SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA TONGGAK KEMAKMURAN NEGARA

19 Disember 2014

JOHOR NEGERI PERTAMA LUASKAN SKIM PERKESO KEPADA PENJAWAT AWAM KONTRAK, SEMENTARA.

Bernama
18/12/2014



JOHOR BAHARU, 18 Dis (Bernama) -- Johor muncul sebagai negeri pertama yang memperluas perlindungan skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada penjawat awam bertaraf kontrak dan sementara, sejak ia dilaksanakan tahun lepas.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Ismail Karim berkata sehingga kini, seramai 7,000 penjawat awam kontrak dan sementara melibatkan 92 agensi perkhidmatan awam di negeri ini sudah berdaftar sebagai pencarum.

"Perluasan perlindungan keselamatan sosial ini mencerminkan kepekaan kerajaan negeri terhadap kebajikan golongan berkenaan supaya sentiasa terbela.

"Malang tidak berbau dan tidak dapat dijangka, namun, apa yang boleh kita lakukan ialah persediaan terhadap sebarang kemungkinan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perluasan liputan Perkeso ke atas penjawat awam kerajaan Johor dan persekutuan bertaraf kontrak dan sementara di sini, Khamis.

Ismail berkata pelbagai faedah diperolehi golongan berkenaan menerusi perlindungan itu termasuk kelayakan pemeriksaan kesihatan percuma mulai tahun depan bagi mengesan penyakit tidak berjangkit bagi mereka yang mencapai umur 40 tahun.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan cek pembayaran caruman berjumlah RM2.15 juta bagi pihak kerajaan negeri kepada Perkeso sebagai bayaran caruman dari semua agensi awam negeri dan persekutuan di negeri ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohamed berkata pihaknya komited dengan perluasan perlindungan itu demi kesejahteraan penjawat awam.

Perkeso yang ditubuhkan sejak 43 tahun lepas akan terus meningkatkan pelbagai inisiatif demi menjamin landskap perlindungan keselamatan sosial terhadap pekerja negara ini, katanya.



-- BERNAMA

Tiada ulasan: