dan mempunyai
titik sentuhan.
Apakah contoh transformasi yang dibuat?
Kita telah panjangkan tempoh sah laku permohonan pekerjaan secara dalam talian (online) daripada setahun kepada lima tahun. Kalau pemohon terlupa untuk membuat permohonan baharu selepas
setahun, mereka masih berpeluang untuk dipanggil menghadiri temu duga. SPA juga mengadakan sesi temuduga pada waktu malam, hujung minggu dan
secara panggilan telefon untuk kemudahan pemohon yang tidak dapat hadir
pada waktu siang atau ketika hari bekerja.
Transformasi ini bersifat menang-menang kerana menggalakkan lebih
ramai orang memohon pekerjaan sebagai penjawat awam dan pada masa sama
memberi lebih banyak pilihan kepada SPA untuk memilih calon terbaik. Kita juga membenarkan pemohon mendaftar sebanyak mana jawatan
kerajaan yang dikehendaki dan bukannya maksimum 15 jawatan sahaja
seperti sebelum ini. Kita turut menghapuskan dasar One Step Lower bagi membolehkan calon
berkelayakan lebih tinggi memohon jawatan gred rendah yang memerlukan
kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.Mereka yang ditawar jawatan oleh SPA tetapi telah menolaknya sebelum ini juga tidak akan disenarai hitam.
Apa lagi transformasi yang akan dilaksanakan?
Kita sedang mengkaji semula 1,113 peraturan SPA bagi memastikan ia
tidak bertindih dan masih relevan pada masa sekarang. Kita akan
permudahkan peraturan terbabit supaya berpihak kepada penjawat awam dan
mereka yang memohon pekerjaan. Sejak Januari tahun ini, SPA turut mengadakan kursus percuma setiap
Sabtu di seluruh negara bagi menerangkan kepada mereka yang berminat
mengenai ciri-ciri pegawai kerajaan yang dikehendaki. Sepanjang dua
bulan pertama tahun ini, jumlah kehadiran melebihi 7,000 orang di
seluruh negara.
Antara ciri yang disenaraikan adalah cepat, tepat dan berintegriti
(CTI); produktif, kreatif dan inovatif (PCI) serta bersifat setia,
berfikiran terbuka dan memudahkan rakyat (LOF). Mereka juga diajar cara-cara menghadapi sesi temu duga SPA yang
berdasarkan kepada kaedah Temuduga Berasaskan Kompetensi (CBI) dan
psikometrik, cara-cara menjawab soalan peperiksaan dengan betul dan
sukatan pelajaran yang kita gunakan.
Apakah transformasi paling besar?
Ia adalah transformasi ke-75 yang dijangka mula dilaksanakan pada Jun
ini melibatkan peperiksaan penjawat awam secara dalam talian. Langkah-langkah keselamatan akan diperkenalkan bagi membolehkan
peperiksaan melalui kaedah ini dijalankan dan tidak berlaku sebarang
penipuan. Kalau berlaku penipuan pun, kita masih mempunyai mekanisme untuk mengesannya iaitu ketika temu duga dan sesi penilaian lain.
Sebagai permulaan, peperiksaan dalam talian ini akan diadakan secara
kecil-kecilan tanpa membabitkan penjawat awam yang ramai sebelum
diperluas melibatkan peperiksaan paling besar iaitu Pegawai Tadbir dan
Diplomatik (PTD) yang boleh mencecah 70,000 orang.Peperiksaan dalam talian ini akan menjimatkan duit kerajaan
sekurang-kurangnya RM1.5 juta setahun. Kita juga dapat menjimatkan masa,
tenaga kerja dan kertas. Pegawai kita juga tidak perlu lagi pergi ke
universiti luar negara bagi menguruskan peperiksaan untuk rakyat
Malaysia yang merupakan pelajar tahun akhir di sana.
Bagaimana cara untuk memastikan individu mempunyai rekod jenayah tidak diambil bekerja?
Kalau dahulu, kakitangan awam akan menjalani tapisan keselamatan
semasa mereka dalam tempoh percubaan iaitu antara satu hingga tiga
tahun, sebelum disahkan jawatan. Ini bermakna tapisan dibuat semasa
mereka sudahpun masuk ke dalam perkhidmatan awam.Tetapi dengan transformasi yang dibuat, kita melaksanakan tapisan
keselamatan sebelum calon menerima surat lantikan. Ini melibatkan
tapisan taraf kewarganegaraan, status kebankrapan dan rekod jenayah.
Untuk tujuan itu, kita sudah wujudkan Sistem Semakan Maklumat
Individu (SSMI) dengan kerjasama polis, Jabatan Pendaftaran Negara,
Jabatan Insolvensi, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan
Malaysia (MAMPU) serta agensi kerajaan lain. Sejak dilancarkan pada tahun lepas, kita telah tapis kira-kira 37,000
pemohon dan terdapat 27 kes yang tersangkut kerana mempunyai rekod
tidak memuaskan.
Berapakah jumlah permohonan pekerjaan yang diterima?
Untuk Januari dan Februari tahun ini, kita telah menerima 553,365
permohonan. Sepanjang tahun lepas pula, jumlah permohonan ialah 2.1
juta. Ini adalah satu peningkatan besar dan puncanya besar kemungkinan
pertama, mereka tertarik dengan gaji tinggi yang ditawarkan kerajaan.
Keduanya, kerana tertarik dengan kemudahan-kemudahan yang diterima
pegawai kerajaan dan ketiga, saya percaya mereka tertarik dengan
ketelusan sistem pengambilan kakitangan kerajaan oleh SPA.
Pada 2013, kita sudah melantik 60,059 orang sebagai kakitangan
kerajaan. Proses pengambilan ini dibuat secara berterusan apabila
terdapat kekosongan jawatan.
Apakah langkah untuk menarik lebih ramai bukan Melayu?
Kita telah menyiarkan iklan kekosongan jawatan di akhbar-akhbar Cina
dan Tamil serta mengadakan pertemuan dengan wakil media terbabit. SPA juga telah mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji penyertaan
kaum Cina dan India dan berjumpa dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
yang mewakili kaum itu secara berkala bagi mendapat pandangan mereka
mengenai cara-cara menarik bukan Melayu serta mengubah persepsi negatif
kaum berkenaan terhadap perkhidmatan awam.
Pegawai SPA juga pergi memberi penerangan di institusi pendidikan
yang mempunyai ramai kaum Cina dan India seperti Universiti Tunku Abdul
Rahman (UTAR) dan Kolej Tafe. Kita juga telah mengadakan taklimat
kerjaya di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dengan kerjasama Gabungan
Persatuan Cina Malaysia.
Berapakah pecahan angka pengambilan mengikut kaum?
Pada tahun lepas, kita menerima 1.7 juta permohonan daripada orang Melayu; 44,633 Cina; 75,361 India dan 295,461 kaum lain. Pemohon Melayu yang dipanggil temu duga seramai 212,913 orang;
daripada jumlah itu hanya 149,906 orang hadir manakala 45,392 orang
berjaya mendapat pekerjaan.Peratus kejayaan pemohon Melayu berdasarkan bilangan yang hadir temu duga dengan yang dilantik adalah 30.28 peratus.
Seramai 7,262 pemohon Cina dipanggil temuduga; namun hanya 4,694
orang hadir dan daripada jumlah itu, 2,901 orang berjaya. Peratus
kejayaan adalah 61.80 iaitu yang tertinggi. Daripada 7,373 orang pemohon India yang dipanggil temu duga pula,
sejumlah 4,960 orang hadir dengan 2,018 orang berjaya memperoleh
pekerjaan iaitu kejayaan 40.69 peratus.
Untuk dua bulan pertama tahun ini pula, kita menerima 440,019
permohonan daripada Melayu; 7,763 Cina; 14,622 India dan 90,961 kaum
lain.Yang kita telah lantik secara tetap, Melayu sebanyak 3,863 orang; Cina 223 orang; India 324 orang dan kaum lain 848 orang.