SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

22 November 2014

KERAJAAN DIMINTA PERTIMBANG TINGKATKAN KADAR CARUMAN KWSP

Bernama
21/11/2014





KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Kerajaan wajar mempertimbangkan untuk meningkatkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi golongan pekerja berikutan peningkatan kos sara hidup kini, kata Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda.

Beliau berkata peningkatan caruman itu bagi memastikan pekerja yang akan bersara mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menyara kehidupan berikutan peningkatan kos sara hidup.

"Kalau kita lihat, jumlah caruman (terkumpul) bagi yang berpendapatan rendah pada umur 55 tahun tidak sampai RM50,000. Kalau hendak hidup 10 tahun lagi, cukupkah RM50,000 ini?

"Kerajaan harus mempertimbangkan supaya kadar caruman majikan dinaikkan daripada 13 peratus kepada sekurang-kurangnya 15 peratus dan bagi pekerja pula harus dinaikkan daripada 11 peratus kepada 12 atau 13 peratus," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat akhir mengenai 'Konvensyen Perpaduan Nasional' di sini Jumaat.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata kerajaan sedang mengkaji mekanisme bagi memastikan pencarum KWSP mempunyai simpanan mencukupi untuk menyara hidup mereka selepas bersara.

Pada masa yang sama, Azih juga menegaskan bahawa Cuepacs tidak bersetuju dengan cadangan KWSP untuk melanjutkan umur bagi pengeluaran keseluruhan simpanan persaraan kepada 60 tahun.

"Beri opsyen kepada pencarum untuk menentukan bila dia nak keluar (simpanan KWSP)... Jangan esok kalau dia mati, langsung tak dapat," katanya.

Sementara itu, Azih yang juga Pengerusi Jawatankuasa Konvensyen Perpaduan Nasional berkata sebanyak 320 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah mengesahkan kehadiran untuk konvensyen itu pada Ahad di Pusat Islam di sini.

"Konvensyen ini akan mengupas semua perkara daripada perlembagaan sampai kepada kontrak sosial yang merangkumi soal ekonomi, politik dan pendidikan yang menjurus kepada kepentingan perpaduan di negara kita," katanya.

Beliau berkata sebanyak 25 peserta telah menawarkan diri untuk membahaskan penyediaan memorandum perpaduan yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika perhimpunan agung Umno minggu depan.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan merasmikan konvensyen itu.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: