SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

22 Jun 2014

PERLAKSANAAN GST MEMBOLEHKAN KERAJAAN TIMBANG PERMINTAAN PENJAWAT AWAM - NAJIB

Bernama
21/6/2014




MELAKA, 21 Jun (Bernama) -- Pertambahan hasil daripada pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan membolehkan kerajaan menimbang pelbagai permintaan termasuk kenaikan elaun penjawat awam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kerajaan memerlukan hasil tambahan baharu bagi memenuhi permintaan itu dan sistem GST yang lebih telus serta efisien dilihat dapat membantu menambah hasil kerajaan. "Kalau Presiden Cuepacs (Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam) nak minta tambah elaun dan sebagainya, saya sebagai Menteri Kewangan perlu cari hasil tambahan, barulah boleh saya pertimbangkan.

"Kita tidak boleh pinjam duit daripada institusi kewangan seperti Bank Dunia nak bayar gaji, elaun... tak boleh, resepi itu boleh membawa kepada bencana ekonomi," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Hari Pekerja 2014 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini, Sabtu. Katanya rasional pelaksanaan GST perlu difahami masyarakat di setiap peringkat sebagai suatu sistem yang mendatangkan kebaikan kepada negara dan rakyat.

Najib turut menegaskan pelaksanaan GST bukan untuk membebankan rakyat sebaliknya untuk memperkukuhkan hasil negara yang kemudian diagihkan kembali kepada rakyat. "Bukan semua barang akan naik (dan) bukan semua perkhidmatan akan naik (disebabkan GST), banyak barangan perkhidmatan asas akan dikecualikan daripada GST, inilah yang patut kita faham," katanya.

GST diumumkan Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2014 di Parlimen Oktober tahun lepas dan akan dilaksanakan mulai 1 April 2015, menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan. Sistem cukai baharu itu menetapkan enam peratus kadar cukai berbanding cukai jualan dan perkhidmatan berjumlah 16 peratus.

Sementara itu, mengulas Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dikhuatiri Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bakal memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara dan warga pekerja, Najib berkata negara yang menyertai TPPA mempunyai kelebihan tertentu terutamanya dalam perkara melibatkan pelaburan dan pasaran.

"Malaysia tiada pasaran domestik yang besar seperti Indonesia atau China, kita bergantung kepada pasaran dunia, kalau kita hilang daya saing maka jumlah pelaburan dalam negara akan merudum dan akhirnya tidak berjaya menambah pekerjaan atau menaikkan kualiti pekerjaan ke peringkat lebih tinggi lagi," katanya.

Namun, beliau berjanji akan melakukan yang terbaik untuk rakyat serta tidak akan membuat keputusan sehingga mengorbankan kepentingan negara.

-- BERNAMA



15 Jun 2014

BERMULA MUSIM BERSENGKANG MATA, BERKORNAM TIDUR

Utusan Malaysia
AWAL pagi Jumaat semalam bermulalah Piala Dunia 2014, edisi ke-20. Brazil, selaku tuan rumah membuka tirai kejohanan bola sepak terulung di atas muka bumi ini bertemu Croatia. Seperti dijangka tuan rumah menang selesa 3-1.Selama sebulan akan datang, rutin seharian peminat bola sepak akan berubah. Tidak kiralah sama ada dia peminat bola tegar atau peminat ikut-ikutan. 

Oleh kerana jadual perlawanan pusingan awal kejohanan ini ada tiga sesi iaitu pukul 12 tengah malam, 3 pagi dan 6 pagi, para penonton di Malaysia kena bangkit pada salah satu waktu itu untuk memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.Rutin harian yang terjejas teruk ialah rutin tidur. Waktu tidur perlu diatur sama ada diawalkan, dilewatkan atau tidak tidur terus.

Kalau pasukan pilihan mereka bermain pada pukul 12 tengah malam dan tamat dua jam kemudian, mereka ada empat atau lima jam untuk tidur sebelum ke tempat kerja.Itupun kalau pasukan pilihan menang. Kalau kalah, silap-silap langsung tidak lena sampai ke pagi. Jika perlawanan bermula pukul 3 pagi pula, masih ada tiga atau empat jam untuk tidur sebelum perlawanan bermula. Itupun bagi yang biasa ‘tidur sikit-sikit.’ Bagi yang `tidur banyak’ dan cepat nyenyak, tolong kunci jam loceng masing-masing!

Bagi yang masuk pejabat pukul 8 atau 9 pagi, lupakanlah perlawanan yang bermula pada pukul 6 pagi. Pukul 6 pagi adalah waktu anda menghidupkan enjin kereta untuk ke tempat kerja. Pada ketika itu perlawanan baru bermula.Dengan bahasa mudah, musim bola sepak Piala Dunia adalah musim semua peminat bola sepak berkorban. Dalam sebulan ini mereka berkorban macam-macam. Antaranya mengurangkan tidur kerana berjaga malam hingga ke dini hari. Mereka bersengkang mata menunggu siaran langsung perlawanan pasukan pilihan.

Sebahagiannya pula mengorbankan masa berkualiti bersama anak isteri semata-mata mahu ‘qada’ tidur.Tanpa memerlukan satu kajian khusus, musim bola sepak Piala Dunia adalah musim di mana graf kualiti, kuantiti dan produktiviti kerja seharian menunjukkan trend menurun. Sesetengahnya menjunam dan merudum.Pada musim ini graf menguap, mengantuk dan mudah lena menunjukkan peningkatan ketara. Perkara ini normal, bukan luar biasa dan berlaku di mana-mana.Apabila sudah mengantuk khususnya pada waktu pejabat, pelbagai idea timbul. Ada yang mencuri-curi tidur kucing di atas mangkuk tandas. Surau pejabat atau masjid juga menjadi tempat tumpuan biasanya pada waktu makan tengah hari.

Bagi yang mahu tidur dengan tenang mereka memilih tempat letak kereta. Hidupkan enjin kereta, baringkan tempat duduk, pasang pendingin hawa paling maksimum dan tidurlah tanpa gangguan untuk sejam dua..Menyedari perkara inilah, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) awal-awal lagi sudah menasihati ahli-ahlinya supaya sentiasa segar dan cergas bekerja walaupun menonton siaran langsung pada waktu dini hari.

Presidennya Azih Muda meminta penjawat awam yang mahu menonton perlawanan yang disiarkan selepas pukul 3 pagi memilih tidur malam lebih awal supaya memperoleh tidur yang mencukupi.Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) (Operasi) Datuk Seri Zainal Rahim Seman juga memberikan nasihat yang sama.Penjawat awam mesti mematuhi peraturan kerja sepanjang musim Piala Dunia 2014 ini. Minat kata beliau, tidak seharusnya menjejaskan prestasi dan tugas mereka. 

"Kalau masuk kerja pukul 8 pagi, maka masuklah kerja pukul 8 pagi dengan penuh dedikasi seperti mana mereka menonton Piala Dunia itu dengan penuh dedikasi,’’ kata beliau."Pusingan kedua yang melibatkan 16 pasukan terbaik akan bermula pada 29 Jun, tarikh yang sama umat Islam mula berpuasa. Cabaran menonton perlawanan bola sepak pada bulan Ramadan lagi besar. Bezanya, waktu sahur tahun ini bertemankan siaran langsung bola.Bagaimanapun semua itu terpulang kepada seseorang individu. Mereka yang bijak merancang jadual, masih boleh menikmati keseronokan menonton kejohanan ini tanpa mengorbankan kesihatan, kualiti serta produktiviti kerja.Mereka yang bijak juga tidak akan mensia-siakan keberkatan Ramadan yang datang setahun sekali.

KESATUAN GURU ANGGAP MASLAH DISIPLIN PELAJAR SERIUS

Bernama
14/6/2014



KANGAR, 14 Jun (Bernama) -- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) mentakrif masalah disiplin pelajar kini mencapai tahap serius dan mahu Kementerian Pelajaran menubuhkan pasukan petugas untuk menanganinya.

Setiausaha Agungnya Lok Yim Pheng turut menggesa Kementerian Pelajaran mengumumkan keputusan peraturan baharu yang memberi lebih kuasa kepada sekolah untuk mengawal disiplin pelajar, yang dibincangkan sejak empat tahun lepas.

Beliau berkata penubuhan pasukan petugas itu tidak boleh dilengahkan lagi memandangkan disiplin pelajar semakin meruncing sehingga tidak terkawal akibat pengaruh pelbagai unsur tidak sihat khususnya Internet.

"KPPK bukan sekadar prihatin malah bimbang dengan perkembangan tidak sihat ini dan sebab itu mahu berkongsi dengan pihak-pihak berkepentingan agar tindakan berkesan dapat dilaksanakan dalam mengawal disiplin pelajar.

"Budaya buli sama ada buli melalui siber atau buli fizikal tidak boleh dipandang ringan kerana ia merosakkan pelajar," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat KPPK cawangan Perlis di sini pada Sabtu.

Lok yang juga Setiausaha agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata pelajar nakal merupakan perkara biasa tetapi apabila berlaku kejadian buli atau pergaduhan berkumpulan dan satu kumpulan memukul seorang pelajar ia merupakan kes serius.

"Masalah disiplin dicetuskan oleh banyak pelajar yang banyak menghabiskan masa melayari Internet, mengakses bahan tidak bertapis seperti lucah dan main permainan video. Masalah ini lebih berat apabila guru terbabit sama menghabiskan masa bersembang di Internet.

"Perkembangan ini mulai menjadi budaya dan akhirnya pelajar yang dihasilkan tidak berkualiti serta tidak mahir untuk menjadi warganegara cemerlang," tambahnya.

Beliau berkata selain sikap ibu bapa yang membawa kepada punca disiplin pelajar tidak terkawal, ia juga disebabkan guru tidak diberi hak untuk merotan pelajar untuk mendisiplinkan mereka.

Katanya antara sebab KPPK ingin berkongsi perkembangan ini dengan badan-badan bukan kerajaan seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ialah supaya mereka serius untuk terlibat membantu membaiki disiplin pelajar.

KPPK akan terus mendesak Kementerian Pelajaran untuk melantik seorang guru sebagai ketua guru disiplin yang diberi kuasa dan tanggungjawab untuk mengambil tindakan khususnya terhadap pelajar samseng.

Dalam perkembangan semasa, Lok turut mengingati guru supaya tidak lalai melaksanakan tanggungjawab dalam keghairahan menonton kejohanan bola sepak Piala Dunia.

"Saya harap guru-guru tidak terbabit dengan perjudian bola sepak dan pastikan masa tidur mencukupi apabila sesi persekolahan bermula Ahad atau Isnin ini," katanya.

-- BERNAM

11 Jun 2014

DATO ABDUL AZIZ BIN SULTAN BEKAS PRESIDEN CUEPACS TELAH MENINGGAL DUNIA

Media cuepacs
11/6/2014






Al-Fatihah

Assalammualaikum dengan sedih diberitakan bahawa Dato Abdul Aziz bin Sultan, bekas PresidenCUEPACS, telah meninggal dunia pada jam 11:15 malam tadi 10 June 2014. Jenazah berada di No. 28, Jalan Nirwana 39, Taman Nirwana 68000 Ampang.

07 Jun 2014

SYOR NAIK GAJI TAK DILAKSANA

Berita Harian
6/6/2014



Kuala Lumpur: Cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya gaji penjawat awam dinaikkan 30 peratus tidak mungkin dilaksanakan kerana ia membabitkan implikasi kewangan yang tinggi.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, berkata permintaan kenaikan itu selaras pelaksanaan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) mulai April tahun depan juga sama sekali tidak rasional

Katanya, ini kerana sistem GST tidak akan memberi kesan kenaikan kos harga barang sehingga 30 peratus, sebaliknya ia memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat berikutan pelbagai barangan dan perkhidmatan juga masih dikecualikan GST.
Sistem GST tidak akan memberi kesan kenaikan kos harga barang sehingga 30 peratus, sebaliknya ia memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat” Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan

Bukan alasan munasabah

“Saya tak rasa ia alasan munasabah untuk meminta menaikkan gaji kakitangan awam sehingga 30 peratus dengan memberi perbandingan GST.

“Jika itu dimaksudkan CEUPACS, mungkin elok jika mereka menghadiri lebih banyak majlis penerangan GST supaya lebih faham,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Ke-57 di sini, semalam.

CUEPACS sebelum ini mencadangkan supaya kerajaan menaikkan 30 peratus gaji penjawat awam bagi membolehkan mereka menikmati agenda dan transformasi kerajaan dengan baik selain persediaan kepada pengenalan GST.
Mengulas lanjut, Ahmad menggesa penjawat awam lebih proaktif dengan mencari maklumat yang benar mengenai cukai berkenaan.

“Kalau penjawat awam sendiri tiada inisiatif untuk kaji dan teliti mengenai GST, macam mana pula dengan rakyat? Sepuluh tahun tidak mahu ambil tahu, maka selama itulah mereka tidak akan faham apa itu GST,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata tindakan JPPH memulakan usaha penilaian Harta Intelek pada Jun tahun lalu telah menjadikan Malaysia negara pertama di rantau Asia Tenggara dalam menerajui bidang berkenaan.

Katanya, penubuhan Unit Penilaian Harta Intelek bertujuan menilai kepentingan aspek paten, reka bentuk industri dan hak cipta, sekali gus mampu memberi peningkatan kepada ekonomi negara.

NASIHAT CUEPACS KEPADA PEMINAT BOLA DALAM PERKHIDMATAN AWAM

Berita Harian
6/6/2014




KUALA LUMPUR: Cuepacs yang bimbang dengan demam Piala Dunia yang melanda negara empat tahun sekali, hari ini menasihatkan penjawat awam supaya memastikan mereka tetap segar dan cergas bekerja, walaupun akan menonton siaran langsung perlawanan bola sepak itu waktu dinihari.

Presiden Cuepacs, Azih Muda, berkata penjawat awam yang mahu menonton perlawanan siaran langsung yang akan disiarkan selepas pukul 3 pagi, seharusnya memilih tidur malam lebih awal.

Piala Dunia Fifa 2014 akan berlangsung di Brazil dengan perlawanan pertama pada 12 Jun antara Brazil dan Croatia pada jam 5 petang (4 pagi/13 Jun di Malaysia) dan perlawanan akhir akan berlangsung pada 13 Julai pukul 4 petang (3 pagi/14 Julai di Malaysia).

Kebanyakan perlawanan akan bermula ada 3 pagi atau 6 pagi waktu Malaysia.

Azih menasihatkan penjawat awam supaya tidur awal pada sebelah malam bagi memastikan tempoh tidur mereka mencukupi untuk sesuatu hari itu.

Beliau berkata umat Islam akan mula berpuasa bulan Ramadan pada akhir Jun ketika berlangsungnya kejohanan Piala Dunia itu.

"Lazimnya kita mudah lesu semasa bulan puasa, ditambah dengan perlu bangun awal untuk bersahur, inikan pula akan berjaga pada waktu malam, ini akan membuatkan seseorang itu mudah keletihan, " katanya kepada Bernama.
Azih berkata adalah penting bagi penjawat awam mengelak daripada menerima rungutan pelanggan.

"Tugas kita sebagai penjawat awam ialah memberikan perkhidmatan terbaik dan memastikan produktiviti kita pada tahap maksimum," katanya.

Azih sendiri pula bagaimana? Adakah beliau akan menonton perlawanan Piala Dunia yang diadakan?

Sudah tentu, sebab beliau penyokong pasukan Brazil dan tidak sabar mahu menonton aksi bintang Samba pemain kegemarannya, Neymar. - BERNAMA

06 Jun 2014

PENIAGA JANGAN NAIKKAN HARGA BARANG SEWENANG-WENANG KERANA CBP - AHMAD MASLAN

Bernama
5/6/2014



 PUTRAJAYA, 5 Jun (Bernama) -- Para peniaga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan menggunakan alasan pelaksanaan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) untuk menaikkan harga sewenang-wenangnya, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata harga yang ditawarkan peniaga haruslah berpatutan dan sepatutnya mencerminkan kadar enam peratus CBP yang ditetapkan.

Peniaga yang didapati menaikkan harga sewenang-wenangnya boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatuan 2011, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) ke-57 di Institut Penilaian Negara (INSPENS) dekat sini Khamis.

Ahmad berkata demikian sebagai mengulas cadangan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda baru-baru ini agar kerajaan menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 30 peratus sebagai persediaan menghadapi kos kenaikan barangan akibat pelaksanaan CBP.

Beliau berkata, penjawat awam tidak harus terpedaya dengan putar belit fakta pihak tertentu mengenai CBP dan layari laman web rasmi Jabatan Kastam Diraja Malaysia di http://gst.customs.gov.my/ untuk maklumat CBP.

CBP pada kadar enam peratus akan dilaksanakan mulai 1 April tahun depan bagi menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada yang berkadar keseluruhan 16 peratus.

Mengenai JPPH, Ahmad berkata JPPH pada Jun tahun lepas merupakan yang pertama di Asia Tenggara menerajui penilaian harta intelek menerusi penubuhan unit penilaian harta intelek.

Beliau berkata unit baharu itu dapat membantu membantu industri kecil dan sederhana dalam mempromosikan hasil produk mereka ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

Unit penilaian harta intelek itu ditubuhkan bertujuan menilai kepentingan dari aspek paten, jenama, reka bentuk industri, hak cipta dan lain-lain perkara yang membabitkan harta intelek, kata Ahmad.

-- BERNAMA

05 Jun 2014

LDHN PERLU KAJI SEMULA PERLAKSANAAN ARAHAN POTONG CUKAI TAMBAHAN - CUEPACS

Utusan Malaysia
4/6/2014





KUALA LUMPUR 4 Jun - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengeluarkan Arahan CP38 (potongan cukai tambahan secara ansuran) bermula 16 Jun ini sebagai tidak kena pada masanya dan hanya menambah beban kepada penjawat awam.

Presiden Cuepacs, Azih Muda berkata, kaedah Pemotongan Cukai Berjadual (PCB) sedia ada sudah cukup memberi tekanan kewangan kepada kumpulan pekerja ini yang menjangkau 1.4 juta orang.``Cuepacs merasakan (PCB) yang sedia ada kepada penjawat awam masih belum selesai. Mereka dipaksa bayar awal kepada LHDN dan selaraskan kemudian. Kalau terlebih bayar, lambat pula dipulangkan. 

``Kami merasakan dengan kekangan kos yang semakin meningkat dan pelaksanaan GST (Cukai Barangan dan Jualan) tak lama lagi, kerajaan (seharusnya) mempertimbangkan pelepasan cukai pendapatan sehingga gaji RM8,000 dalam bajet 2015,'' katanya ketika dihubungi hari ini.Semalam LHDN mengeluarkan kenyataan berhubung Arahan CP38 kepada majikan bertujuan melunaskan tunggakan cukai sedia ada. 

Dalam kenyataan itu, LHDN berkata, arahan itu akan dikenakan kepada 156,158 pembayar cukai individu melibatkan amaun tunggakan cukai berjumlah hampir RM418 juta.Mengulas lanjut, Azih berkata, lebih wajar jika tindakan itu ditangguh dan diperhalusi dahulu serta difikirkan semula sama ada ia benar-benar sesuai untuk dilaksanakan. 

``Kerajaan minta tingkatkan produktiviti, prestasi, tetapi pada masa sama memberi tekanan kepada mereka.``Sedangkan golongan penjawat awam terpaksa memikirkan pasal harga rumah yang mahal, pendidikan anak-anak, kos sara hidup meningkat dan sebagainya,'' katanya. - BERNAMA

Ar